PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkemungkinan boleh memikirkan perancangan awal bagi memastikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan lebih 'hidup' di sebalik pandemik Covid-19 yang terus membadai negara ini.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, saingan Liga-M yang berakhir semalam juga boleh dijadikan penanda aras untuk FAM dan MFL merencana pelan terbaik memastikan industri bola sepak tidak terus hambar.
Bagaimanapun, beliau mengakui bukan mudah untuk cuba memastikan saingan Liga-M musim depan kembali meriah sekiranya pandemik Covid-19 terus menyerang negara.
"Meriah atau tidak saingan liga kita bergantung kepada Covid-19 juga, jika terus masih banyak kes apa FAM atau MFL boleh buat juga untuk memastikan saingan liga tidak suram? Masalah ini bukan di Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia. Kalau nak kata suram, liga seluruh dunia pun suram juga dengan ketiadaan penyokong.
"Jadi, saya mengharapkan yang terbaik untuk musim depan. FAM dan MFL perlu bersedia juga untuk situasi lebih buruk pada masa akan datang. Macam-macam boleh jadi dengan masalah Covid-19 ini boleh datang bila-bila masa menyerang kembali,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Terdahulu, saingan Liga-M yang berakhir semalam dilihat suram ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dan berkemungkinan situasi sama turut akan dihadapi untuk aksi liga musim depan.
Dalam pada itu, Mohd Azraai turut mengharapkan penyokong terus memberikan sokongan kepada industri bola sepak di negara ini.
"Saya percaya penyokong masih lagi mengikuti saingan liga kita walaupun dalam keadaan Covid-19 ketika ini. Ia tetap ada kemeriahan di situ dengan penyokong mempunyai pilihan untuk menonton menerusi 'live' di internet.
"Dari segi pasukan yang beraksi juga mereka sudah tentu memberikan yang terbaik kerana liga dan kejohanan tetap berjalan seperti biasa. Mereka tetap ada misi untuk menang piala dan liga.
"Jadi, keseronokan itu masih ada untuk ditonton oleh penyokong bola sepak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca