TUNJUK perasaan antikerajaan di Nigeria sejak awal bulan ini yang mulanya aman di Lagos tetapi kemudian bertukar menjadi ganas dan merebak di beberapa bandar lain memberikan petunjuk bahawa golongan muda masih tidak berpuas hati dengan pembaharuan yang berlaku di negara itu.
Pada mulanya, ia dilakukan bagi menuntut pengharaman satu unit polis iaitu Skuad Khas AntiPerompak (SARS) yang mempunyai reputasi menerima rasuah dan melakukan kekejaman yang kemudiannya mendapat tindak balas segera daripada Presiden Muhammadu Buhari.
Skuad SARS itu ditubuHkan pada tahun 1992 bagi memerangi kegiatan rompakan dan jenayah serius lain di Lagos tetapi telah dikembangkan di 36 buah negeri termasuk di ibu kota pentadbiran, Abuja menjelang tahun 2002.
Bagaimanapun, pada tahun 2016, Pertubuhan Amnesty International mengumpulkan 82 kes penderaan, layanan teruk dan hukuman tambahan selepas hakim menjatuhkan hukuman oleh SARS terhadap mangsa-mangsanya yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang ditangkap dalam serbuan jalanan ketika mereka sedang minum di pub atau menyaksikan perlawanan bola sepak.
Tunjuk perasaan secara aman itu menjadi ganas apabila seorang individu mati didakwa dibunuh oleh pasukan keselamatan pada 10 Oktober lepas di bandar Oyo, barat daya negara tersebut dalam usaha pihak berkuasa mengekang tunjuk perasaan tersebut.
Ia kemudian merebak dan beberapa tunjuk perasaan diadakan oleh diaspora Nigeria di luar negara terutamanya di ibu kota London.
Akhirnya, Muhammadu tunduk kepada tekanan kepada tuntutan daripada golongan muda itu dengan menyatakan SARS akan dibubarkan pada 11 Oktober dan perbuatan polis menyalahgunakan kuasa akan disiasat manakala anggota-anggota yang melakukan perbuatan itu pula akan didakwa.
Bagimanapun tunjuk perasaan kembali tercetus akibat satu rakaman video menerusi media sosial yang menunjukkan seorang anggota SARS menyerang seorang lelaki muda di bandar Ughelli, selatan Nigeria pada 3 Oktober lepas.
Biarpun kerajaan berjanji untuk menubuhkan sebuah unit baharu yang lebih beretika menggantikan SARS, namun langkah itu tidak berjaya memadam api kemarahan penunjuk perasaan apabila ribuan orang ramai berhimpun di jalanan di beberapa buah bandar di Nigeria sehingga menyebabkan trafik terhenti di Lagos pada 13 Oktober lepas.
Para penunjuk perasaan itu dikatakan membuat lima tuntutan termasuk pembaharuan dilakukan dalam pasukan polis dan gaji yang lebih baik untuk para pegawainya.
Ramai tunjuk perasaan menuntut lebih banyak pembaharuan dilakukan di negara berkenaan yang mempunyai bilangan penduduk paling miskin di dunia dan kadar pengangguran tinggi dalam kalangan golongan muda.
Angka kematian akibat tunjuk perasaan itu kemudian meningkat dan dikatakan 56 orang telah terbunuh sehingga ia mendapat kritikan daripada beberapa buah negara di Barat dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterras mendesak polis menamatkan tindakan ganas.
Ketua Dasar Awam Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell pula berkata: "Adalah penting sesiapa yang bertanggungjawab atas penyalahgunaan kuasa dibawa ke pengadilan."
Pada 20 Oktober lalu, kerajaan melaksanakan perintah berkurung selepas tunjuk perasaan ganas berlaku di Lagos dan Abuja tetapi pada waktu petang lebih 1,000 penunjuk perasan melanggar perintah itu dan berhimpun di kawasan pondok tol Lekki di Lagos iaitu pusat demonstrasi.
Bandar raya Lagos yang dihuni oleh kira-kira 20 juta penduduk kemudian lumpuh pada 19 Oktober apabila para penunjuk perasaan menyekat laluan ke lapangan terbang dan jalan raya utama menyebabkan kesesakan jalan raya dan sekolah-sekolah terpaksa ditutup.
Para penunjuk perasaan itu bergerak ke dewan perhimpunan kebangsaan yang merupakan Parlimen negara tersebut dan orang ramai membuat sekatan di beberapa jalan raya utama di Lagos.
Dalam pada itu, para penunjuk perasaan di sekitar negara itu turut mengadu bahawa "samseng" telah dibayar oleh para pegawai tempatan dalam tunjuk perasaan tersebut manakala di Benin, dua kemudahan polis diserang oleh penunjuk perasaan sehingga mengakibatkan gabenor tempatan mengeluarkan arahan perintah berkurung selama 24 jam.
Barangan di kedai-kedai dicuri, bangunan-bangunan dibakar dan kadangkala tembakan kedengaran pada Khamis lalu walaupun perintah berkurung sudah dilaksanakan di Lagos.
Menurut laporan portal berita antarabangsa Guardian, terdapat slogan "Jangan membunuh para pemimpin pada masa depan" pada poster yang dipegang oleh seorang pemuda dalam penunjuk perasaan itu.
Justeru, Presiden Nigeria yang berusia 77 tahun dan juga bekas ketua tentera dan mula memegang kuasa pada tahun 2015 merayu pada Khamis lalu supaya golongan muda untuk "tidak meneruskan protes jalanan dan terlibat secara konstruktif dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian masalah." - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca