[WAWANCARA] Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad di Kementerian Kewangan, Putrajaya baru-baru ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga menghuraikan beberapa aspek tuntutan, harapan dan prasyarat pemulihan ekonomi Malaysia menjelang Belanjawan 2021.
Susah hendak puaskan hati:
Hendak puaskan hati semua orang susah kerana mereka mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing. Ada kumpulan yang nak ini, sama juga dengan negeri dan parti. Saya dan timbalan saya telah berjumpa dengan semua menteri besar, turun padang berjumpa syarikat dan industri di negeri-negeri.
Baru-baru ini, saya juga berjumpa semua menteri tanya apakah yang kementerian mereka perlukan dan memanglah senarai mereka panjang tetapi saya kena utamakan apa yang perlu. Dengan pendapatan dan hasil yang kita ada, kita kena rancang betul-betul dan itulah apa yang kita lakukan.
Pastinya, kita juga meminta pandangan daripada pelbagai pihak. Saya akan berjumpa parti-parti lain seperti Parti Warisan, Parti Muda dan Pakatan Harapan serta UMNO. Saya juga sudah berjumpa semua ahli Parlimen. Yang penting, apa yang perlu dipersetujui ialah rakyat lebih penting.
Jika kita turun padang dan berjumpa mereka serta mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya keputusan yang kita buat nanti mereka lebih maklum dan polisi kita lebih berkesan.
Contohnya, pemberian Geran Khas Prihatin bernilai RM3,000 untuk setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro. Sebanyak 540,000 PKS mikro telah terima, dulu KPI bagi duit sahaja.
Bagi saya KPI yang betul ialah beri duit dan kena periksa syarikat yang menerima geran itu sama ada mereka bertahan atau tidak. Apakah yang digunakan dengan duit tersebut dan adakah jualan yang dicatatkan. Kalau mereka tidak bertahan, rugilah jika kita beri. Begitu juga Program Subsidi Upah yang kita berikan kepada 320,000 syarikat. Betulkah mereka bertahan? Adakah ia membantu mereka untuk jangka masa panjang?
Saya membuat laporan pakej Penjana dan Prihatin pada setiap minggu, kadang-kadang laporan yang dibuat, pegawai saya risau kerana tidak mencapai sasaran. Saya kata bagus kerana bila berada di bawah tekanan, kita akan berjaya. Saya letak pencapaian KPI kepada semua kementerian dan setiap bulan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet. Bajet ini penting, menunjukkan kerajaan komited bukan sahaja untuk membuat peruntukan tetapi juga pastikan pelaburan yang dibuat ini akan ada hasil.
Kumpulan paling terjejas:
Sebenarnya saya rasa semua terjejas. Golongan B40 memang terjejas dan golongan M40 juga terjejas. Daripada kaji selidik yang dilakukan, sebenarnya golongan M40 menjalani gaya hidup tertentu. Ada yang hilang pekerjaan dan gaji terkesan.
Jadi M40, kami tolong dari segi i-Lestari, pengeluaran i-Lestari menerusi Akaun 2 oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Program Subsidi Upah menolong syarikat dan pekerja.
Bagi golongan T2, kehidupan mereka baik walaupun dari segi pendapatan dan kekayaan mereka sedikit terjejas. Dari segi kehidupan, saya rasa B40 yang paling terkesan sementara golongan M40 juga terjejas dari sudut psikologi. Mereka juga membuat pinjaman dan ada hutang. Bagi B40, mereka ada banyak peluang pekerjaan berbanding M40. Berdasarkan data, dalam kelompok M40, yang paling terkesan ialah M10 iaitu golongan yang berada pada kedudukan paling bawah.
Sektor ekonomi yang maju sekarang ialah kesihatan, perubatan, syarikat sarung tangan, teknologi dan perkhidmatan kurier. Bagaimanapun, pada ketika ini majoriti semua sektor terkesan, bukan sahaja ekonomi di Malaysia malah peringkat global.
Pelancongan domestik terkesan kerana orang Kuala Lumpur tidak boleh keluar dan bercuti. Kawasan percutian yang mempunyai resort seperti Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Melaka dan Desaru di Johor mempunyai penambahbaikan dari segi pelancongan.
Kita kena tengok kawasan. Contohnya, sektor pelancongan yang teruk ialah hotel bandar, tetapi hotel di tepi pantai penuh. Sektor eksport juga terkesan sedikit kerana negara-negara lain juga terjejas. Saya rasa semua sektor terkesan, sesetengah itu lebih terkesan daripada yang lain.
Kontroversi lanjutan moratorium:
Setakat 9 Oktober, lebih kurang 640,000 pemohon memohon lanjutan moratorium selepas pada Ogos, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman bahawa mereka yang hilang pekerjaan dan terkesan dengan potongan gaji boleh dapat lanjutan moratorium. Daripada jumlah permohonan itu, 98 peratus telah diluluskan. Yang memohon hanya yang layak.
Lanjutan moratorium ini juga diberikan kepada syarikat-syarikat PKS yang melakukan penyusunan semula, itu pun 99 peratus yang memohon. Jadi kebimbangan saya kalau kita tidak membuat dasar moratorium bersasar, ia tidak betul.
Kalau ada pendapatan, kita gunakan duit untuk mereka yang memerlukan. Tetapi saya dengar isu ini paling hangat kerana parti politik menaikkan isu ini. Rakyat juga bertanya dalam media sosial, kenapa tidak sambung. Pada masa yang sama ada lebih 640,000 yang dapat sejak kita lanjutkan. Yang tidak dapat mungkin mereka tidak tahu dan mereka fikir mereka tidak layak kerana mereka masih bekerja.
Apa yang kita lihat ialah pendapatan isi rumah, contohnya suami membuat pinjaman tetapi bayar berdasarkan pendapatan suami dan isteri. Isteri hilang pekerjaan dan suami tidak hilang pekerjaan. Bank melihat suami tidak hilang kerja dan bank melihat kepada pendapatan isi rumah.
Kita mendengar dan buat kajian betul ke bank tidak membantu dan kita buat bersama Bank Negara Malaysia. Setakat ini mengikut laporan Public Bank, AmBank, Maybank dan RHB Bank, sebanyak 98 hingga 99 peratus permohonan pemohon lanjutan moratorium diluluskan. Lanjutan itu ada. Siapa yang hilang pekerjaan, dia tidak perlu tunjuk bukti pun, tidak perlu bayar selama tiga bulan hingga enam bulan bergantung kepada bank yang berurusan.
Penemuan vaksin Covid-19 pulihkan ekonomi:
Penemuan vaksin Covid-19 adalah petunjuk penting yang membuktikan ekonomi negara ini dapat pulih semula. Vaksin ini penting bukan untuk negara kita sahaja, malah seluruh dunia memerlukannya. Tidak guna kalau kita sahaja yang ada vaksin sedang negara lain tidak ada. Ini kerana dunia sekarang sangat saling berkait antara satu sama lain.
Jadi, vaksin ini akan memberi keyakinan kepada dunia yang kita boleh berfungsi semula secara normal. Walaupun normal baharu itu lain, tapi dengan vaksin ini ia akan memberi keyakinan kepada pelabur. Kedua, bagaimana kita memastikan kapasiti kita semua tak terlalu terkesan, kerana apabila ekonomi telah pulih, kita perlu memastikan semua infrastruktur bersedia untuk memacu ekonomi.
Perkara paling utama yang kita lakukan apabila ekonomi pulih ialah kita bersedia untuk membangunkan ekonomi negara dengan lebih cepat. Kita tidak mahu bila kita telah menang dalam perang dengan Covid-19 dan apabila semua orang sudah dalam keadaan baik, kita lambat untuk menghidupkan kembali ekonomi negara.
Klik di sini untuk terus membaca