KATA tak minat politik tetapi apabila berbicara mengalahkan penganalisis politik tempatan. Tidak dinafikan plot-plot politik tanah air ketika ini begitu menarik perhatian warganet. Apatah lagi, ada sahaja isu-isu baharu yang muncul dan... Klik di sini untuk terus membaca

KATA tak minat politik tetapi apabila berbicara mengalahkan penganalisis politik tempatan. Tidak dinafikan plot-plot politik tanah air ketika ini begitu menarik perhatian warganet.

Apatah lagi, ada sahaja isu-isu baharu yang muncul dan setiap kali itu jugalah warganet melontarkan pendapat masing-masing di media sosial bagaikan tiada kesudahan.

Daripada golongan yang tidak tahu-menahu hal politik sehinggalah bekas menteri Kabinet, semuanya sibuk memuat naik kenyataan demi kenyataan.

Namun, tak pasti sama ada mahu kagum atau tercengang apabila ada golongan yang cetek ilmu politik tetapi mahu menyampuk macam pakar.

Sebenarnya, tidak salah jika mahu melontarkan pendapat tetapi janganlah sampai mengaibkan atau menghina orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Lihat sahaja keceluparan sesetengah individu yang menghina pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong.

Terbaharu, pihak polis menyiasat pemilik akaun Facebook, Ho Ruey Terng selepas didapati memuat naik hantaran serta gambar menghina Agong. Hasil carian mendapati individu berkenaan telah menyahaktifkan akaun Facebook tersebut.

Pada Jumaat lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk memperhalusi permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Permohonan tersebut adalah untuk pelaksanaan darurat bagi memerangi ancaman wabak Covid-19 di Malaysia. Namun, permohonan berkenaan ditolak.

Darurat

Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi negara, Agong berasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak tersebut dengan baik dan berkesan.

Hal darurat itu turut mendapat respons orang ramai apabila lebih 77 peratus rakyat Malaysia dikatakan tidak bersetuju darurat dilaksanakan di Malaysia.

Ia berdasarkan pungutan pendapat ‘Rakyat Malaysia Bersuara’ yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang dibuat menerusi medium sebaran WhatsApp, Telegram, Twitter, Facebook, e-mel dan laman web yang dihubungkan kepada sistem e-Survei IDE.

Meskipun begitu, masih ada pihak berasakan darurat politik perlu bagi menghalang Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, misalnya, mengatakan hanya undang-undang darurat yang terpakai bagi mengelak pilihan raya diadakan.

Begitu juga Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain yang bersetuju jika perintah darurat dibuat kerana beranggapan ia sebagai satu intervensi berperlembagaan untuk mengelak PRU15 sekali gus mengelak lebih banyak jiwa terkorban akibat pandemik seperti yang berlaku susulan PRN Sabah.

Andai ditanya, pasti ramai rakyat yang kecewa dengan sikap pemimpin yang terlalu sibuk berpolitik sedangkan usaha sepatutnya menjurus ke arah membantu rakyat dan negara yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menasihati semua pihak agar bersatu dalam memerangi Covid-19.

Menerusi posting di laman Facebook, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar mengambil iktibar daripada PRN Sabah dan tidak bertelagah antara satu sama lain.

Turut menarik perhatian ialah klip video dua beradik yang dikenali sebagai KuMika KuFaizul dan kakaknya, KuHana Bahiran yang petah berpantun.

Malah, klip video pantun ‘Dari Kita Untuk Mereka’ berdurasi 55 saat itu turut dikongsi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui laman Instagram Seri Paduka dan mendapat lebih 250,000 tontonan.

Pantun itu menyentuh sikap ahli politik yang seakan-akan tidak mengendahkan keresahan rakyat dan kerja keras petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Jelaslah, media sosial kini telah menjadi platform penting untuk cakap-cakap politik. Dari satu sisi, ia mungkin mampu menyuburkan suara demokrasi di negara ini.

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Jenayah/ Mahkamah Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca