KERAJAAN perlu mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan ramai rakyat Malaysia ketika ini dalam keadaan terdesak untuk meneruskan hidup.
Bagaimanapun menurutnya, kebenaran untuk pengeluaran tersebut perlu disertakan dengan syarat-syarat yang sepatutnya.
"Saya bersetuju sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tersebut tetapi ia perlulah bersyarat.
"Kita tidak boleh pukul rata untuk keluarkan sekali gus sebanyak RM10,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Katanya, kerajaan perlu memperhalusi syarat yang ditetapkan sekiranya cadangan itu diterima selain perlu mengikut keperluan pengeluaran.
"Keutamaan perlulah diberikan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan seperti daripada golongan M40 dan B40.
"Ini kerana ramai golongan tersebut berhadapan dengan masalah dibuang kerja dan hilang mata pencarian,” katanya.
Dalam pada itu, Madeline bersetuju dengan pendapat yang mengatakan kerajaan sepatutnya lebih bertanggungjawab membantu golongan memerlukan daripada membenarkan mereka menggunakan wang KWSP.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan ketika ini menghadapi cabaran yang besar dalam memastikan kestabilan kewangan negara.
"Pada masa sekarang, kerajaan mempunyai masalah dalam memastikan kelangsungan dua sumber utama mereka iaitu pelaburan dalaman dan juga cukai.
"Ketika ini, tentunya adalah sangat sukar untuk mendapatkan pelaburan dalaman. Jadi persoalannya adalah siapa yang akan membiayai perbelanjaan tersebut? Adakah kita bersedia untuk dikenakan cukai tambahan pada waktu ini?” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga dilihat sudah berbelanja dengan jumlah yang dikatakan agak besar bagi menghadapi krisis kali ini.
"Untuk menangani penularan Covid-19 ini sahaja, kerajaan membelanjakan keseluruhannya sebanyak RM305 bilion.
"Itu perbelanjaan yang terbesar pernah Malaysia lakukan jika dibandingkan dengan krisis sebelum ini seperti contohnya krisis kewangan 1997 dan sub-prime 2008,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca