KETIKA di kemuncak popularitinya, selebriti, usahawan dan pengacara Neelofa tekad melakukan hijrahnya dengan memakai niqab.
Keputusan itu turut mendapat sokongan peminat, malah ada juga netizen yang mengecam, namun itulah lumrah kehidupan seorang selebriti yang tidak dapat lari daripada gosip sama ada positif atau negatif.
Perkongsian berita gembira itu turut mendapat sokongan positif ibu artis cantik anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, Datin Noor Kartini yang turut berkongsi sebuah video menunjukkan penampilan terbaharu anaknya itu.
Ibu Neelofa juga mengucapkan syukur dan amat gembira dengan perubahan anaknya itu.
"Masya-ALLAH Ya ALLAH aku tiada ungkapan untuk ku ucapkan syukur dengan kurniamu mengamanatkanku bidadari yang terindah untukku, yang banyak mengajarku, yang menjadi inspirasiku,” ungkap Datin Noor Kartini terhadap perubahan anaknya itu.
Neelofa turut memuat naik foto terbaharu dirinya pada 15 Oktober lalu di laman sosial Instagram dengan penampilan baharu yang mendapat pujian ramai. Neelofa menuliskan isi hatinya terhadap penghijrahan yang baharu dilakukan.
Dalam dua perenggan tulisan yang dimuat naik, Neelofa mengaku dirinya kini memilih untuk berniqab.
"Doakan saya insan yang penuh dengan kekhilafan ini agar sentiasa istiqamah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari,” tulis Neelofa.
Bersama penghijrahan penampilan baharunya itu, dia juga tidak henti meminta doa agar keputusan yang diambil mampu mempertahankan istiqamahnya.
"Kirimkan juga buat perjalanan baharu saya nanti agar sentiasa dalam rahmat dan reda Ilahi. Insya- ALLAH semoga kita sentiasa dilindungi ALLAH dan selalu berada dalam rahmat dan ehsanNya,” kata Neelofa dalam hantaran IG yang dibuatnya.
Jika dilihat perjalanan figura tersohor itu, walaupun sering mendapat pujian namun beliau turut pernah mendapat kecaman ketika pelancaran produk tudungnya dan sambutan ulang tahun kelahiran ke-29 di sebuah kelab hiburan terkenal di ibu kota.
Bagaimanapun, kecaman yang diterima langsung tidak mematahkan semangat Neelofa dalam bidang perniagaan, malah beliau semakin berani mengorak langkah mengembangkan sayap perniagaannya.
Neelofa juga terpilih mewakili Malaysia untuk Program Delegasi Belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan dijemput menjadi panel penceramah di Forum Belia Misk-UNDP 2017 di New York, Amerika Syarikat.
Terus positif
Apa yang pasti Neelofa juga mengharumkan nama Malaysia apabila pernah diberi penghormatan sebagai tetamu penting bagi majlis Swarovski Crystal Wonderland Party sempena Minggu Fesyen Milan di Milan, Itali pada 21 September lalu.
Kini Neelofa bukan seperti dahulu lagi dan keputusan berniqab itu turut memberi perubahan positif terhadap pengikutnya di Instagram.
Sehingga kini, pengikutnya sudah mencecah lapan juta di Instagram hanya dalam beberapa hari selepas pengumuman dirinya berniqab.
Walau apa pun, sebagai peminat kita seharusnya menyokong segala perubahan yang dilakukan oleh golongan artis, malah kita perlu terus mendoakan agar mereka sentiasa istiqamah dengan jalan baharu yang dipilih.
Klik di sini untuk terus membaca