RAKYAT Malaysia ketika ini khuatir tentang dua jenis nombor. Majoriti besar bimbang dengan lonjakan baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) dan meningkatnya jumlah kematian berkaitan penyakit itu.
Satu lagi segmen populasi yang jauh lebih kecil pula memberi tumpuan kepada jumlah ahli Parlimen yang boleh digerakkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya menyingkirkan Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan merebut jawatan itu untuk dirinya sendiri.
Walaupun kematian akibat Covid-19 di Malaysia kecil jika dibandingkan dengan banyak negara lain, kesan koronavirus terhadap kehidupan dan mata pencarian sangat dahsyat. Ia telah menambah kemelaratan orang miskin dan golongan yang mudah terjejas dalam kalangan kita.
Sebaliknya, pencarian nombor Anwar dikaitkan dengan cita-cita obsesif seorang lelaki untuk menjadi Perdana Menteri. Obsesi itu dinyatakan dirinya sendiri dalam satu majlis kira-kira 22 tahun lalu.
Pada tahun 1998, beliau berusaha untuk melemahkan Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui pihak tertentu ketika negara berdepan dengan krisis kewangan dan ekonomi yang tenat.
Pada tahun 2008, beliau berusaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi tindakan lompat parti ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang kurang lapan kerusi bagi majoriti dua pertiga tetapi tidak berjaya.
Hari ini, beliau berusaha sekali lagi didorong oleh hakikat bahawa Muhyiddin hanya mempunyai majoriti tipis di Parlimen.
Namun, beliau lupa bahawa Muhyiddin telah diterima baik sebagai pemimpin yang menguruskan dua isu berkembar Malaysia iaitu kesihatan dan ekonomi dengan hati yang ikhlas dan usaha mantap.
Bagi Anwar dan penyokongnya, Muhyiddin masih kekurangan legitimasi kerana telah mengetepikan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan (PH), sebaliknya bekerjasama dengan musuhnya iaitu UMNO. Walaupun gerakan terancang itu tidak menyalahi undang-undang, mereka terus membangkitkan soal etika.
Namun, bagaimanakah isu-isu etika itu dapat diselesaikan sekiranya Anwar kini sedia bersekongkol dengan watak tercemar dalam UMNO dalam usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin dan menjadi Perdana Menteri?
Seseorang akan dapat mengembalikan integriti kepada proses politik tetapi bukanlah melalui langkah yang moralnya dipersoalkan.
Mungkin melalui pilihan raya umum sahaja dapat menetapkan semula barometer moral. Namun, selepas apa yang berlaku di Sabah, setiap orang mempunyai alasan untuk bimbang mengenai pilihan raya umum dan bagaimana ia boleh menjadi faktor penyebab kepada meledaknya kes Covid-19.
Jika mengelak pilihan raya umum adalah pilihan bijak, jadi apakah jalan lain yang boleh digunakan untuk memastikan suhu politik kita stabil?
Pertama, Majlis Raja-raja sebagai sebuah entiti yang memegang kuasa perlembagaan harus memainkan peranan yang lebih aktif.
Sebagai sebuah institusi kolektif, ia tidak harus hanya menasihati dan memberi panduan kepada badan perundangan dan Kabinet tetapi juga memastikan pemimpin politik tidak menyeleweng daripada amanah yang dipertanggungjawabkan.
Sebenarnya Agong dan Sultan sudah beberapa kali meminta pemimpin politik untuk menumpukan kepada krisis Covid-19 dan tidak bercakaran untuk merebut kuasa.
Kedua, secara konkrit, Majlis Raja-raja boleh meminta kerajaan dan pembangkang kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri untuk mencari mekanisme yang membolehkan mereka bekerjasama secara rapat dalam mencari penyelesaian kepada cabaran Covid-19 serta ekonomi.
Kerjasama yang ikhlas dan sejati antara kedua-duanya dapat menghasilkan langkah-langkah yang lebih berkesan terutama dalam aspek ekonomi yang akan membawa faedah besar kepada rakyat.
Ketiga, kerjasama seperti itu harus membawa kepada keadaan di mana pemimpin kerajaan iaitu Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas mereka iaitu melaksanakan amanah, bukannya saling menjatuhkan antara satu sama lain.
Kesejahteraan rakyat – bukan memenuhi keinginan diri sendiri – sepatutnya menjadi semangat utama mereka.
Keempat, komitmen mereka kepada rakyat perlu diterjemahkan kepada polisi dan undang-undang untuk beberapa bulan seterusnya yang bertujuan membendung amalan tertentu yang boleh memudaratkan kepentingan negara.
Contohnya, undang-undang untuk mengekang lompat parti perlu disegerakan.
Begitu juga, cadangan untuk mewujudkan Ombudsman yang pertama kali diperdebatkan pada awal tahun 1970-an, yang akan memberi pejabat kuasa autonomi untuk menyiasat dan bertindak terhadap kesalahan yang belum mendapat perhatian sewajarnya daripada jabatan atau agensi pemerintah yang berkenaan harus diutamakan tanpa penangguhan.
Kelima, Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga harus secepat mungkin mengangkat ketetapan yang akan menegaskan kembali seruan Persidangan Majlis Raja-raja untuk mematuhi Lima Aspirasi dan Lima Prinsip Rukun Negara sebagai ‘kompas moral’ negara yang dibuat pada 10 Oktober 2017.
Memandangkan suasana yang berlaku ketika ini, Aspirasi dan Prinsip berfungsi sebagai panduan terpuji. Jika lima cadangan tadi dan idea serupa dilaksanakan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang, tidak mustahil negara dapat menumpukan perhatian untuk mengatasi masalah tersebut iaitu Covid-19 dan ekonomi semasa.
Kita juga akan dapat meluangkan masa, tenaga dan usaha untuk melaksanakan Belanjawan 2021 dan menumpukan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 pada awal tahun hadapan. Negara tidak akan terganggu oleh politik yang tidak produktif.
*Dr Chandra Muzaffar telah menulis mengenai politik Malaysia sejak awal 1970-an
Klik di sini untuk terus membaca