SEKALI sekala bermanfaat juga mengikuti perkembangan sastera dunia. Simpang-perenangnya terimbas dan tempias juga ke dalam sastera Melayu. Kita menyaksikan banyak peristiwa menarik dalam kehidupan budaya sastera dunia itu, yang dapat dijadikan renungan.
Pertama, berlakunya theory wars, dengan bangun runtuh, naik turun, pertempuran dan peperangan dalam masalah penteorian sastera. Pandangan bahawa teori sastera moden, seperti formalistik, sosiologi, moral, arketaipal, psikologi dan sejarah sudah ketinggalan zaman, justeru kegagalannya berhadapan dengan karya genre baru, seperti teks skizofrenia dan paranoid. Penteori pascamoden, menyediakan prinsip dan kaedah yang sistematis untuk berurusan dengan karya baru yang mencabar itu. Namun, setelah munculnya teori strukturalisme menguasai alam jagat, timbul pandangan ia juga adalah warisan Poetics Aristotle, perlu dilanggar. Muncul dekonstruksi tataran Jacqes Derrida, dengan konsep difference menyanggah monarki dan narasi besar keluarga teori struktural itu. Dan, berakhirlah dominasi Aristotle.Namun, tidak disangka ia muncul semula, dengan nama semiotik, ditentang dengan cepat oleh sosiologi sastera. Intertekstualiti dibangunkan berjaya menjajah dunia, tetapi new historisisme dan teori budaya mencabar kedudukannya. Begitulah, terdapat beratus buah pemikiran tentang pembinaan teori sastera, tetapi hanya sekitar 50 buah gagasan yang diterima.
Dan, yang berjaya memenuhi 11 rukun dan syarat piawaian penteorian ialah 20 buah teori, antaranya pascastrukturalisme, resepsi, stilistik, dialogisme, feminisme, psikoanalisis, hermeneutik, fenomenologi, revisionisme, pascakolonialisme dan ekologi.
Ributnya di Barat, tetapi terjahannya sampai ke alam Melayu. Selain daripada kehadiran teori Barat itu, masuk ke dalam sastera Melayu, negara sendiri turut kehujanan dengan penteorian. Betapa tidak! Hampir 20 pemikiran dan gagasan dalam konteks pembinaan teori sastera tempatan.
Antara pencetusnya ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Hashim Awang, Mohd Affandi Hassan, Muhammad Kamal Hassan dan Shafie Abu Bakar. Sepanjang pewacanaannya, hanya tujuh teori yang memenuhi rukun dan syarat piawaian, iaitu taabudiyah, putika sastera Melayu, pengkaedahan sastera Melayu, teksdealisme, takmilah, pemikiran SBL, konseptul kata-kunci dan teori estetika bersepadu.
Autobiografi
Situasi theory wars masih berterusan di Barat pada zaman milenium baru. Banyak pemikiran dan gagasan dilontarkan, tetapi hanya tiga buah yang telah dilegitimasikan, iaitu teori perjalanan, autobiografi dan teori genre sastera. Semuanya masih baru dalam sastera Melayu.
Teori sastera perjalanan ialah kesan globalisasi tanpa sempadan memudahkan manusia melakukan pengembaraan dan ziarah, sebagai pelancongan budaya dan intelektual.
Konsepnya mewacanakan pengalaman pengembaraan ke negara-negara yang tertindas dan terkebelakang kesan kolonialisme. Pengembaraan lebih bererti dan signifikan, apabila ada unsur eksplorasi, misteri dan kejutan budaya.
Teori autobiografi adalah pencitraan insan istimewa, berpengalaman, pelakar sejarah dan sangat luar biasa. Naratifnya mengandungi fakta dan fiksyen, serta bersifat benar dan objektif.
Aplikasi bahasa yang lincah dan memukau, diramu oleh emosi dan keindahan, menjadikannya estetik dan unggul. Diharapkan, seseorang tokoh yang berwatak pujaan, berhemah dan dikagumi, akan menjadi manusia idola, ikonik dan model zaman.
Teori genre sastera memfokuskan dirinya dalam mewacanakan sastera dari sudut jenis, bentuk, corak dan kedudukan karya sastera. Sesebuah genre sastera itu dikenal pasti, diidentifikasi dan ditentukan penjenamaannya. Dihuraikan teknik, gaya dan strategi kepengarangannya. Kemudian melakukan pengkategorian atau pengklasifikasian terhadap genre tersebut.
Tujuannya untuk membantu pengarang dalam memilih genrenya dengan tepat dan sesuai, kemudian mengejapkanya bagi mengukuhkan karya yang ditulis. Teori ini baru diabsahkan, iaitu 2013, menggesa pengarang melakukan perubahan, pelanggaran dan penciptaan genre baru.
Kedua, timbulnya polemik tentang kelahiran zaman hipermoden menggantikan pascamoden. Tandanya, muncul budaya simulakrum yang penuh dengan simulasi. Simulakrum ialah citra tentang nipisnya perbezaan antara realiti dengan fiksyen, sukar mencari persamaan dan perbezaan.
Simulasi adalah peniruan terhadap sesuatu objek, sehingga tidak ada yang asli dapat dipegang. Beras dan telor sudah dicipta daripada plastik, sukar membezakannya dengan yang asli. Kehidupan pula dipenuhi petanda, alamat dan isyarat. Dunia kenyataan berkubur, yang berkuasa hanyalah simulasi.
Para penganut pascamoden, menentang alasan itu, justeru manusia masih mencintai yang original. Lelaki yang siuman tidak pernah jatuh cinta pada patung-patung wanita.
Pendokong hipermoden berhujah, kini lahir istilah hiperealiti, di mana kepalsuan berbaur dengan keaslian; masa lalu berbaur masa kini; fakta bersimpang siur dengan fiksyen; dusta bersahabat dengan kebenaran, simulasi bersaudara dengan mitos dan legenda.
Para penganut pascamoden menyanggah, semuanya itu adalah dipersepsikan belaka, rekayasa dan utopia, sedangkan hakikatnya kosong. Peperangan idea dan ideologi tentang kewujudan hipermodenisme itu, bertali temali, bergerak paralel, tidak pernah selesai.
Itulah dua peristiwa yang terus menggegar dan menggoncang budaya sastera di Barat. Ada banyak polemik lainnya, seperti masih ada yang memperjuangkan dikotomi antara karya tinggi dengan picisan, pergolakan faham feminisme dalam menentukan masogini, emansipasi, liberal, lesbian, gay dan gender, pemilihan kota dominasi seni antara Paris dan London, serta perdebatan yang tidak pernah langsai tentang hadiah sastera dunia.
Terdapat ratusan buku dan ribuan esei dan kritikan yang mewacanakan peristiwa-peristiwa tersebut. Ramai pemainnya, antaranya Roland Barthes, Terry Eagleton, Michael Foucault, Alvon Toffler, David Lodge, Mikhail Bakhtin, Francois Lyotard, Jean Baudrillad, Richard Rorty, Allain Touraine, Laura Marcus dan Frances Mayes.
Impaknya terhadap ilmu sastera, ia telah diiktiraf sebagai epistemologi yang saintifik, dengan berjaya menyingkirkan subjektiviti, dan bersifat empirikal.
Teori dan kritikan sastera telah dipisahkan, dan berdiri sendiri sebagai disiplin mandiri. Implikasinya kepada sastera Melayu, turut terketar dengan kemasukan teori Barat itu, dan munculnya perdebatan dalam penciptaan teori sastera tempatan, serta menerima wacana keilmuan epistemologi baru.
Demikianlah catatan kecil daripada peristiwa besar sastera dunia itu, sekurang-kurangnya dapat kita mengikuti perjalanannya. Segala-galanya berlaku dengan cepat, pantas dan tangkas. Diharapkan dengan tujuan untuk menjadi teladan dan sempadan, kita bergerak dengan waspada dan hati-hati, seiring derap jejak sastera dunia itu.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca