PERNIAGAAN tradisi masyarakat India di Malaysia dilegasikan secara turun-temurun telah terjejas teruk susulan penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun ini. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan dan berperingkat bermula... Klik di sini untuk terus membaca

PERNIAGAAN tradisi masyarakat India di Malaysia dilegasikan secara turun-temurun telah terjejas teruk susulan penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan dan berperingkat bermula bulan Mac lalu telah mengundang implikasi buruk terhadap kelancaran pengoperasian perniagaan tradisional minoriti India itu.

Jangkitan virus Covid-19 yang tidak mengenal kerabat dan status itu sebenarnya semakin menutup pintu rezeki golongan peniaga India malahan menggugat kestabilan kedudukan perniagaan dan kewangan mereka.

Para pengusaha India yang sepenuhnya bergantung kepada perniagaan tradisional itu cukup bimbang mengenang nasib dan masa depan mereka untuk meneruskan legasi agar perniagaan berkenaan tidak pupus dalam ketidakstabilan ekonomi negara.

Senario pasca PKP sejak kebelakangan ini telah membuat perniagaan tradisional itu semakin suram disebabkan jumlah kunjungan orang ramai ke kedai-kedai pengusaha India telah merudum.

Menurut laporan Malaysia Nanban, aliran jualan juga kurang memberangsangkan kerana kekurangan kunjungan pengguna dan akibatnya keuntungan harian yang diraih para pengusaha India menyukarkan untuk memulihkan kembali perniagaan tradisional itu.

Ujar Malaysia Nanban lagi, ada juga peniaga meluahkan kekhuatiran mereka apabila stok barangan yang telah diimport masih disimpan dalam gudang tanpa sebarang permintaan.

Justeru para peniaga terpaksa memikul beban kerugian dan hutang besar disebabkan kelemahan pasaran perniagaan tradisional India tempatan.

Sementara itu, sejak kebelakangan ini orang ramai terutama masyarakat India pula lebih mengutamakan untuk membeli barangan keperluan harian berbanding yang mewah.

Deepavali

Misalnya, produk-produk dekorasi rumah sempena perayaan Deepavali, peralatan, perabot berharga tinggi dan lain-lain lagi didapati kurang mendapat sambutan daripada para pengguna India.

Tambahan pula pada tahun-tahun sebelum ini, orang ramai yang sanggup menjelajah ke negeri lain untuk membeli-belah bersempena persiapan perayaan Deepavali.

Kini lebih berminat untuk membelanja duit mereka di lokasi perniagaan berdekatan dan ingin menjimatkan persiapan Deepavali dengan apa yang sedia ada.

Cabaran dihadapi para peniaga sememangnya hebat tetapi penyelesaian untuk situasi yang getir itu tentunya ada.

Kesabaran dan kepercayaan para peniaga India terhadap rakyat Malaysia serta pihak kerajaan yang cuba bertungkus lumus berusaha memulihkan sektor ekonomi negara secara berperingkat.

Pastinya akan membawa sinar baharu dan mengembalikan kuasa membeli para pengguna pada masa yang sama mengekalkan survival perniagaan tradisional masyarakat India yang menjadi tradisi diwarisi generasi.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca