JURULATIH berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan percaya pemain kebangsaan, Safawi Rasid mampu untuk tampil cemerlang bersama Portimonense SC selepas melihat aksinya dalam penampilan pertama bersama skuad Bawah 23 (B-23) kelab Portugal itu.... Klik di sini untuk terus membaca

JURULATIH berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan percaya pemain kebangsaan, Safawi Rasid mampu untuk tampil cemerlang bersama Portimonense SC selepas melihat aksinya dalam penampilan pertama bersama skuad Bawah 23 (B-23) kelab Portugal itu.

Menurutnya, beliau melihat Safawi mampu menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan tersebut dan diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama skuad B-23 itu.

"Ini permulaan baharu kepada Safawi dan berdasarkan video pendek skuad B-23 itu saya nampak ada perkembangan baik di sana dan saya percaya dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

"Malah, dalam penampilan pertamanya itu juga saya nampak dia tidak janggal untuk beraksi. Saya tak nampak perbezaan ketara dalam persembahannya yang sememangnya sudah cemerlang ketika ditampilkan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya kepada Sinar Ahad, semalam.

Terdahulu, Safawi melakukan penampilan pertamanya bersama skuad B-23 Portimonense SC yang menyaksikan pasukan itu tewas 1-3 kepada Sporting Lisbon dalam aksi Liga Revelacao B-23 di Stadium Dois Irmaos.

Pemain berusia 23 tahun itu diletakkan dalam kesebelasan utama dan diberikan peranan sebagai pemain sayap kanan dalam perlawanan tersebut.

Kelibat Safawi dalam kelab tersebut juga turut mencuri perhatian peminat bola sepak di negara ini yang turut mendoakan agar Safawi diberikan peranan beraksi dalam kesebelasan utama Portimonense SC.

Dalam pada itu, Wan Jamak turut menasihati peminat bola sepak di negara ini supaya bersabar untuk melihat Safawi beraksi sebagai kesebelasan utama pasukan tersebut.

"Setiap pemain baharu yang datang ke kelab, dia perlu menyesuaikan diri terlebih dahulu. Kemudian, pihak kejurulatihan kelab itu akan melihat prestasi dia lebih-lebih lagi dia datang daripada satu tempat yang jauh.

"Tetapi saya tengok perkembangan itu baik dan dalam masa seminggu kat sana dia dah boleh main dengan skuad B-23. Mungkin kita tidak boleh tengok dia cepat sangat bermain dalam skuad utama. Kita bimbang kalau cepat sangat akan memudaratkan dia.

"Biar dia bertapak satu langkah ke satu langkah dan saya yakin dia mampu menyinar di sana," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca