KUALA LUMPUR - Suasana di beberapa buah pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang kelihatan lengang apabila jumlah kedatangan pengunjung merosot teruk berikutan insiden kes positif Covid-19 di banyak premis perniagaan baru-baru ini.
Rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan kerisauan mereka mengenai kes Covid-19 yang semakin meningkat dari hari ke hari dan penularan virus di banyak tempat umum termasuk di pusat beli-belah.
Pengunjung pusat beli-belah One Utama, Muhammad Daniel Ali, 25, berkata, keadaan di pusat membeli-belah kini kurang meriah dengan kehadiran pelanggan.
"Saya selalu datang ke One Utama ini, selalu memang ramai orang, tapi sejak kes Covid-19 semakin meningkat, tak ramai macam dulu, mungkin ramai yang takut untuk keluar berjalan.
"Saya datang ni pun sebab nak beli barangan keperluan, kalau tak, memang tak ke mana-mana, duduk rumah sajalah," katanya.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pusat membeli belah antaranya di Sogo, One Utama, The Curve dan beberapa pusat beli-belah lain mendapati operasi perniagaan berjalan seperti biasa, namun bilangan pengunjung tampak kurang berbanding kebiasaan.
Pengunjung The Curve, Syahril Mohd Anuar, 36, berkata, faktor kurang pengunjung di beberapa pusat membeli-belah ini mungkin disebabkan kerisauan terhadap Covid-19.
"Orang ramai risau sebenarnya, lagi pun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, satu keluarga hanya dua orang boleh keluar, dan pergerakan juga agak terbatas kecuali ada hal penting.
"Macam saya kebetulan tinggal di kawasan sekitar, jadi agak mudah nak datang sini," katanya.
Peniaga makanan, Mariam Asraf, 43, berkata, jumlah pengunjung agak kurang sejak awal PKPB dilaksanakan lagi.
"Sebelum ini bolehlah dapat dalam RM300 sehari, tapi lepas PKPB nak dapat dalam RM70 pun susah.
"Memang perniagaan pun tak seberapa, saya harap sangat keadaan dapat kembali pulih seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian.
Peniaga pakaian, Santi Nordin, 24, berkata, jualannya agak merosot sejak beberapa hari ini.
"Keadaan di pusat membeli-belah mula lenggang sejak minggu lalu selepas kes positif Covid-19 dikesan semakin menunjukkan pertambahan.
"Saya risau juga jika keadaan berterusan begini, memang rugilah macam ini," katanya.
Terdahulu, Tesco Extra Mutiara Damansara ditutup sementara mulai hari ini selepas tujuh lagi pekerjanya yang sedang menjalani kuarantin di rumah disahkan positif koronavirus (Covid-19) semalam.
Tesco Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, tujuh pekerja terbabit antara 53 rakan sekerja yang berkemungkinan kontak rapat kepada kes Covid-19 pertama direkodkan di pasar raya berkenaan pada 14 Oktober lalu.
Sementara itu, bagi Azlina Idham, 40, katanya sebagai ibu memang menjadi tanggung jawab dia menjaga keselamatan anak-anak."Sejak pelaksanaan PKPB memang saya akur untuk duduk di rumah sementara keperluan harian diuruskan suami, kebanyakan barangan juga biasanya saya tempah secara dalam talian, untuk ke pusat beli-belah memang tiada keperluan buat masa ini." katanya.