TANGGAL 1 Oktober setiap tahun adalah Sambutan Hari Warga Emas. Sambutan tahun ini cukup berbeza kerana diraikan dalam situasi negara sedang mendepani pandemik koronavirus (Covid-19).
Justeru, tema Hari Warga Emas Antarabangsa tahun ini adalah berkaitan pandemik iaitu Pandemics: Do They Change How We Address Age and Ageing? adalah sangat bertepatan dalam situasi golongan ini yang sangat mudah terdedah dengan jangkitan Covid-19.
Perlu diingat, kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas.
Sehubungan itu, adalah menjadi obligasi sosial dan komitmen kerajaan dan seluruh masyarakat untuk menyediakan persekitaran kondusif sebagai tanda pengiktirafan bagi membolehkan warga emas kita menua secara aktif, produktif dan sihat antaranya melindungi golongan ini daripada kitaran ganas Covid-19.
Malaysia tidak ketinggalan dalam mencatatkan peningkatan bilangan warga emas yang dijangkiti dengan wabak Covid-19.
Walaupun semua peringkat umur mempunyai risiko untuk dijangkiti virus Covid-19, namun warga emas adalah golongan yang paling berisiko serta mempunyai kadar kematian yang tinggi kerana mereka lazimnya mempunyai daya kekebalan tubuh yang lebih lemah disebabkan penyakit-penyakit kronik.
Malahan,data global menjangkakan 66 peratus warga emas berusia 70 tahun dan ke atas serta menghidap salah satu penyakit kronik akan meningkatkan lagi risiko untuk terkena jangkitan virus Covid-19.
Di Malaysia, pada 23 Oktober, misalnya, tujuh daripada 10 kes kematian yang dilaporkan membabitkan warga emas manakala pada 25 Oktober, lima daripada lapan kematian juga membabitkan golongan ini yang mempunyai rekod penyakit kronik.
Golongan warga emas juga terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara fizikal dan dari sudut psikologi.
Apatah lagi sekiranya mereka adalah daripada golongan yang menghidapi dimensia, kemurungan atau kerisauan yang melampau, keadaan ini akan menambahkan lagi reaksi yang besar.
Justeru, ahli keluarga atau penjaga yang duduk serumah bersama warga emas supaya bertanggungjawab memastikan golongan itu sentiasa dijaga dan dilindungi daripada jangkitan Covid-19.
Malah, semua pihak harus mengambil tindakan drastik dengan mengutamakan ujian kesihatan terhadap warga emas yang tinggal di kawasan yang tertutup atau bersesak, warga emas yang tinggal di pusat jagaan atau di hospital bagi mendapatkan rawatan untuk jangka masa panjang.
Di Malaysia, usaha kerajaan dalam melindungi warga emas daripada risiko terkena jangkitan virus Covid-19 harus dipuji.
Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa cadangan yang efektif dalam mencegah jangkitan Covid-19 di institusi jagaan warga emas seperti menggalakkan pengamalan kebersihan kendiri, melakukan saringan Covid-19 di semua pusat jagaan warga emas, pengasingan warga emas yang sakit dan lawatan pelawat adalah ditangguhkan sepanjang tempoh kawalan pergerakan.
Bagi penjaga yang menjaga warga emas di rumah, mereka harus mempunyai sikap ambil peduli dalam urusan pengendalian diri dan emosi warga emas.
Mereka juga perlu memastikan kesihatan warga emas ini terpelihara. Antara peranan yang boleh diambil oleh penjaga warga emas adalah mengambil tahu bila tarikh susulan rawatan mereka di hospital, cakna berkenaan jenis ubat-ubatan yang diambil serta memastikan warga emas mendapat rawatan yang sewajarnya di pusat kesihatan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca