KONTROVERSI berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terus memuncak walaupun ia sudah berlalu lebih seminggu. Kini satu persatu masalah muncul apabila segelintir pemimpin politik yang pulang daripada berkempen didapati positif Covid-19 dan sebahagiannya perlu menjalani kuarantin.
Isu itu terus berlanjutan apabila ramai juga pemimpin politik yang disifatkan ‘degil’ dan tidak bertanggungjawab susulan keengganan mereka menjalani kuarantin kerana keputusan ujian swab negatif.
Keadaan semakin buruk apabila berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 mencecah tiga angka sejak beberapa hari lalu disebabkan perbuatan mereka yang pulang daripada berkempen dalam PRN Sabah.
Namun begitu, penulis bukan hendak memanjangkan tentang isu itu yang sudah sedia panas dan tegang.
Sebaliknya apa yang hendak dikaitkan adalah mengenai sikap tanggungjawab yang sepatutnya diterapkan dalam diri oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia terutamanya sewaktu menggunakan pengangkutan awam pada musim wabak.
Bercakap soal tanggungjawab kedengaran mudah tetapi hendak melaksanakannya tidaklah semudah disangka.
Ini kerana kadangkala ada yang membuatnya kerana terpaksa atau untuk mengelak dikenakan tindakan tetapi ada juga yang melakukannya kerana faham ia bukan sahaja untuk kebaikan diri tetapi mungkin juga memberikan kebaikan kepada yang lain.
Pengalaman
Penulis ambil satu contoh mudah melalui pengalaman yang baru saja dilalui baru-baru ini ketika menaiki pengangkutan awam LRT dari Stesen Subang Jaya ke Masjid Jamek yang perjalanannya memakan sedikit masa kerana terdapat lebih daripada 10 stesen yang perlu dilalui.
Memandangkan ia adalah hari minggu dan awal pagi, penulis pada awalnya menyangka pasti tidak ramai yang akan menaiki LRT tetapi ternyata ia meleset kerana untuk melepasi kaunter masuk LRT sahaja sudah kena beratur panjang.
Bagi penulis yang jarang-jarang menggunakan pengangkutan awam mungkin berasa sedikit leceh untuk beratur menunggu giliran kerana mengejar masa tetapi rata-rata pengguna lain yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dilihat cukup sabar beratur tanpa rungutan.
Pemerhatian penulis mendapati walaupun perlu beratur panjang, mereka begitu menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu dengan menjaga penjarakkan fizikal serta memakai pelitup muka.
Malah sebelum tiba di kaunter masuk LRT, semua sudah bersedia bersama telefon bimbit masing-masing untuk membuat imbasan kod QR.
Namun lain pula kisahnya saat penulis menggunakan perkhidmatan komuter (KTM) untuk pulang ke rumah.
Berbeza dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain, komuter mempunyai gerabak khas wanita yang ditandakan dengan warna merah jambu selain tertera perkataan Ladies Coach.
Masalahnya dalam ramai-ramai wanita di dalam gerabak merah jambu itu, beberapa lelaki turut menyelit.
Walaupun kurang senang, penulis cuba bersangka baik mungkin mereka ini memasuki gerabak wanita hanya untuk ke gerabak lain bagi memastikan mereka tidak terlepas KTM namun sangkaan itu meleset.
Pengguna lelaki itu sebaliknya dilihat duduk dengan selesa di kerusi gerabak wanita tanpa rasa malu.
Hanya selepas beberapa minit, muncul seorang polis bantuan yang mengarahkan lelaki-lelaki berke-naan beredar ke gerabak lain.
Apa yang menjengkelkan ada tidak mempedulikan arahan tersebut sehingga memaksa polis bantuan tadi menghampirinya.
"Maaf encik ini gerabak wanita, minta encik beredar ke gerabak lain ya,” tegur polis bantuan itu sehingga mengundang ketawa ramai penumpang wanita lain.
Yang pasti dalam musim Covid-19, rakyat Malaysia wajarlah menjadi pengguna pengangkutan berhemah demi keselamatan dan keselesaan kita bersama.
* Hasniza Hussain ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional
Klik di sini untuk terus membaca