Merak Jalanan terbaca mengenai statistik yang dikeluarkan oleh Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad (VTREC) yang melaporkan mengenai kes kecurian kenderaan bagi suku pertama tahun 2020.
Dalam laporan itu, Proton Wira mencatatkan jumlah kecurian paling tinggi iaitu 95 buah diikuti Toyota Hilux (58), Proton Iswara (49), Perodua Myvi (42), Perodua Kancil (37), Proton Saga (31), Nissan Vannette (26), Proton Waja (24), Honda City (21) dan Toyota Vellfire (19).
Kategori motosikal pula Yamaha 135LC paling banyak dicuri iaitu sebanyak 343 buah, Yamaha Y125 (124), Honda C100 (120), Yamaha Y15ZR (71), Honda Wave (52), Yamaha Lagenda (50), Honda ANF 100 (19), Yamaha EGO (18), Modenas Kriss (14) dan Yamaha YZF (8).
Dari segi negeri pula, sejak dari tahun 2013 hingga 2019, Selangor paling banyak berlaku kes kecurian diikuti Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Sarawak dan negeri-negeri lain.
Berdasarkan statistik itu, maka pemilik model-model kenderaan tempatan perlulah lebih berwaspada kerana ia menjadi tumpuan penjenayah berikutan komponen kereta yang mendapat permintaan dalam kalangan pembeli di pasaran gelap.
Janganlah merasakan sebagai pemilik kereta tempatan, kita sambil lewa meletakkan kenderaan tanpa mengunci dengan sempurna.
Merak Jalanan pernah kehilangan motosikal Yamaha RXZ sewaktu menuntut di universiti. Tidak dapat digambarkan perasaan pada waktu itu kerana tidak menyangka akan kehilangan jentera yang menjadi elemen penting untuk kelangsungan hidup.
Apabila sudah hilang, peratusan untuk jumpa semula sememangnya amat mustahil.
Kepada mereka yang belum pernah merasai pengalaman jadi mangsa curi kenderaan, berhati-hatilah kerana perasaan ketika kita mengetahui hilang kenderaan tak sama macam hilang selipar!
Klik di sini untuk terus membaca