INI bukan belanjawan biasa. Ini belanjawan yang menjadi penentu jatuh bangun Malaysia. Pendek kata belanjawan ini harus tampil dan tampak sempurna.
Belanjawan 2021 perlu menyentuh sebanyak mungkin jiwa bagi membolehkan rakyat yang susah bangun berdiri dan yang mula kembali membina hidup dapat terus berlari.
Namun pada Belajawan 2021 ini bukan sekadar belanjawan harapan rakyat, tetapi juga belanjawan penyambung hayat politik. Ia penting untuk memanjangkan hayat kerajaan Muhyiddin yang baru sahaja 'kebah' daripada kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN).
Persoalannya, adakah Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam berjaya memikat hati rakyat? Adakah ia juga boleh memulihkan ekonomi Malaysia, menewaskan pandemik Covid-19 dan seterusnya mengekalkan PN di Putrajaya?
Dilihat daripada lensa politik, Belanjawan 2021 dilihat amat kritikal berikutan ia dirangka pada saat Malaysia bukan sahaja berdepan pandemik maut tetapi juga 1,001 permasalahan politik.
Penolong Profesor Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berpandangan, daripada sudut politik terdapat banyak peruntukan Belanjawan 2021 disasarkan kepada golongan sumber sokongan PN iaitu orang Melayu, luar bandar dan penjawat awam.
"Ini akan dapat memperkuatkan lagi sokongan kepada kerajaan PN,” ujar Tunku Mohar ketika menjawab persoalan adakah Belanjawan 2021 yang terbesar dalam sejarah Malaysia itu mampu memuaskan hati ramai.
Menurutnya, peruntukan terbesar dalam sejarah itutidaklah menghairankan memandangkan wujudnya keperluan menyuntik dana untuk pertumbuhan ekonomi dan juga membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Ditanya sama ada belanjawan tersebut menjadi tanda Kabinet Muhyiddin boleh dianggap lulus ujian pertama sebelum usul belanjawan diputuskan, Tunku Mohar berkata, belum boleh dikatakan Kabinet Muhyiddin telah berjaya.
"Isi belanjawan belum dibahaskan lagi. Yang jelas, dengan tidak memenuhi sepenuhnya permintaan-permintaan Pakatan Harapan, Muhyiddin kini mungkin yakin ahli Parlimen PN semuanya akan sepakat dalam menyokong Belanjawan 2021.
Namun, menurut Tunku Mohar pengukuhan kedudukan kerajaan PN turut bergantung kepada arah angin sokongan ahli-ahli Parlimennya dan ini tidak semestinya berkaitan dengan belanjawan kerajaan.
Stabilkan ekonomi
Beralih kepada sisi ekonomi, Ketua Penganalisi Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion itu memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 serta kesannya kepada ekonomi negara.
"Hakikatnya belanjawan ini adalah satu usaha untuk mengimbangi permintaan rakyat serta keperluan untuk merangsang ekonomi. Ternyata, kerajaan mengambil jalan tengah dalam hal ini,” ujar Mohd Afzanizam kepada Sinar Harian semalam.
Katanya, daripada satu segi, pengeluaran Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta moratorium secara bersasar menunjukkan komitmen kerajaan yang mengambil kira kesusahan rakyat.
"Dari satu segi yang lain pula, keperluan untuk merangsang ekonomi domestik juga dizahirkan melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan yang tinggi iaitu sebanyak RM69 bilion pada tahun 2021 berbanding RM56 billion pada tahun ini.
"Perkara ini seiring dengan jangkaan peningkatan ketara dalam sektor pembinaan iaitu sebanyak 13.9 peratus pada tahun 2021 setelah menguncup sebanyak 18.7 peratus pada tahun ini.
"Pihak kerajaan juga telah menyatakan sejumlah RM15 billion akan dibelanjakan untuk melaksanakan projek-projek infrastuktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB dan MRT 3 serta pelbagai projek-projek yang berimpak tinggi,” katanya lagi.
Tambah Mohd Afzanizam, berdasarkan saiz belanjawan itu, seharusnya keadaan yang tidak menentu dari sudut ekonomi ini dapatlah distabilkan.
"Namun, selagi situasi Covid-19 tidak vaksin serta peningkatan kes baharu yang tinggi, maka kerajaan serta semua pihak perlulah bersiap siaga dalam segala aspek terutama dari sudut kewangan,” katanya sambil menambah Belanjawan 2021 memanfaatkan golongan B40, M40 serta golongan peniaga mikro yang mungkin tergolong dalam shadow economy yakni tidak mempunyai EPF, SOCSO dan sebagainya.
Tegasnya, secara keseluruhan, pihak kerajaan sedang meletakkan keutamaan yang tepat iaitu memerangi wabak Covid 19 sebagai perkara pokok dan pada masa yang sama cuba memastikan mereka yang terkesan dari sudut ekonomi menerima bantuan yang selayaknya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, peruntukan sebanyak RM322.5 bilion dalam belanjawan 2021 kali ini menunjukkan kerajaan prihatin walaupun kerajaan terpaksa berbelanja besar.
"Rakyat juga boleh menarik nafas lega apabila caruman dalam KWSP daripada akaun satu dapat dikeluarkan secara bersasar sebanyak RM500 sebulan.
"Walaupun ia hanya melibatkan 600,000 ahli KWSP yang terjejas kerana kehilangan pekerjaan, namun ia dijangka dapat meringangan beban golongan itu.
"Dua tonggak penting walaupun dilihat tidak memenuhi keperluan rakyat sepenuhnya, namun kerajaan berusaha memenuhinya walau dalam krisis,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, ahli Parlimen Pasir Mas mengakui, penjenamaan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan penambahan kadar bantuan bantuan kepada B40 baik keluarga miskin atau pun individu bujang adalah satu lagi khabar gembira untuk golongan B40 dan M40.
Bagaimanapun ujar beliau yang perlu diperjelaskan adalah bagaimana kerajaan mendapat deficit wang untuk belanjawan tahun hadapan yang tinggi ini adakah ia melalui bon atau hutang? dan itu perlu diperjelaskan oleh Menteri Kewangan, Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Agensi Jasa
Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil pula sebagai wakil rakyat pembangkang beliau juga perlu meneliti dokumen berhubung belanjawan yang diberikan kepada semua Ahli Parlimen.
"Kita tidak boleh melihat dari segi ucapan Datuk Zafrul (Menteri Kewangan) sahaja namun kita perlu teliti dokumen yang diserahkan berhubung apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021.
"Jika ia hanya berpandukan kepada teks ucapan tidak memadai dan apa yang pelu dibangkitkan adalah mengenai peruntukkan RM85.5 juta untuk agensi Jasa yang dihidupkan semula kerana ia lebih besar daripada peruntukkan untuk petugas barisan hadapan dan bantuan terhadap taska dan bantuan B40.
Menurutnya, apa yang menjadi persoalan adalah mengapa agensi propaganda diberikan peruntukan yang lebih sepatutnya kerajaan perlu peka kepada nasib golongan B40.
"Apa yang perlu dikaji adala mengenai skim insuran pekerja, program subsidi upah ia seperti tidak mencukupi dan berdasarkan pengalaman saya ramai pengusaha IKS mengeluh.
"Di samping itu morotarium patut dilaksanakan secara automatik kerana pihak bank mempunyai rekod peminjam, jadi pihak peminjam sepatutnya tidak perlu mengadakan perbincangan dengan bank lagi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca