EMPAT tahun selepas dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 pada tahun 2016, nasib Donald Trump di Rumah Putih bakal ditentukan pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 yang dijadualkan berlangsung 3 November ini.... Klik di sini untuk terus membaca

EMPAT tahun selepas dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 pada tahun 2016, nasib Donald Trump di Rumah Putih bakal ditentukan pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 yang dijadualkan berlangsung 3 November ini.

Lawan Presiden Republikan itu kali ini ialah Joe Biden, ahli politik veteran daripada Parti Demokrat yang juga bekas Naib Presiden AS ketika pentadbiran Barack Obama dari tahun 2009 hingga 2017.

Persaingan menyaksikan dua calon presiden berusia lebih 70 tahun cuba meraih majoriti 270 undi daripada 538 undi badan perwakilan pemilih (electoral college votes) yang diperlukan bagi memastikan kemenangan mutlak.

Kini kurang tiga minggu menjelang pilihan raya, Trump, 74 dan Biden, 78, masing-masing rancak berkempen. Malah Trump yang sebelum ini mengesahkan dirinya positif Covid-19 turut bertindak berani dengan mengadakan himpunan terbuka bertemu para penyokong selepas mendakwa dirinya disahkan sihat oleh doktor.

Demi melunaskan hasrat terus berkuasa di Rumah Putih, Trump berkempen habis-habisan, namun hasil tinjauan pendapat mendapati lebih 50 peratus rakyat berhasrat mengundi Biden berbanding Trump.

Ketinggalan Tetapi ini tidak bererti Biden boleh menarik nafas lega. Untuk rekod, dalam sistem undi badan perwakilan pemilih yang digunakan AS untuk melantik presiden, calon yang meraih undi terbanyak di peringkat nasional masih berkemungkinan tewas sekiranya mendapat undi sedikit di peringkat badan perwakilan pemilih.

Contoh jelas berlaku kepada Hillary Clinton ketika menentang Trump pada Pilihan Raya Presiden AS tahun 2016. Clinton meraih hampir tiga juta lebih banyak undi berbanding Trump terutama di kubu kuat Parti Demokrat seperti New York dan California.

Bagaimanapun, Trump berjaya menewaskan bekas Wanita Pertama AS itu dalam persaingan undi badan perwakilan pemilih dengan beroleh 304 undi berbanding 227 susulan kemenangan di beberapa negeri utama digelar battleground states di mana sokongan pengundi terbahagi sama rata antara Parti Demokrat dan Republikan.

Kini teka-teki utama adalah sama ada Trump mampu mengekalkan jawatan presiden untuk tempoh empat tahun lagi dan andai jawapannya ya, apakah impak yang bakal mendepani rakyat AS dan komuniti dunia.

Presiden Trump (kiri) dan Joe Biden bersemuka dalam Debat Presiden yang diadakan 23 September lalu.

Melihat rekod prestasi karier politik Trump, penggal pertama pentadbiran bilionair hartanah tersebut umpama drama berepisod yang menampilkan banyak adegan kontroversi sama ada di dalam negara mahupun pentas antarabangsa.

Dengan sikap Trump yang kurang disenangi kebanyakan rakyatnya sendiri mampukah beliau terus bergelar Presiden AS ke-46 kelak?

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fuad Othman, terdapat beberapa faktor mengapa Trump dilihat ketinggalan berbanding Biden.

"Beberapa culaan (polls) dijalankan dan situasi terkini menunjukkan Biden mendahului Trump dengan kelebihan dua digit iaitu 17 peratus. Ini adalah jurang yang besar khususnya tiga minggu sebelum tarikh mengundi,” kata Muhammad Fuad kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, tiga faktor utama menyebabkan Trump ketinggalan adalah disebabkan kegagalan pentadbiran beliau menangani krisis Covid-19 yang menyaksikan jumlah rakyat AS yang dijangkiti sangat tinggi dan kematian melepasi angka 200,000.

"Kedua, Trump sendiri disahkan positif Covid-19 sekali gus memberi tamparan hebat dengan keengganan Trump memakai pelitup muka dan memecat penasihat-penasihat yang tidak serasi dengan beliau.

"Ketiga, keadaan ekonomi AS terjejas teruk dengan ketiadaan dasar yang efektif untuk membantu rakyat ditambah kadar pengangguran berada pada tahap tertinggi melepasi zaman kemelesetan ekonomi tahun 1930-an,” katanya.

Muhammad Fuad berkata, kelebihan dimiliki Trump yang mungkin membolehkan beliau kekal di Rumah Putih adalah sokongan dasar yang sangat setia.

"Sekiranya Trump boleh memperkukuhkan sokongan tersebut dan membuktikan mampu membina kembali ekonomi AS mungkin beliau mempunyai sedikit peluang.

"Bagaimanapun, ketidakupayaan Trump meyakinkan rakyat khususnya ketika Debat Presiden baru-baru ini telah memburukkan lagi kedudukan beliau,” katanya sambil menambah jika Trump dipilih semula, imej AS yang sudah terhakis di pentas politik dunia mungkin akan berterusan.

Konflik

Dalam pada itu, Penolong Profesor, Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Mohd Mokhtar berpandangan jika Trump kembali dipilih sebagai Presiden, rakyat AS bakal berdepan dengan ketidaktentuan respons terhadap pandemik Covid-19.

"Ia juga boleh menyebabkan konflik perkauman antara kumpulan Afrika Amerika dan kulit putih susulan ketidakpuasan hati rakyat dengan cara Trump menangani isu tersebut,” katanya.

Menurutnya, hasrat Trump memansuhkan Affordable Care Act atau menyempitkan skopnya akan menyebabkan kos penjagaan kesihatan meningkat dan membebankan rakyat khususnya golongan miskin.

"Tentang impak kepada komuniti antarabangsa, pelantikan semula Trump mungkin mengakibatkan konflik perdagangan berterusan dengan China. AS akan menjadi lebih bersifat perlindungan dan mengancam trend perdagangan bebas antarabangsa.

"Kelangsungan beberapa agensi antarabangsa juga akan terjejas. Contoh, apabila AS menarik sumbangan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), badan itu kekurangan dana untuk menjalankan kerja-kerja dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Menurut Tunku Mohar, imbangan kuasa dalam politik antarabangsa akan menjadi tidak stabil dan lebih banyak konfrontasi berlaku dengan negara-negara lain dan ia mungkin menyebabkan satu lagi Perang Dingin, kali ini dengan China.

Tinjauan pendapat AS menunjukkan Biden kini sedang mendahului Trump. (Tunku Mohar Mohd Mokhtar, Muhammad Fuad Othman)

Klik di sini untuk terus membaca