SHAH ALAM - Pengecualian caj RM1 di semua mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran wang mesin MEPS wajar diteruskan untuk tempoh masa yang lebih panjang, malah dipertimbangkan secara kekal. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengecualian caj RM1 di semua mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran wang mesin MEPS wajar diteruskan untuk tempoh masa yang lebih panjang, malah dipertimbangkan secara kekal.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengecualian caj tersebut terbukti memberi manfaat besar terhadap urusan harian pengguna lebih-lebih lagi ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

Menurutnya, pihak bank wajar mengambil langkah menanggung caj tersebut untuk dibayar kepada pihak MEPS.

"Tanpa caj berkenaan, pengguna bebas melakukan transaksi di mana-mana tanpa perlu memikirkan pergerakan lebih jauh untuk ke lokasi bank simpanan masing-masing.

"Ia juga memberi penjimatan kepada bank itu sendiri apabila mereka tidak perlu menyediakan khidmat urusan kaunter dengan penggunaan sumber tenaga dan kos penyewaan premis dapat diminimumkan.

"Jadi perkhidmatan itu boleh diteruskan secara percuma dengan bank sendiri boleh memberi sumbangan dalam bentuk beberapa peratus kepada MEPS,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Yusof Abdul Rahman

Mohd Yusof berkata, dengan pengecualian caj tersebut, ia turut merancakkan lagi aktiviti jualan dalam talian.

"Bagi sesetengah orang, caj RM1 itu besar. Jadi, dengan pengecualian ini mereka boleh memanfaatkan urusan jual beli dalam talian dengan lebih rancak,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian caj RM1 di semua rangkaian ATM MEPS masih dikekalkan sehingga kini.

Menurutnya, sebarang keputusan sama ada sehingga bila ia akan diteruskan atau ditamatkan bergantung kepada Kementerian Kewangan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, secara keseluruhan, impak daripada keputusan yang diumumkan itu lebih membantu golongan B40, manakala impak keseluruhan kepada negara adalah minimum.

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

"Saya menyambut baik keputusan kerajaan itu kerana walaupun caj yang dikenakan adalah rendah, ia tetap membebankan pelanggan terutama golongan B40 yang masih menggunakan mesin ATM dan tidak menggunakan perbankan internet.

"Golongan berkenaan kebiasaannya kerap menggunakan mesin ATM dan mengeluarkan duit dalam kuantiti yang kecil.

"Oleh itu, caj RM1 boleh membebankan golongan tersebut,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca