DEBARAN Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) akhirnya terjawab apabila rakyat negara itu memilih wakil Parti Demokrat, Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46 bagi menggantikan Donald Trump daripada parti Republikan. Tidak keterlaluan... Klik di sini untuk terus membaca

DEBARAN Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) akhirnya terjawab apabila rakyat negara itu memilih wakil Parti Demokrat, Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46 bagi menggantikan Donald Trump daripada parti Republikan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kemenangan Biden, 77 dan pasangan regu beliau bagi jawatan Naib Presiden AS, Kamala Harris, 56, adalah manifestasi ketidakpuasan hati rakyat sepanjang Trump bergelar Presiden.

Ramai rakyat AS sudah muak dan tidak betah dengan cara Trump menguruskan negara. Bilionair hartanah itu dilaporkan gagal bertindak segera menangani pandemik koronavirus (Covid-19) dan pada masa sama gagal mengatasi isu mendesak seperti kemelut ekonomi dan perpecahan kaum.

Sepanjang bermulanya karier politik Trump, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang bercakap lantang dan tidak mempunyai empati terhadap kesulitan orang lain.

Justeru, Biden yang juga veteran politik AS dilihat sebagai alternatif terbaik pada ketika ini untuk memulihkan kembali AS. Ramai mengharapkan gandingan Biden dan Harris bakal membawa angin perubahan positif sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Persoalannya adakah kemenangan Biden yang merupakan pemimpin tertua dipilih sebagai Presiden AS ini benar-benar mampu membawa perubahan besar terhadap hubungan luar dan dasar AS dengan kuasa dunia lain terutamanya negara-negara Islam?

Profesor Madya Dr Abdillah Noh daripada Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpendapat, kemenangan Biden dalam persaingan merebut jawatan Presiden AS adalah kerana beliau dilihat sebagai calon yang lebih baik berbanding Trump.

"Boleh dikatakan tidak semua yang mengundi Biden menyukai beliau tetapi ramai rakyat AS tidak gembira dengan cara Trump menguruskan pandemik Covid-19 selain beberapa kelemahan lain seperti dasar domestik dan luar yang diamalkan Trump,” katanya kepada Sinar Harian.

Dunia Islam terus kecewa dengan dasar-dasar AS melibatkan negara Asia Barat terutamanya melibatkan negara Palestin.

Dasar luar AS

Ditanya sama ada kemenangan Biden bakal membawa perubahan besar terhadap hubungan luar AS terutamanya dengan negara-negara Islam, Abdillah berkata, tidak kira siapa dilantik Presiden, dasar luar AS membabitkan negara-negara Islam terutamanya di Asia Barat tidak akan banyak berubah.

"Sebelum ini ramai yang mengharapkan Presiden kulit hitam pertama AS, Barack Obama mampu mengubah dasar luar AS berhubung Timur Tengah, namun ternyata hampa.

"Sebaliknya Obama hanya bersetuju membawa keluar tentera AS dari Iraq yang akhirnya menyebabkan Daesh kembali ke bumi itu dan kemudian mereka terpaksa mengubah kembali dasar tersebut.

"Secara keseluruhannya, saya berasa agak skeptikal Biden akan membuat sebarang perubahan besar dalam dasar luar AS di Asia Barat kerana akan ada kumpulan yang memberi tekanan sekiranya terdapat perubahan radikal terhadap dasar sedia ada,” katanya lagi.

Tambah Abdillah, apa yang mungkin berbeza adalah pendekatan Biden dalam hal ini dijangka lebih bersifat diplomatik dan kurang agresif berbanding cara Trump.

Terdahulu, Biden juga pernah berikrar antara perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya dilantik sebagai Presiden AS adalah menamatkan larangan perjalanan yang dikenakan Trump pada tahun 2017 terhadap orang Islam daripada beberapa negara seperti Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen.

Dalam pada itu, Abdillah yakin gandingan Biden yang sememangnya berpengalaman luas dalam sistem pentadbiran AS ditambah kredibiliti Harris yang pernah dilabel sebagai Obama versi wanita akan sedikit sebanyak mampu memulihkan imej AS.

"Saya yakin pengalaman luas Biden antaranya sebagai Naib Presiden AS ketika pentadbiran Obama, penglibatan dalam pentadbiran George W Bush pada tahun 2002 serta pengalaman terlibat dalam banyak hubungan luar akan membantu beliau memperbaiki imej AS.

"Berbanding Trump yang tiada pengalaman dalam hubungan luar, Biden dilihat lebih mampu untuk sedikit sebanyak memperbaiki hubungan AS terutama dengan beberapa negara di Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, masih terlalu awal untuk membaca dasar luar Biden yang dijadual mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2021.

"Sebenarnya Biden juga mempunyai karakter yang agak bercampur-campur berhubung politik identiti, hubungan dengan golongan kulit hitam termasuk juga dengan hubungan AS dengan Asia Barat, Arab dan sebagainya,” kata Muhamad Nadzri.

Licik

Berbanding Trump yang sebelum ini mengamalkan dasar pemencilan dan lebih fokus kepada kepentingan AS, ada pendapat mengatakan Biden dan pasangan naib presiden beliau, Harris yang berasal dari keluarga imigran bersikap lebih mesra terhadap Muslim dan lebih sensitif kepada golongan minoriti.

"Kita mungkin boleh lihat Biden tidak akan lari jauh daripada corak pentadbiran Obama sekali gus menterbalikkan dasar-dasar Trump sebelum ini. Ini akan meningkatkan kembali dominasi AS di peringkat antarabangsa daripada segi ketenteraan atau ekonomi.

"Oleh itu, kita juga boleh menjangkakan keterlibatan AS di negara-negara Islam dengan lebih meluas,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Muhamad Nadzri menegaskan negara-negara Islam harus mengambil pendekatan berhati-hati dalam mendepani AS sebuah negara berkuasa yang licik.

"Negara-negara Islam harus bijaksana dalam mendepani perubahan politik di AS. Peralihan kuasa AS daripada Trump yang mewakili Parti Republikan kepada Biden daripada Parti Demokrat tidak semestinya menjanjikan perubahan yang optimis,” katanya.

Presiden dan peperangan:

1. George HW Bush - Presiden ke-41 AS (1989-1993) (Republikan)

Penaklukan Panama (1989)

Perang Teluk (1990)

Perang Bosnia (1992)

HW Bush menjadi Presiden AS yang mengarahkan Perang Teluk pada tahun 1990. - Foto Britannica

2. Bill Clinton - Presiden AS ke-42 (1993-2001) (Demokrat)

Perang Kosovo (1998)

3. George W Bush - Presiden AS ke-43 (2001–2009) (Republikan)

Perang Afghanistan (2001)

Perang Iraq (2003)

George Bush memberi lampu hijau untuk tentera AS menyerang Afghanistan.

4. Barack Obama - Presiden AS ke-44 (2009-2017) (Demokratik)

Campur tangan diketuai AS di Syria (2014)

Perang Saudara Yemen (2015)

5. Donald Trump - Presiden AS ke-45 (Republikan)

Lancarkan serangan membunuh Qasem Soleimani di Iraq (2020)

Jeneral tentera Iran, Qasem Soleimani mati dalam satu serangan di Iraq awal tahun ini.

Klik di sini untuk terus membaca