PIHAK berwajib diharap dapat memberikan pengecualian kepada empat pasukan bola sepak yang berpangkalan di Lembah Klang untuk mengadakan sesi latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
Selain sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia, dua pasukan - UiTM FC dan Kuala Lumpur turut dijadualkan menghadapi aksi terakhir liga pada 30 Oktober ini.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, pengecualian itu dapat membantu dua pasukan terbabit selain Selangor dan PJ City FC untuk membuat persiapan masing-masing.
"Saya anggap sukan bola sepak ini sebagai satu industri. Jadi latihan memang kena diteruskanlah walaupun ketika PKPB kali ini. Janganlah kata (sudah) berlatih, boleh terus menghadapi perlawanan sebenar. Tak boleh... industri bola sepak bukan macam tu.
"Katakanlah jika PKPB tamat pada 27 Oktober nanti dan kemudian tiba-tiba pada 6 November dah mula Piala Malaysia, ia ibarat malapetaka kepada pemain kerana mereka terdedah kepada kecederaan.
"Sekiranya pemain mengalami kecederaan, mereka tak akan tandatangan kontrak atau dapat tawaran kontrak lagi disebabkan kita sekarang berada di penghujung musim. Perkara ini serius dan perlu diberikan perhatian,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Awal minggu ini, kerajaan mengumumkan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober ini bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Sathianathan berharap agar masalah berkenaan dapat diatasi segera dalam usaha memberikan ruang dan peluang untuk industri bola sepak terus ‘hidup’ di negara ini.
"Bagi saya, ramai orang masih tak anggap bola sepak sebagai satu bentuk pekerjaan. Apa yang mereka faham, main bola ni macam rekreasi tetapi dalam era profesional, bola sepak ini adalah periuk nasi pemain.
"Jadi kalau ‘kilang’ nak keluarkan produk, pekerja kena pergi bekerjalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Sukan bola pun ada SOP dan kita semua patuh dengan SOP yang telah ditetapkan," ujarnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, skuad The Hawks bakal berdepan masalah tidak dapat turun ke padang susulan pelaksanaan PKPB menjelang aksi terakhir Liga Premier bertemu Kuching FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Perkara yang sama turut disuarakan Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad yang menganggap skuad The Lions Troop itu berdepan dengan kesuntukan masa sebelum saingan terakhir CIMB Liga Super menentang Sabah di Stadium UiTM, Shah Alam.
Klik di sini untuk terus membaca