PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan tidak akan berkompromi dalam memastikan semua pihak yang terlibat menganjurkan aktiviti di bawah seliaan badan induk sepak takraw itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Menurut Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abd Aziz, pihaknya pada masa ini amat prihatin dengan perkembangan semasa peningkatan kes Covid-19 yang melanda negara ini.
"Alhamdulillah syukur, Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail sebelum ini pun telah menitikberatkan pematuhan SOP pada tahap tinggi untuk setiap penganjuran sebarang kejohanan contohnya seperti Liga Sepak Takraw (STL) kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan semua.
"PSM juga memperketatkan lagi SOP sedia ada dengan beberapa peraturan baharu terhadap pemain, jurulatih, pegawai dan mereka yang terlibat sepanjang pertandingan berlangsung, selain memastikan semua pihak mematuhi mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kami juga melakukan proses pembersihan dan pencucian nyahcemar di stadium sebelum dan selepas pertandingan, selain memastikan SOP antaranya seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka, penjarakkan fizikal dipatuhi.
"Kami sebelum ini pun sudah mengambil langkah proaktif dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dan kami akan berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan pematuhan SOP pertandingan berada pada tahap tertinggi setiap masa," katanya yang memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa kes Covid-19 di negara ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini meminta semua ahli gabungan meningkatkan pematuhan SOP memutuskan rantaian Covid-19 pada tahap tertinggi berikutan peningkatan kadar kes virus itu di negara ini.
Pada masa sama Norza juga menasihati ahli-ahli gabungan menangguhkan sementara sebarang aktiviti persatuan masing-masing sehingga kadar kes berada dalam keadaan terkawal.
Sementara itu, Akramuddin yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan PSM berkata, pihaknya akan memastikan ahli-ahli gabungan yang ingin menganjurkan sebarang kejohanan di peringkat negeri mematuhi SOP ditetapkan KKM, MKN dan SPM.
"PSM tidak sesekali akan meluluskan sebarang penganjuran di peringkat negeri sekiranya terdapat dalam kalangan ahli gabungan yang tidak mematuhi SOP atau syarat-syarat yang ditetapkan PSM.
"Satu lagi PSM juga akan melihat juga keperluan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan. Sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa PSM tidak akan berkompromi dalam isu Covid-19 ini walaupun pertandingan di peringkat negeri.
"So far setakat ini PSM tidak menerima sebarang permohonan dalam kalangan ahli-ahli gabungan di peringkat negeri untuk menganjurkan sebarang kejohanan dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Akramuddin memaklumkan saingan Piala Datuk Seri Ahmad Ismail dan Piala Veteran yang akan diadakan pada 16, 17 dan 18 Oktober depan mendapat penyertaan amat menggalakkan dalam kalangan regu takraw tempatan.
"Bagi kejohanan Piala Datuk Seri Ahmad Ismail sebanyak 40 regu mengesahkan penyertaan manakala 60 regu lagi menyahut cabaran pada Piala Veteran pada kejohanan yang akan diadakan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat.
"Bagaimanapun ingin saya tegaskan di sini sekiranya kadar kes Covid-19 di negara ini berada pada tiga angka, kejohanan ini akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca