SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan meneruskan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dalam pelan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.
Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kesinambungan bantuan Prihatin amat penting bagi membantu rakyat yang berdepan pelbagai masalah akibat penularan koronavirus (Covid-19).
"Wabak ini dijangka sehingga tahun depan. Jadi, bantuan kepada golongan terjejas perlu diteruskan seperti melanjutkan tempoh moratorium dan pemberian e-dompet,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Dalam pada itu, Mohd Yusof turut meminta kerajaan memberi perhatian kepada peniaga bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara.
Menurutnya, kerajaan ketika ini berdepan pelbagai tuntutan mendesak dalam mengagihkan perbelanjaannya seperti usaha memenuhi keperluan sektor kesihatan yang sedang menangani penularan Covid-19.
"Tetapi kita harus ingat bahawa peniaga juga memainkan peranan penting dalam aspek menggerakkan ekonomi negara.
"Jadi, peniaga juga perlu dibantu seperti pengurangan dan pemberian insentif cukai,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca