SHAH ALAM - Pakar-pakar ekonomi berpendapat sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan memberi impak yang besar terhadap perancangan kerajaan bagi tahun 2021.
Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk merealisasikan strategi pengawalan wabak dan pemulihan ekonomi atau Strategi Pemulihan 6R jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
"Jika belanjawan tidak diluluskan, kita akan berdepan dengan empat kesukaran iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat terutama kelompok miskin termasuk miskin bandar yang boleh dilihat selepas Oktober ini iaitu pasca tiada lagi moratorium.
"Selain itu, bagaimana untuk memastikan defisit hutang terkawal dan memastikan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya di sini semalam.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Dr Nor Azira Ayob berkata, perbelanjaan tanggungan tetap akan berfungsi seperti biasa jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.
Bagaimanapun, katanya, aspek perbelanjaan mengurus yang lain seperti program kerajaan atau perolehan kerajaan akan tergendala sehingga belanjawan baharu itu diluluskan.
"Perkara serupa pernah berlaku pada tahun 1999, apabila Belanjawan 2000 dibentangkan dan belum sempat diluluskan, Parlimen dibubarkan. Ia dibentangkan semula pada Februari 2000.
"Sekiranya Parlimen tergantung, maka Belanjawan 2021 turut tergantung tetapi perbelanjaan tanggungan dan perbelanjaan mengurus akan terlaksana seperti yang dijelaskan,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi daripada Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kelulusan untuk belanja pengurusan dan pembangunan bagi tahun hadapan mestilah diluluskan dalam Parlimen melalui pembentangan Belanjawan 2021.
Menurutnya, tidak ada perbelanjaan yang akan dapat dikeluarkan kerajaan pada tahun depan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan dan ia akan dikaitkan dengan undi tidak percaya kepada kerajaan sekarang.
"Yang di-Pertuan Agong berhak membuat keputusan untuk memilih Perdana Menteri baharu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen atau mengadakan pilihan raya semula jika tiada individu mendapat sokongan majoriti.
"Bagaimanapun, kemungkinan mengadakan pilihan raya semula dilihat agak tipis dengan suasana pandemik Covid-19 ini, malah rakyat akan marah kepada sesiapa sahaja yang membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca