KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) masih belum muktamadkan keputusan berhubung aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 /Piala Asia 2023 untuk dijalankan secara karnival mahu pun timbal balik.
Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata, aksi secara karnival itu hanya antara cadangan bagi meneruskan aksi kelayakan itu setelah ditangguhkan sebelum ini akibat pandemik Covid-19.
"Buat masa ini, kita belum buat sebarang keputusan samada meneruskan aksi kelayakan ini secara karnival atau timbal balik.
"Sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan hanya akan diketahui setelah ia dibincangkan dengan lebih lanjut kelak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelmarin Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang memaklumkan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe, berkemungkinan akan bermain secara karnival bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023
ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya hadapi saingan kelayakan tahun depan
Aksi kelayakan secara karnival itu pula dijangka berlangsung pada Mac dan Mei 2021 di negara yang dibenarkan seperti di Qatar atau mana-mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekiranya situasi penularan Covid-19 itu berterusan.
Skuad Harimau Malaya sebelum ini dijadualkan mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua Kumpulan G berdepan UAE di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 8 Oktober lalu diikuti kunjungan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober dan mengakhiri kempen kelayakan berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 17 November.
Sementara itu, Windsor turut menegaskan tuan rumah bagi aksi secara karnival itu akan ditentukan setelah AFC memberikan peluang kepada semua pasukan untuk menghantar permohonan.
"Dalam semua perlawanan AFC, kita berikan peluang kepada pasukan-pasukan untuk menyatakan minat mereka untuk menjadi tuan rumah.
"Kemudian, kita akan pilih yang terbaik untuk dimuktamadkan selaku tuan rumah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca