"KEJOHANAN Olahraga Terbuka Malaysia yang melibatkan penyertaan atlet luar negara penting diadakan supaya atlet negara dapat mempamerkan dan menilai sejauh mana keupayaan sebenar masing-masing selepas menjalani latihan dalam tempoh beberapa... Klik di sini untuk terus membaca

"KEJOHANAN Olahraga Terbuka Malaysia yang melibatkan penyertaan atlet luar negara penting diadakan supaya atlet negara dapat mempamerkan dan menilai sejauh mana keupayaan sebenar masing-masing selepas menjalani latihan dalam tempoh beberapa bulan ini.”

Demikian tegas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu selepas ketiadaan sebarang pertandingan kompetitif yang melibatkan atlet di bawah naungan badan induk olahraga negara itu susulan pandemik Covid-19.

"Ya, saya akui komuniti sukan seluruh dunia termasuk juga keluarga besar KOM sememangnya cukup terkesan akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan semua aktiviti dengan penangguhan beberapa acara sukan.

"Kita juga perlu realistik ketiadaan acara sukan bersifat kompetitif ini sememangnya memberi kesan secara tidak langsung kepada atlet negara walaupun sebelum ini mereka sudah mula kembali ke gelanggang bagi menjalani latihan.

"Kita sebenarnya boleh sahaja mengadakan pelbagai kejohanan dalaman atau simulasi, namun dikhuatiri keputusannya tidak seperti mana diharapkan jurulatih yang mengharapkan lebih impak dalam usaha melakukan penambahbaikan.

"Jiwa atlet secara psikologi apabila menyarung lencana di dada, bersaing dengan peserta dari negara luar mereka akan lebih bersemangat melakukan terbaik demi negara itu realitinya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

KOM sebelum ini dijadualkan menganjurkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 Disember depan.

Namun, Muthu berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan situasi semasa pandemik berkenaan.

"KOM akan hantar jemputan kepada beberapa negara luar bagi memaklumkan mengenai penganjuran kejohanan ini. Sekiranya sebahagian daripada jemputan seperti Singapura atau Thailand dapat menghantar atlet masing-masing, ia secara tidak langsung menyemarakkan semula semangat atlet yang bertanding nanti,” ujarnya.

Mengenai perkembangan semasa atlet negara, Muthu memberitahu: "Latihan dalam kalangan atlet negara pada masa ini tiada masalahnya sebenarnya kerana mereka cukup berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ikutkan mereka ini sudah tidak sabar kembali mencabar diri dalam sebarang kejohanan kompetitif setelah melakukan persiapan rapi dalam latihan sejak beberapa bulan lalu.

"Kami berharap situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia terutamanya Malaysia pada ketika ini akan kembali reda dan tenang pada Disember depan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca