DUA tiga hari ini, Merak Jalanan tengok dinding Facebook penuh dengan teka-teki satira. Netizen secara terang-terangan mengutarakan kemusykilan bagaimana seorang lelaki berbadan besar boleh memanjat pagar setinggi kira-kira enam meter.
Merak Jalanan percaya teka-teki berkenaan merujuk kepada suspek utama kes Macau Scam yang melarikan diri ketika dibawa keluar dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebaik sahaja dibebaskan dengan jaminan.
Teka-teki tersebut mencuit hati kerana ia disertakan sekali dengan gambar suspek utama dan pagar bangunan SPRM di Putrajaya. Tidak cukup dengan itu, ada juga dalam kalangan netizen yang memuat naik lukisan seorang lelaki berbadan besar melompat melepasi pagar berkawat.
Teka-teki satira berserta gambar suspek dan pagar SPRM itu nampaknya terus tersebar dan dikongsikan ribuan pengguna Facebook setiap hari sehingga ia menjadi bahan lawak yang menghiburkan pelayar Facebook.
Bagaimanapun, Merak Jalanan percaya netizen sebenarnya sedang menyindir pihak berkuasa berkaitan melalui teka-teki berkenaan.
Cara teka-teki tersebut dipersembahkan jelas menunjukkan mereka hairan bagaimana suspek utama kes berprofil tinggi seperti itu boleh melarikan diri dengan mudah dalam bangunan yang dikawal ketat?
Atas sebab itu, Merak Jalanan rasa mungkin netizen sengaja membuat teki-teki berkenaan agar pihak berkaitan segera bertindak dan menyelesaikan masalah itu kerana rakyat sememangnya marah dan geram terhadap jenayah melibatkan Macau Scam itu.
Merak Jalanan juga percaya netizen sengaja menyindir dengan cara demikian kerana mereka tidak mahu kredibiliti penguat kuasa diperlekehkan. Oleh yang demikian, menyindir adalah cara terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca