SEMINGGU ini nama Presiden Perancis termuda, Emmanuel Macron mengguris hati hampir seluruh pelosok umat Islam di dunia akibat keceluparan mulutnya mengenai agama Islam yang dituduhnya menaja keganasan selepas insiden kepala guru dipenggal selepas menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW kepada murid-muridnya.
Tindakan yang disifatkan tidak menjaga sensitiviti kaum dan agama di negara mempunyai 66 juta penduduk itu seolah-olah seperti cuba meningkatkan kesinambungan populariti politiknya pada masa akan datang.
Natijahnya, bukan saja namanya disumpah seranah, bahkan gambarnya dibakar dan dipijak penunjuk perasaan di beberapa negara yang melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran menuntut Macron meminta maaf kepada seluruh umat Islam mengenai kenyataannya itu.
Lantaran keegoannya itu, beberapa pasar raya besar di negara Arab dan Afrika menjalankan kempen memboikot semua produknya untuk memberi kesedaran bahawa agama Islam tidak boleh dipertikaikan sewenang-wenangnya.
Pemilik pasar raya yang memboikot produk Perancis berkata, mereka akan meletakkan produk negara itu jika Macron berusaha memperbetulkan keadaan dan tidak mengaitkan Islam dengan keganasan.Untuk rekod, Perancis adalah sebuah negara pengeksport terbesar makanan sejuk beku dan produk tenusu di beberapa negara Islam.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan antara pemimpin lantang mengecam Macron selepas insiden karikatur Nabi Muhammad SAW apabila beliau menyatakan Presiden Perancis itu perlu melakukan ‘pemeriksaan mental’ susulan kenyataan mengkritik Islam.
Tegas Erdogan, Macron, 42, membezakan layanan mengikut kumpulan keagamaan dan kenyataan itu menyebabkan Paris bimbang dan memanggil pulang wakilnya di Ankara.
Selain itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan turut sependapat dengan beberapa pemimpin negara Islam lain apabila mendakwa Macron ‘menyerang Islam’ selepas kes pembunuhan itu.
Katanya, kenyataan presiden itu boleh menyemai bibit perpecahan dan pada masa yang sama ia boleh menggalakkan Islamofobia dengan menyerang Islam di seluruh negara Eropah.
Beberapa pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) negara lain seperti Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Arab Saudi turut mengecam tindakan provokatif fitnah Islam yang disifatkan menggugat keharmonian seluruh umat manusia.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga berpendapat sama dan menggesa parti politik tidak menegakkan kepentingan politik mereka demi menarik pengundi dengan memainkan sentimen yang serius seperti ini.
Di negara yang amat konservatif seperti Pakistan, sesiapa saja yang mencemarkan Islam atau tokoh Islam boleh dikenakan hukuman mati. Tambahan pula, sebarang lakaran membabitkan Nabi Muhammad adalah diharamkan dalam Islam.
Dalam kejadian 16 Oktober lalu, Samuel Pati, seorang guru sejarah dipenggal ekstremis Chechnya, Abdoullakh Abouyezidovitch yang berusia 18 kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW.
Kemudian, Abouyezidovitch mati ditembak polis di lokasi kejadian dan susulan insiden itu seramai 15 individu termasuk empat murid ditahan untuk siasatan lanjut.
Tindakan Paty antara yang juga menjadi punca 12 individu lain yang dibunuh di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.
* Zulhilmi Hat ialah wartawan Meja Global Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca