KISAH pendaki sesat, cedera dan maut bukan berita luar biasa yang kita dengar sejak aktiviti lasak itu mula menjadi trend dalam kalangan masyarakat kita. Namun, kelmarin kita dikejutkan dengan kejadian malang menimpa seorang kanak-kanak... Klik di sini untuk terus membaca

KISAH pendaki sesat, cedera dan maut bukan berita luar biasa yang kita dengar sejak aktiviti lasak itu mula menjadi trend dalam kalangan masyarakat kita.

Namun, kelmarin kita dikejutkan dengan kejadian malang menimpa seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang mengalami patah tulang belakang dan pinggang selepas terjatuh kira-kira 230 meter dari puncak Bukit Bal di Seremban, Negeri Sembilan.

Kanak-kanak berkenaan mendaki bukit tersebut bersama tiga ahli keluarganya sehingga ke puncak bukit sebelum terjatuh.

Kemalangan seperti itu mungkin jarang kita dengar melibatkan kanak-kanak bagi aktiviti pendakian.

Berita tersebut tentunya mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang bersimpati, tidak kurang juga yang mengecam individu yang bertanggungjawab membawa kanak-kanak berkenaan berdepan risiko sukan mendaki.

Pada pandangan penulis, kejadian malang seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk pendaki dewasa yang berpengalaman.

Bagaimanapun, kewajaran melibatkan golongan kanak-kanak bagi aktiviti lasak yang berisiko menjadi persoalan. Kebimbangan masyarakat yang prihatin dengan isu berkenaan bukan perkara baharu yang disuarakan.

Pelbagai perdebatan sekian lama mewarnai dinding-dinding media sosial setiap kali gambar-gambar kejayaan kanak-kanak berjaya ‘menakluk’ aktiviti lasak ditonjolkan.

Masih ingatkah kecaman hebat yang diterima seorang bapa pada tahun 2018 gara-gara melakukan aktiviti ekstrem terjunan rope swing atau tali hayun bersama anaknya yang berusia dua tahun ketika itu?

Keselamatan

Namun, ketika itu terdapat pihak yang menjadi pembela dengan meyakinkan masyarakat tentang aspek-aspek keselamatan yang dititikberatkan bagi aktiviti tersebut, ditambah dengan pengendalian oleh pihak profesional.

Walhal jika mengikut undang-undang, individu yang bertanggungjawab boleh disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kini setelah dua tahun berlalu, pihak yang bersungguh-sungguh mempertahankan tindakan bapa kanak-kanak berkenaan mungkin terdiam seketika sebaik sahaja mendapat perkhabaran tentang kejadian malang menimpa seorang wanita yang melakukan terjunan sama bagi aktiviti tersebut baru-baru ini.

Ahli keluarga wanita berkenaan dilaporkan mengakui terdapat kesilapan teknikal ketika wanita itu membuat terjunan. Wanita tersebut dikatakan tergantung pada ketinggian 10 meter sebelum terhempas ke atas batu dan jatuh ke dalam sungai menyebabkan kecederaan yang parah.

Benarlah malang itu tidak berbau tetapi penulis percaya tiada siapa yang sengaja membiarkan kesilapan teknikal itu berlaku sehingga menyebabkan kemalangan.

Penulis mengakui apa yang berlaku itu sudah tertulis dan sebagai manusia yang berpegang dengan Rukun Iman iaitu percaya kepada qada dan qadar, kita tidak dapat menghalang apa yang berlaku.

Bagi penulis, pertimbangan yang sewajarnya tetap perlu dibuat bersungguh-sungguh jika melibatkan golongan kanak-kanak kerana mereka masih mentah untuk mengenal apa makna ‘risiko’.

Berbalik kepada aktiviti mendaki, penulis faham zaman kanak-kanak lebih ‘melekat’ dengan gajet, jadi ramai ibu bapa yang mencari alternatif paling menyeronokkan untuk mengalih perhatian anak-anak termasuk memilih aktiviti luar atau outdoor.

Ditambah dengan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini, masyarakat hanya ada pilihan untuk pergerakan domestik di mana terdapat golongan yang gemar memilih ‘bercinta dengan alam’.

Tetapi sebagai penjaga yang bertanggungjawab, mereka perlu lebih bijak memilih aktiviti dan lokasi yang sesuai, sekurang-kurangnya mengurangkan risiko terhadap kanak-kanak.

Semoga kemalangan yang menimpa kanak-kanak ketika mendaki menjadi pengajaran kepada ibu bapa untuk sentiasa beringat jika membawa anak-anak.

Jangan sampai kegembiraan anak-anak bertukar menjadi kesedihan kita.

* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional

Klik di sini untuk terus membaca