Pak Su ucapkan tahniah kepada SPRM atas usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk memerangi jenayah pengubahan wang haram di Malaysia.
Setakat laporan yang Pak Su baca, lapan orang telah ditahan reman bagi membantu siasatan pengubahan wang haram yang menawarkan modal kepada artis untuk memulakan perniagaan.
Difahamkan, duit yang dicuci itu hasil kegiatan haram Macau Scam, judi dalam talian dan gengsterisme.
Pak Su juga ada terlihat video menunjukkan lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang terlibat dalam kegiatan itu sebelum dicekup, hidup mewah melampau lebih daripada tauke lombong emas.Memang mewah benar kehidupan yang ditonjolkan itu hingga ramai yang sangsi dari mana datangnya kemewahan itu kerana daripada iras muka, tiada pun ada sekelumit berkait dengan 10 orang terkaya di Malaysia waima bilionair dari luar negara.
Rupa-rupanya berjoli dengan duit mangsa-mangsa yang naif!
Dengan tertangkapnya suspek terlibat, Pak Su harap kes yang telah lama bersarang dalam masyarakat kita ini dapat diperangi habis-habisan.
Pak Su amat kasihan dengan golongan mak cik pak cik, ibu kakak dan adik abang yang menjadi mangsa golongan yang mengambil jalan mudah untuk kaya dengan memperdaya mereka.Wang simpanan yang disimpan untuk bekalan hari tua, bekalan untuk menunaikan haji dan simpanan untuk perubatan lesap begitu saja dek kerana nafsu jahat scammer.
Turut ditahan, pegawai daripada agensi penguat kuasa yang tidak boleh diharap apabila memberi perlindungan kepada pelaku aktiviti tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dalam wawancara di MACC.FM berkata, sebanyak 730 akaun bank telah dibekukan dengan simpanan sejumlah RM80 juta.
Turut dirampas wang tunai kira-kira RM5 juta, beberapa kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi.
Ya, dalam kes ini Pak Su yakin ia berleluasa kerana ada pihak yang tidak amanah telah bekerjasama dengan golongan scammer itu.
Misalnya, bagaimana nombor telefon kita dengan butiran peribadi boleh dimiliki oleh golongan scammer berkenaan melainkan ada orang yang membocorkannya.
Pak Su sendiri telah dihubungi lebih lima kali oleh scammer yang cuba nak curi duit daripada akaun Pak Su.
Memang dari awal perbualan itu, mereka cukup meyakinkan apabila mempunyai data lengkap mengenai diri kita.Namun, apabila Pak Su mengambil sikap tidak melayan panggilan diragui, alhamdulillah Pak Su terselamat.
Pak Su harap SPRM dapat siasat semua agensi yang terlibat kerana untuk menjalankan penipuan mega seperti ini sememangnya memerlukan banyak orang dalam.
Isnin lalu, seorang guru membuat laporan polis di IPD Kajang apabila kerugian RM1.1 juta ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Wanita berusia 49 tahun itu dalam laporan yang dibuat menceritakan yang dia dihubungi seorang pegawai polis yang mendakwa kereta milik mangsa terbabit dalam kemalangan maut dan kegiatan pengubahan wang haram.
Katanya, mangsa diarahkan membuka dua akaun bank dan memasukkan nombor telefon yang diberi oleh suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun.
Selepas akaun simpanan dibuka, mangsa memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun itu sebagaimana diarahkan suspek, kononnya bagi tujuan siasatan.
Mangsa juga diarahkan untuk menyediakan wang jaminan menyebabkan dia membuat pinjaman peribadi di beberapa bank. Wang itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank terbabit.
Berdasarkan kes yang berlaku ini, nampaknya ada lagi saki-baki scammer yang bergiat aktif di luar sana. Pak Su tak pasti adakah mereka ini daripada pasukan yang sama atau cawangan scammer lain.
Tetapi yang jelasnya, golongan scammer tidak akan berputus asa, sentiasa mahu kebas duit kita walau dengan apa cara sekali pun.
Nasihat Pak Su, sentiasa berhati-hati dan jangan mudah percaya cakap orang yang tak dikenali.
Klik di sini untuk terus membaca