KETIKA teknologi maklumat dan perhubungan menguasai pemikiran dan sikap manusia moden ketika ini, maka wabak yang dibawanya tidaklah setaraf dengan ilmu yang disalurkan melalui sistem itu.
Banyak pengaruh negatif perhubungan maya yang berlaku hingga kita merasai bahawa alat perhubungan moden melalui media sosial, perhubungan elektronik atau sebarang forum dan komunikasi rasmi serta tidak rasmi telah dicemarkan dengan pengucapan yang negatif, kasar, tidak beradab, malah bertentangan dengan nilai-nilai universal dan agama.
Medan yang dinamakan perdebatan, pertukaran pandangan, forum ilmiah dan diplomasi sering tercemar dengan sikap, ungkapan serta serangan mulut yang amat mengaibkan.
Saya amat ingin sekiranya perhubungan antara sesama manusia dilakukan dengan sebaiknya. Maka, dialog bolehlah disifatkan sebagai satu jambatan mesra dan wadah beradab yang menghubungkan antara manusia sejagat dengan penuh sopan dan berguna untuk semua.
Dialog tidaklah seharusnya menjadi satu perdebatan dalam cara dan matlamatnya yang berbeza-beza, sebaliknya dialog menjadi forum perbincangan dan pertukaran pandangan yang terbuka untuk mencari penyelesaian yang baik bagi kepentingan umum.
Dialog bertujuan mencari persefahaman. Pihak yang berdialog sewajarnya berusaha dan bertindak ke arah mendapatkan persefahaman, bukan sebaliknya yang merupakan pertentangan melulu seolah-olah untuk membuktikan bahawa pihak penentang sahaja yang benar, manakala pihak lain adalah salah.
Dialog adalah untuk mencari persetujuan bersama, bukan secara melulu mencari kemenangan dan kelainan pandangan yang menjadi matlamatnya, walaupun kemenangan itu hanya merupakan ‘menang sorak, kampung tergadai.’
Peserta dialog mendengar pandangan orang lain untuk memahami, meneliti isu pokok dan mendapatkan persepakatan, bukan mencari kelemahan orang lain dan menekan habis-habisan secara negatif.
Pandangan
Dialog dan perbincangan seharusnya berusaha mengembangkan sesuatu isu dan fikiran yang berkemungkinan dapat mengubah pandangan peserta yang lain dan pada masa yang sama dapat menilai semula sesuatu andaian atau pemikiran asal. Bukan bertujuan memperkuatkan sesuatu andaian yang telah dikeluarkan tanpa mengubah sedikit pun pandangan asal yang agak menyeleweng.
Dalam konteks menegakkan integriti sesebuah negara dan masyarakat, maka integriti adalah asas yang penting sebagai nilai yang dihayati oleh pekerja serta majikan dalam apa-apa saja agensi negara.
Perhubungan antara rakan sekerja dan pasukan semua institusi serta agensi haruslah terbina atas dasar kepercayaan dan keberkesanan kerjasama yang sihat untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang universal dan beramanah. Apa-apa saja definisi integriti dan mutu kerja adalah berasaskan unsur serta rukun itu dalam semua hasil kerja dan perkhidmatan.
Politik partisan melulu dan melampau sering disedari masyarakat sebagai unsur negatif dan ketidakadilan. Sebab itu, orang ramai menggesa jawatan pemerintahan negara haruslah diberikan kepada orang yang mempunyai sikap jujur dan amanah, sikap yang berdasarkan falsafah dan penghayatan integriti.
Sesebuah institusi dan sistem hidup yang baik akan rosak binasa dan hancur lebur sekiranya ditangani serta diuruskan oleh pemimpin yang rosak akhlak dan rendah moral serta etikanya, yang bersifat keperibadian melulu dan sempit untuk kepentingan diri sendiri serta melupakan kepentingan awam sama sekali.
* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca