SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mempertimbangkan sama ada mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah atau menangguhkan dalam masa 60 hari ekoran kes jangkitan Covid-19 naik secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, dalam tempoh yang sukar dengan peningkatan kes Covid-19 yang mencatatkan 691 kes semalam, SPR sewajarnya mempertimbangkan untuk menangguhkan dahulu PRK Batu Sapi sehingga keadaan kembali selamat.
Menurutnya, sekiranya PRK mahu diteruskan juga, maka SPR boleh mempertimbangkan kaedah-kaedah lain yang boleh memudahkan pengundi untuk keluar mengundi contohnya mengundi dalam talian atau secara pos.
"Kaedah berkenaan adalah pilihan yang selamat dan menjimatkan kos sebagai alternatif disebabkan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
"Bagaimanapun adalah lebih baik ia tidak diadakan memandangkan Batu Sapi turut berada dalam kawasan zon merah, selain mood pengundi yang bimbang untuk keluar mengundi kerana Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mujibu berkata, Parlimen Batu Sapi penting ketika kedudukan kerusi Parlimen antara kerajaan dan pembangkang yang sangat tipis sekarang ini.
"Ini disebabkan kepentingan kerusi itu bagi menguatkan jumlah kedudukan yang sangat signifikan dalam menentukan jumlah majoriti dan kekuatan blok dalam Parlimen.
"Jadi mungkin kepentingan politik akan sekali lagi mengatasi kepentingan umum, maka PRK Batu Sapi akan diteruskan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: SPR tentukan tindakan status kerusi Parlimen Batu Sapi
Penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed pula berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu dilaksanakan 60 hari selepas Dewan Rakyat mengumumkan kekosongan kerusi tersebut.
Begitupun katanya, melihat kepada kes Covid-19 terkini, SPR perlu merangka strategi yang lebih ketat bagi mengelakkan keadaan yang sama berulang seperti PRN Sabah baru-baru ini.
"Isu mood pengundi yang semakin kurang bukan isu kerana peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas berkaitan perkara itu. Cuma apa yang penting ialah mengelakkan penularan wabak Covid-19 ketika berkempen dan pengundian.
"Justeru, pelbagai pihak perlu berbincang dengan melibatkan pihak lain yang berkepentingan sebelum membuat keputusan sama ada menangguhkan atau mengadakan PRK dengan SOP yang lebih ketat,” katanya.
Ahmad Martadha berkata, perkara itu belum pernah berlaku di mana kerajaan menangguhkan PRK atas sebab-sebab darurat seperti pandemik, namun banyak negara di dunia kini telah menangguhkan pilihan raya mereka kerana Covid-19.
"Malah, terdapat 72 negara yang menangguhkannya tetapi masih ada juga negara yang meneruskan pilihan raya.
"Jadi sebab itu, pihak-pihak yang berkaitan perlu berbincang secara teliti dan mendalam jika kita meneruskan PRK.
"Sekiranya kemudaratannya lebih, maka tidak ada masalah untuk kita menangguhkannya seperti mana yang dibuat kebanyakan negara lain,” katanya.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu.
Klik di sini untuk terus membaca