SHAH ALAM - Potensi penularan kes koronavirus (Covid-19) tidak mustahil terus meningkat di seluruh negara sekiranya prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada mereka yang terdedah dengan risiko jangkitan tidak diambil serius.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, kebanyakan kes yang berlaku adalah mereka yang baru pulang dari Sabah.
Beliau berkata, adalah lebih baik bagi semua individu yang pulang dari Sabah memilih untuk kekal menjalani kuarantin 14 hari walaupun ujian saringan awal semasa ketibaan adalah negatif.
"Malah, saya sangat mengesyorkan agar kerajaan mewajibkan kuarantin 14 hari untuk semua yang kembali dari Sabah. Walaupun kerajaan dan KKM menjelaskan rasional mengapa kuarantin 14 hari tidak diwajibkan pada semua yang pulang, namun potensi penularan agak ketara kerana mereka berkongsi pesawat untuk pulang dan tiada penjarakkan fizikal, malah dibenarkan membuka pelitup muka untuk makan dalam pesawat.
ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin jalani tempoh kuarantin 14 hari
"Selain itu, kuarantin juga sebaiknya dilaksanakan di pusat kuarantin dan bukan di rumah. Kos kuarantin perlu ditanggung sepenuhnya oleh individu berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Dr Malina berkata, beliau juga melihat terdapat keperluan untuk kerajaan melaksanakan sekatan perjalanan keluar masuk Sabah kecuali pada urusan yang dibenarkan.
Malah, kataya, beliau berharap agar ketidakpatuhan serta kelekaan dapat dicegah daripada terus berlaku.