"Tak adil jika ada penyingkiran sebab liga itu sendiri tak cukup sifat.”
Demikian tegas Pengurus Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang ketika diminta mengulas cadangan daripada beberapa pasukan yang memohon supaya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak mengenakan hukuman penyingkiran daripada Liga Super ke Liga Premier musim ini.
Mohamed Suffian berkata, jika MFL tetap mengenakan hukuman tersebut, ia hanya akan mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak memandangkan tiada proses penyingkiran membabitkan saingan Liga Premier.
"Bagi saya penyingkiran itu tak adil sebab liga itu sendiri tak cukup sifat. Ini kerana perlawanan hanya berlangsung satu pusingan, bukannya timbal balik iaitu perlawanan home dan away (gelanggang sendiri dan gelanggang lawan).
"Lebih memburukkan keadaan apabila ada pasukan yang terpaksa memulakan saingan musim ini dengan dikenakan hukuman pemotongan mata selain aksi kali ini berlangsung dalam situasi penularan wabak Covid-19.
"Jadi melihatkan beberapa situasi yang berlaku sepanjang saingan liga musim ini, kami juga memohon pertimbangan yang adil dan saksama daripada MFL berhubung perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa sama, beliau berharap MFL memperhalusi sebaik-baiknya usul yang dibawa beberapa pasukan sebelum ini agar tiada proses penyingkiran dalam saingan Liga Super kali ini.
"Diharap MFL dapat mempertimbangkan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan nanti demi kepentingan Liga-M itu sendiri,” ujarnya yang juga Exco Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Terdahulu, terdapat laporan yang mengatakan sekurang-kurangnya enam pasukan Liga Malaysia (Liga-M) telah mengusulkan kepada MFL agar tiada proses penyingkiran yang melibatkan dua pasukan tercorot Liga Super musim ini.
Selepas 11 perlawanan, Felda United dan PDRM mengisi dua kedudukan terakhir Liga Super manakala dua pasukan tercorot Liga Premier - Perak II dan Sarawak United pula terselamat setelah MFL memutuskan tidak ada penyingkiran musim depan setelah saingan Liga M3 dibatalkan.
Klik di sini untuk terus membaca