TIMBALAN Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramudin Abd Aziz menyifatkan pembatalan Piala Raja Thai berikutan pandemik (Covid-19) sebagai satu kerugian, namun tetap akur dengan keputusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkenaan.
"Sebenarnya bagi pihak PSM, pembatalan saingan Piala Raja Thai ini satu kerugian besar sebab sememangnya kejohanan ini antara platform paling kompetitif untuk menguji daya saing skuad takraw negara menjelang Sukan Sea Vietnam 2021.
"Tapi itulah kami akur dengan arahan ISTAF berkenaan penangguhan yang berkait rapat dengan Covid-19 tambahan pula melibatkan isu keselamatan dan kesihatan semua pihak. Kemungkinan juga sekiranya penganjur mengambil keputusan meneruskan pertandingan kemeriahan akan hilang apabila tidak disertai beberapa pasukan pilihan.
"Di pihak PSM juga kami berkemungkinan besar berdepan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebab kita akan beraksi di negara orang,” katanya kepada Sinar Harian.
ISTAF baru-baru ini memutuskan membatalkan saingan Piala Raja Thai yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Disember depan.
Badan induk sepak takraw dunia itu telah memaklumkan Persatuan Takraw Thai berkenaan perkara tersebut selepas beberapa negara masih tidak membenarkan rakyat masing-masing melawat ke negara lain berikutan Covid-19.
Namun di sebalik itu jelas Akramudin, pembatalan edisi ke-35 secara tidak langsung menyebabkan Kongres Tahunan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan ISTAF yang sepatutnya diadakan selepas kejohanan berkenaan turut ditunda pada masa sama.
"Penangguhan ini juga satu kerugian kepada ASTAF dan ISTAF kerana pada setiap kejohanan Piala Raja Thai kebiasaannya akan dianjurkan kongres kedua persekutuan ini.
"Tahun ini pula adalah merupakan tahun pemilihan jadi di situ berlaku lagi satu kerugian dalam aspek bidang pentadbiran,” katanya.
Mengulas lanjut sama ada pembatalan Piala Raja Thai menjejaskan prestasi pemain negara, Akramudin yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan berkata, PSM sentiasa bersedia dengan pelan alternatif bagi memastikan prestasi dan kecergasan skuad negara pada tahap terbaik.
"Bagi memastikan prestasi pemain negara berada pada tahap terbaik PSM aktif menganjurkan saingan seperti STL Youth Road to SUKMA 2020, STL 2020 yang sedang berlangsung selain kejohanan Piala Datuk Seri Ahmad Ismail dan Piala Emas Khir Johari,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca