"AYAH halau orang hari ini...” Terkejut Merak Jalanan apabila ayah maklumkan telah menghalau seseorang. Takkanlah ayah yang berusia 72 tahun itu masih larat bertelagah dengan orang lagi.
Rupa-rupanya bulan lalu ayah didatangi dua orang anak muda yang memaklumkan mereka pegawai banci dan ingin membuat soal selidik. Malangnya, mungkin kerana ayah kurang yakin dengan penjelasan tersebut, ayah segera meminta mereka beredar.
"Betul ke ada banci-banci ni?” soal ayah. Merak Jalanan maklumkan kepadanya bahawa data penduduk dan perumahan itu amat penting bagi kerajaan merangka dasar untuk kesejahteraan negara.
"Ayah tahu tapi cara mereka datang mencurigakan. Bila ayah tanya soalan lebih-lebih, dia lari keluar.”
Mungkin kisah ayah Merak Jalanan adalah kes terpencil tetapi kita tidak tahu agaknya ramai lagi golongan yang paranoid terhadap individu yang tidak dikenali datang bertanyakan tentang maklumat sulit.
Satu sahajalah saranan Merak Jalanan kepada pihak yang menguruskan bancian penduduk. Mereka mungkin boleh guna kaedah ‘kepala’ taman atau ketua kampung. Hampir setiap taman perumahan dan kampung mempunyai grup komuniti WhatsApp. Pegawai banci boleh bertemu dengan penghulu atau ketua taman dan nyatakan perancangan untuk buat bancian.
Jangan lupa bawa dokumen pengenalan diri dan selfie bersama ketua taman. Minta ketua taman muat naik makluman penting bahawa akan ada wakil banci datang buat bancian. Kemudian, minta ketua taman muat naik gambar selfie supaya tahap keyakinan penduduk akan lebih bertambah.
Merak Jalanan yakin, jika pegawai banci membuat kaedah yang disarankan, insya-ALLAH data yang boleh dikumpulkan mencecah 99.99 peratus. Kalau bernasib baik, mungkin ada mak cik yang menunggu dengan air teh o dan cekodok panas lagi.
Klik di sini untuk terus membaca