PILIHAN Raya Umum (PRU) akan diadakan di Myanmar pada 8 November nanti. Ini merupakan PRU kedua bagi Myanmar selepas peralihan kerajaan yang dikuasai oleh tentera kepada orang awam. Bagaimanapun, jika ditinjau dari segi sejarah PRU Myanmar... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum (PRU) akan diadakan di Myanmar pada 8 November nanti. Ini merupakan PRU kedua bagi Myanmar selepas peralihan kerajaan yang dikuasai oleh tentera kepada orang awam.

Bagaimanapun, jika ditinjau dari segi sejarah PRU Myanmar yang pertama adalah pada 1990. Ketika itu Myanmar masih di bawah pemerintahan tentera dan parti National League of Democracy (NLD) yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi yang memperjuangkan pembaharuan politik dan ekonomi Myanmar telah memperoleh kemenangan besar dengan memperoleh 392 kerusi daripada 492 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, kerajaan tentera pada masa itu enggan mengiktiraf keputusan tersebut. Para pemimpin NLD telah dimasukkan ke dalam penjara termasuk Aung San Suu Kyi. Ketika itu, organisasi antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi manusia telah menobatkan Aung San Suu Kyi sebagai ikon ‘pejuang demokrasi dan hak asasi manusia’, malah pada 1990 beliau pernah menjadi penerima Hadiah Nobel Keamanan.

Myanmar terus di bawah pemerintahan tentera sehingga 2011. Apabila tentera Myanmar mula menyerahkan kuasa kepada pihak awam, maka PRU telah diadakan pada 2015. Sekali lagi NLD telah memenanginya dengan majoriti sebanyak 86 peratus daripada jumlah kerusi. Walaupun NLD telah memenangi PRU, tetapi Aung San Suu Kyi tidak boleh memegang jawatan Presiden kerana Perlembagaan Myanmar tidak membenarkan mereka yang berpasangan dengan warga asing menjadi Presiden. Ini kerana suami Aung San Suu Kyi berbangsa Inggeris. Aung San Suu Kyi kemudiannya telah dilantik menjadi Penasihat Negara Myanmar.

Pelarian

PRU 2020 yang bakal diadakan penuh dengan kontroversi. Antaranya adalah larangan terhadap penduduk etnik Rohingya untuk mengundi. Walaupun penduduk Rohingya telah menegaskan bahawa mereka adalah warga Myanmar serta bergenerasi menduduki negeri Rakhine, namun kerajaan Myanmar masih enggan menerima mereka dan tidak membenarkan mereka terlibat dalam politik tempatan.

Selain penduduk Rohingya, sebahagian puak etnik Kachin, Karen, Shan, Wa turut dilarang daripada mengundi atas alasan mereka adalah pelarian dan bukan penduduk tetap di sesuatu kawasan.

Walaupun NLD telah berkuasa selama hampir lima tahun, isu pergolakan etnik minoriti dengan kerajaan Pusat masih belum dapat diselesaikan. Sebahagian besar penduduk etnik minoriti berasa amat kecewa seolah-olah nasib mereka tidak dibela apabila tidak boleh menjadi calon PRU serta dilarang mengundi.

Kerajaan Myanmar yang terdiri daripada majoriti orang Burman perlu menerima hakikat selagi layanan yang tidak adil terhadap penduduk minoriti, mereka akan terus kecewa dan marah terhadap kerajaan Pusat. Tindakan melarang mereka daripada berpolitik dan mengundi hanya akan memburukkan keadaan.

Di samping itu, kontroversi seterusnya adalah usaha kerajaan Myanmar yang dipimpin oleh NLD mengehadkan liputan media kepada parti-parti lawan serta pergerakan wartawan. Alasan mengawal penularan Covid-19 telah digunakan. Persoalannya jikalau dahulu pemimpin NLD membantah tindakan rejim tentera mengehadkan kebebasan media mengapa sekarang masih melakukan kepada parti lawan?

Aung San Suu Kyi sedar kerajaan pimpinannya berhadapan dengan pelbagai masalah khususnya kelembapan ekonomi dan pembangunan kurang memberangsangkan. Masalah itu menjadi lebih serius apabila berlakunya Covid-19. Ekonomi Myanmar banyak bergantung kepada industri pelancongan. Selain itu, kerajaan pimpinan NLD juga gagal untuk mencapai janjinya untuk mengadakan pindaan perlembagaan bagi mengurangkan pengaruh tentera dalam politik dan pentadbiran Myanmar.

Justeru, Aung San Suu Kyi mahu adakan PRU dengan segera kerana beliau berpendapat sehingga kini beliau masih popular dalam kalangan penduduk Myanmar khasnya orang Burman. Sekiranya PRU dilewatkan, ada kemungkinan popularitinya merosot.

Bagaimanapun, parti NLD dijangka memenangi kebanyakan kerusi pada kali ini. Dasar diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan Myanmar yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi menunjukkan identiti sebenarnya. Ramai penganalisis serta organisasi antarabangsa yang dahulunya menyokong Aung San Suu Kyi menjadi amat kecewa dengan sikapnya.

Jelas beliau, bukan sepertimana yang pernah dinobatkan sebagai ‘pejuang hak asasi manusia dan demokrasi’. Beliau hanya sekadar seorang ahli politik yang licik.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca