BERMULA sebagai Datuk Bandar Istanbul pada tahun 1994 hingga 1998, Recep Tayyip Erdogan kini merupakan Presiden yang dilihat membentuk semula Turki berbanding pemimpin lain selepas kematian pengasas negara itu, Mustafa Kemal Ataturk.... Klik di sini untuk terus membaca

BERMULA sebagai Datuk Bandar Istanbul pada tahun 1994 hingga 1998, Recep Tayyip Erdogan kini merupakan Presiden yang dilihat membentuk semula Turki berbanding pemimpin lain selepas kematian pengasas negara itu, Mustafa Kemal Ataturk.

Selepas berkhidmat sebagai datuk bandar, beliau menjadi Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2014 berikutan kemenangan Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) dalam pilihan raya dan mula bergelar Presiden yang ke-12 sejak tahun 2014 menggantikan Abdullah Gul daripada parti AKP.

Sudah bergelar datuk dan mempunyai empat orang anak serta berusia 66 tahun, beliau kini dilihat sebagai pejuang golongan Muslim dengan sindiran tajamnya terhadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron, 42, yang membuat kenyataan tentang Islam baru-baru ini.

Beliau berbalah dengan Macron dengan menyindirnya perlu melakukan pemeriksaan mental, berikutan keazaman Presiden Perancis itu mahu memerangi kumpulan radikal Islam di negaranya selepas kepala seorang guru sejarah, Samuel Paty dipenggal kerana menunjukkan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW kepada para pelajarnya.

Kepala guru itu dipenggal pada 16 Oktober lalu oleh remaja etnik Chechnya berusia 18 tahun, Abdullakh Anzorov yang dikatakan pernah berhubung dengan seorang pejuang jihad di Syria tetapi kemudian mati ditembak oleh polis.

Kartun yang ditunjukkan oleh guru itu pula pernah disiarkan di majalah Charles Hebdo sebagai bahan pengajaran kebebasan bersuara dam pernah menyebabkan 12 orang mati akibat serangan berdarah di pejabatnya pada tahun 2015 oleh dua adik-beradik Muslim yang mempunyai pertalian dengan kumpulan pengganas.

Baru-baru ini juga, Erdogan mendesak supaya pemboikotan dilakukan ke atas barang-barang Perancis berikutan tindakan Macron yang mempertahankan penyiaran kartun-kartun tersebut atas nama kebebasan bersuara.

Sebelum ini, ketika Turki dibawah pentadbirannya, bangunan ikonik berusia 1,500 tahun di Istanbul, Hagia Sophia yang sebelum ini menjadi gereja dan muzium akhirnya kembali menjadi masjid setelah mahkamah tertinggi negara itu membuat keputusan penukaran statusnya.

Ia dijadikan muzium pada tahun 1935 semasa pemerintahan Mustafa Kemal.

Erdogan juga merupakan antara pengritik yang membidas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrin yang menjalin hubungan dengan Israel sehingga mengancam untuk menarik balik dutanya dari UAE disebabkan isu perdamaian di Palestin masih belum selesai.

Bagaimanapun, seorang profesor hubungan antarabangsa di Institut Kajian Sains Politik Grenoble, Perancis, Jean Marcou menyatakan dimensi geopolitik yang menyebabkan berlakunya ketegangan hubungan antara Turki dengan Perancis.

"Sejak musim panas lalu, kami menyaksikan satu siri konfrontasi antara kedua-dua buah negara di lokasi yang strategik iaitu Libya, timur Mediterranean, Lubnan, Mali dan Nagorno-Karabakh.

Hubungan Erdogan dan Macron semakin tegang berikutan isu karikatur majalah Charles Hebdo dan insiden pembunuhan seorang guru di Paris.

"Perbalahan itu adalah akibat satu dasar penyerangan oleh Turki yang berhasrat mahu mengambarkan ia sebagai sebuah kuasa serantau," tambahnya.

Beliau juga memberitahu, Perancis satu-satunya negara dalam Kesatuan Eropah yang mempunyai kuasa nuklear dan mempunyai kerusi dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam pada itu, Pengarah Dana Marshall Amerika Syarikat (AS)-Jerman di Ankara, Ozgur Unluhisarcikli berkata, Erdogan ialah seorang Muslim yang alim dan jujur dalam tindakannya.

"Namun, beliau memperoleh keuntungan akibat perbalahannya dengan Macron dalam menghadapi isu domestik dan antarabangsa.

"Terlibat dalam konflik dengan pemimpin-pemimpin Barat meningkatkan imej Erdogan sebagi seorang pemimpin kebangsaan yang menentang rasa megah diri Barat terhadap Turki dan lain-lain Muslim," ujarnya kepada AFP.

Presiden Turki itu sebelum ini belajar di sebuah sekolah Islam sebelum memperoleh ijazah dalam pengurusan dari Universiti Marmara, Istanbul dan pernah bermain bola sepak secara profesional.

Erdogan juga diberi gelaran oleh sebahagian penyokongnya sebagai Sultan.

Ia mengingatkan kembali penggunaan gelaran tersebut pada era empayar Uthmaniyyah.

Pada tahun 2013, ketika menjadi Perdana Menteri, Turki menarik balik larangan pemakaian tudung kepala yang dikenakan ke atas golongan wanita dengan pengecualian dalam bidang kehakiman, ketenteraan dan polis sekali gus menamatkan larangan selama berdekad-dekad.

Bapa kepada empat anak itu pernah berkata pada tahun 2016, rakyat Turki yang beragama Islam tidak sepatutnya merancang keluarga selain mengkritik golongan feminin dengan mendakwa kaum wanita dan lelaki tidak boleh diberikan layanan sama rata.

Sebelum ini, Erdogan mengecapi populariti kerana pertumbuhan ekonomi Turki tahunan secara purata mencecah sehingga 4.5 peratus dan menjadi kuasa eksport barangan dan pengeluaran.

Namun, ekonominya pada tahun 2014 mula merosot kepada 2.9 peratus dan kadar pengangguran meningkat melebihi 10 peratus.

Dalam pada itu, majalah Charles Hebdo kini terus melanjutkan perbalahan apabila menyiarkan kartun Erdogan memakai baju-T dan memegang satu tin bir serta menyingkap skirt seorang wanita berhijab di muka hadapannya pada malam Selasa lalu sehingga menimbulkan kemarahan Turki.

"Macron juga dilihat seronok dengan perbalahan (dengan Turki). Kemungkinan beliau mempunyai strategi yang sama untuk meningkatkan imejnya sebagai pemimpin yang melindungi nilai-nilai Barat," katanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca