SEJAK kebelakangan ini, isu politik, parti dan kepimpinan berlegar di semua ruang termasuk alam maya dan dunia realiti. Apa sebenarnya sedang berlaku? Benarkah saga politik Malaysia tidak ada penghujungnya?
Sudah tibakah masanya untuk Yang di-Pertuan Agong mengumumkan ‘darurat politik’ jika kepentingan rakyat yang menjadi nadi dan denyutan pemimpin diketepikan dan hanya disorak ketika pilihan raya?
Kepentingan rakyat atau peribadi menjadi jantung segelintir pemimpin hari ini menimbulkan keresahan, sedang kita melalui krisis koronavirus (Covid-19) yang semakin meruncing. Keselamatan rakyat tanggungjawab pemimpin rakyat.
Garis perubahan politik tanah air berlaku setiap 10 tahun di Malaysia. Ada sahaja peristiwa yang berlaku.
Garis pertama, jika dilihat selepas 1998, reformasi dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka fasa berbeza dalam konstruk politik tanah air. Yang lahir pada tahun tersebut kini berumur 20 tahun. Mereka tidak mengenali latar politik sebelumnya yang didominasi Barisan Nasional (BN).
Garis kedua adalah pada tahun 2008 yang melihat BN tidak dapat mempertahankan majoriti dua pertiga buat kali pertama dan kemunculan Pakatan Rakyat (PR). Garis ketiga adalah pada tahun 2018 apabila BN tewas dan Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai blok baharu.
Walaupun PH kemudiannya tumbang pada Mac 2020, perubahan besar dijangka berlaku pada tahun 2028. Antara 2020 hingga 2028, kita akan melihat penjajaran politik dan penubuhan parti gabungan besar, koalasi yang menjadi ujian dan percubaan.
Pada tahun 2028, barangkali kita akan melihat gabungan kelompok pengundi fasa 1-3 di atas yang merangkumi pelbagai kelompok merentasi etnik, agama, kelas sosial, pendidikan dan wilayah.
Keutamaan kini adalah personaliti walaupun dalam mana-mana pilihan raya, yang menjadi tumpuan adalah calon, parti atau isu.
Definisi politik daripada pihak autoriti semakin tersisih, manakala tafsiran daripada kesan ke atas kehidupan harian menjadi keutamaan. Hatta, ‘pemimpin rakyat’ menjadi perhatian kini.
Siapakah pemimpin rakyat? Bagaimanakah untuk ‘merakyatkan kepimpinan’? Pemimpin dan rakyat saling lengkap melengkapi dan bersifat resiprokal. Yang jelas, kepimpinan yang dicari adalah berpaksikan kepada karakter berserta agenda rakyat dan bukan peribadi.
Pemimpin perlu menjadi contoh kepada rakyat kerana pemimpin juga hadir daripada rakyat. Yang ditolak adalah yang tewas kepada nafsu, rasuah, kronisme, dipajak maruah atau terpedaya dengan pujukan dusta. Akhlak, akidah dan berjiwa rakyat signifikan hari ini.
Pemimpin mesti sentiasa berimaginasi berada dalam kedudukan yang diperintah, bersedia membantu, berkehidupan sederhana, adil, beramanah dan mencegah kemungkaran.
Pemimpin rakyat bukan satu anugerah tetapi satu tanggungjawab. Pemimpin berjiwa rakyat akan mengetepikan perbezaan sewaktu negara berhadapan dengan konflik atau krisis. Sudah tiba masanya ‘bersetuju dalam tidak bersetuju’ jika ingin menawarkan diri sebagai ‘pemimpin rakyat’. Misalnya, walaupun ada yang mengeluarkan kenyataan kerajaan sedia ada tumbang, namun akhirnya kita perlu kembali kepada proses-sistem yang menjadi amalan sekian lama. Ini bukan masanya walaupun benar ‘angka’ ada. Sokonglah ruang memelihara keselama-tan bersama terlebih dahulu.
Pemimpin perlu memberi maksud dan makna ke atas fungsi mereka termasuk membentuk masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama. Rakyat kini sudah mempunyai informasi khususnya ‘kelompok atas pagar’.
Kita dahagakan ‘kepimpinan’ di semua lapisan peringkat kepimpinan agar bersama-sama dapat melakukan ‘gencatan politik’ buat sementara untuk mezahirkan keadaan menentu dan stabil buat semua. Ekonomi dan kesihatan menjadi keutamaan dan lakukanlah penjajaran politik bila tiba masanya, dan bukan sekarang.
Fikirkanlah untuk kepentingan bersama kerana pemimpin rakyat sentiasa disegani, disenangi dan dihormati atas kewibawaan masing-masing.
*Dr. Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca