Keperibadian sesuatu bangsa sering dikaitkan dengan penggunaan dan pengamalan bahasa dalam masyarakat. Dalam bahasa Melayu terdapat ungkapan-ungkapan yang menunjukkan bahawa pewujudan bahasa hendaklah selari dengan tingkah laku orang yang mengucapkan bahasa berkenaan.
Ungkapan inilah yang dikatakan sebagai budi bahasa yang membawa makna perilaku atau tingkah laku yang baik dari segi gerak-geri, tutur kata dan sikap. Sudah menjadi tradisi pendidikan bahasa, bukan sahaja di negara kita malahan di mana-mana negara juga, bahasa dilihat sebagai satu sistem perilaku yang autonomus.
Dalam pengertian masyarakat Melayu tradisional, perkataan ‘bahasa’ boleh juga berdiri sendiri dengan makna "tingkah laku yang sopan”.
Misalnya dalam pergaulan akan muncul tutur kata seperti ini, "dia berbahasa sekali dengan kita”. Jika penilaian yang negatif pula, maka tutur kata yang timbul ialah, "dia tak tahu bahasa”.
Dengan berkembangnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama pada peringkat persekolahan, maka bahasa kita ini juga digunakan dalam pelbagai bidang pentadbiran dan pengurusan, baik dalam komunikasi bersemuka mahupun secara maya. Kata ‘peradaban’ yang seerti dengan kata tamadun jelas berkaitan rapat dengan kata dasarnya iaitu adab.
Bangsa yang berperadaban atau bertamadun pada asasnya ialah bangsa yang beradab. Kepimpinan tertinggi negara sering melontarkan tentang peri pentingnya modal insan dalam pembangunan negara. Kesepaduan antara bahasa, adab, dan kekayaan rohaniah dengan ketrampilan bermoral dalam kalangan warga menjadi prasyarat kesepaduan pembangunan intelek dan fizikal negara.
Melontarkan mungkin mudah tapi bagaimana pula dengan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat? Saat ini kita menyaksikan perubahan yang agak ketara dari segi nilai, pandangan sarwa dan norma hidup masyarakat yang sebahagian besarnya disebabkan rempuhan globalisasi.
Norma hidup yang semakin berubah dengan kepesatan dan perluasan gerbang digital menjadikan penggunaan bahasa semakin tidak terkawal dan secara tidak langsung menjadi api dalam sekam yang semakin merosakkan budaya peradaban bangsa.
Ungkapan bahasa tidak terpisah dengan kata ‘sopan santun’ yang merupakan sinonim hibrid iaitu ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan yang sama maknanya tetapi asal usulnya berbeza. Ungkapan sopan santun merupakan gabungan bahasa Melayu dengan bahasa Arab.
Kata santun berasal dari bahasa Melayu yang diterima pakai dengan meluas dalam alam Melayu membawa maksud ‘lembut’. Bijaksananya cendekiawan terdahulu apabila melihat kata ini bersinonim dengan ‘sopan’ dalam bahasa Arab iaitu ‘soffan’ yang bermaksud ‘halus’. Kedua-dua kata ini digabungkan menjadi sopan santun untuk menonjolkan cerminan karakter masyarakat Melayu yang berpewatakan lembut dan halus.
Kehalusan bahasa Melayu ini juga boleh dilihat daripada penggunaan kata ‘perkasa’, pasti khalayak akan membayangkan perwatakan seseorang yang gagah dan kuat apabila menggambarkan perkataan ini.
Sedangkan dalam masyarakat Melayu terdahulu, perkasa membawa maksud berani dan bijak. Lantaran itulah Hang Tuah dikatakan sebagai seorang Laksamana atau pahlawan Melayu yang berani dan bijak untuk menonjolkan watak keperkasaan ini.
Perkasa bukannya sekadar bermaksud keberanian yang sembrono tanpa menggunakan akal fikir.
Pemimpin
Apabila disentuh tentang hal-hal seputar bahasa, kesantunan yang dikaitkan pula dengan istilah keperkasaan ini mahu atau tidak, netizen mahupun khalayak awam akan menumpukan perhatian kepada sikap dan perlakuan yang ditonjolkan oleh kepimpinan negara.
Khalayak sering saja membicarakan tentang perlakuan-perlakuan dan tindakan-tindakan yang tidak sewajarnya berlaku dalam sidang Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan sebagainya sedangkan premis itu merupakan institusi yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan perlembagaan. Fenomena ini pula seolah-olah sudah menjadi biasa dan memberikan tanggapan yang kurang molek pada tafsiran rakyat.
Agak memalukan sekiranya situasi yang berlaku dalam sidang-sidang kepimpinan dan pertemuan pemain politik negara ini dijadikan pengukuran kepada peradaban dan kesantunan budi bahasa negara kita.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, di manakah prinsip etika dan etiket apabila munculnya pandemik perlakuan sebegini? Mungkin akan ada pandangan yang mengatakan bahawa terdapat situasi yang kadang kala tidak mampu disampaikan dengan penggunaan bahasa yang santun dan memerlukan perkataan yang agak tegas sebagai penekanan.
Namun harus diingat, ketegasan tidak menyalahi aspek kesantunan dan nilai masyarakat, yang memualkan apabila ketegasan itu diluah dan diterjemahkan dalam bahasa kasar dan kesat yang sama sekali tidak wajar digunakan dalam situasi acara rasmi sebegitu.
Pernahkah kita tanyakan mengapakah budi bahasa itu dikatakan sebagai asas peradaban? Peradaban wujud dengan adanya prinsip kebersamaan semua entiti yang mendirikan sesebuah lingkungan kehidupan manusia.
Prinsip ini bukan sekadar bertujuan memastikan wujud dan berterusannya kehidupan kekeluargaan yang berkembang kepada komuniti dan masyarakat, tetapi membentuk dimensi penglihatan dunia (world-view) yang membawa kepada penentuan sekumpulan peraturan untuk mendidik anggota masyarakatnya mengenal dan membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
Masyarakat Melayu sejak turun-temurun mendidik kita dengan mengungkapkan jagalah air muka orang lain dalam sebarang pertuturan dan perlakuan. Dalam bahasa Inggeris juga terdapat ungkapan save face yang membawa makna menjaga nama baik orang lain tetapi konotasi air muka dalam bahasa Melayu lebih mendalam.
Air muka bagi masyarakat Melayu bukan setakat membawa maksud nama baik orang berkenaan sahaja tetapi meliputi pelbagai aspek perkaitan lain seperti didikan yang diterima, ibu bapa, guru dan kaum keluarga malahan komuniti setempat yang melingkungi hidup pelaku juga.
Bidalan Melayu seperti orang berbudi, kita berbahasa dan slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ perlu diperkasa dan dilestarikan kembali dalam masyarakat. Jangan sesekali membiarkan norma digital dan pandemik politik mengganggu gugat lingkaran harmonis kesantunan bahasa dan peradaban bangsa yang terbina sekian lama.
* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia