SITUASI terkini dalam negara menunjukkan pandemik koronavirus (Covid-19) belum nampak akan tamat dalam masa terdekat. Lantaran itu, sejumlah RM17 bilion daripada RM322.5 bilion bajet keseluruhan diperuntukkan untuk dana Covid-19 selaras... Klik di sini untuk terus membaca

SITUASI terkini dalam negara menunjukkan pandemik koronavirus (Covid-19) belum nampak akan tamat dalam masa terdekat.

Lantaran itu, sejumlah RM17 bilion daripada RM322.5 bilion bajet keseluruhan diperuntukkan untuk dana Covid-19 selaras dengan satu daripada tiga objektif utama Belanjawan 2021 iaitu kesejahteraan rakyat.

Umumnya, kesihatan awam dan kesejahteraan alam sekitar berkait rapat antara satu sama lain. Justeru, selain kesejahteraan kesihatan, kesejahteraan alam sekitar juga sangat penting diberi keutamaan.

Hal ini kerana kesejahteraan alam sekitar mempengaruhi kesejahteraan kesihatan masyarakat. Serangan Covid-19 yang berlarutan lebih sembilan bulan ini sepatutnya mampu mengajar manusia mengenai kepentingan alam sekitar.

Sejak sekian lama, keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan manusia bergantung kepada kelestarian alam sekitar.

Hakikatnya, alam sekitar yang lestari mampu menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada manusia, termasuklah suasana yang menjamin kesejahteraan kesihatan.

Keselamatan dan kesihatan persekitaran serta manusia boleh terganggu apabila alam sekitar mengalami kemerosotan.

Sebahagian besar daripada gangguan keselamatan dan kesihatan tersebut berpunca daripada keadaan alam sekitar yang mengalami perubahan, misalnya udara yang tercemar, sampah sarap, bahan buangan toksik dan berbahaya, racun makhluk perosak, penggunaan baja sintetik, hingar dan sebagainya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), persekitaran sihat ialah satu tempat di mana anggotanya hidup untuk mencapai satu visi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat yang dipersetujui bersama.

Persekitaran sihat membekalkan masyarakat dengan keadaan fizikal, psikologikal, sosial dan organisasi yang dapat mempromosi dan melindungi kesihatan dan keselamatan mereka.

Menyedari sumbangan alam sekitar kepada negara dan masyarakat, sejak sekian lama kerajaan amat menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negara.

Di Malaysia, sokongan kerajaan dapat dilihat dalam polisi yang digubal di peringkat nasional dalam memastikan pengurusan sumber asli dan perkhidmatan ekosistem yang mesra alam dilaksanakan dengan rapi dan berkesan supaya generasi masa hadapan dapat mewarisi dan terus menikmati faedah daripada khazanah alam negara yang lebih lestari.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), kerajaan telah memberi tumpuan kepada pembangunan kental iklim yang mengambil kira aspek perubahan iklim dan alam sekitar dalam dasar serta perancangan, penilaian dan pelaksanaan pembangunan.

Terkini melalui Belanjawan 2021, kerajaan sekali lagi membuktikan komitmen melestarikan alam sekitar dengan memperuntukkan bajet berkaitan kelestarian alam sekitar yang dizahirkan antaranya:

Penerbitan Bon Kelestarian pertama di Malaysia untuk tujuan alam sekitar dan sosial pada 2021.

Pengecualian cukai pendapatan ke atas geran Sukuk Hijau SRI diperluas kepada semua jenis sukuk dan bon dan dilanjutkan sehingga tahun 2025 bagi menggalakkan terbitan produk SRI.

RM50 juta diperuntukkan untuk menangani isu sampah dan sisa pepejal yang terperangkap di sungai.

RM40 juta dalam tempoh lima tahun bagi mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar.

RM10 juta diperuntukkan untuk projek Integrated Island Waste Management di sekitar pulau di Johor dan Terengganu.

RM30 juta untuk program SAVE 2.0: iaitu pemberian rebat RM200 kepada isi rumah untuk pembelian alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga buatan tempatan.

Semua ini memperlihatkan keprihatinan dan sikap bertanggungjawab kerajaan dalam usaha melestarikan alam sekitar negara seiring dengan kemajuan ekonomi yang ingin dicapai.

Ia juga membuktikan keseriusan dalam pelestarian khazanah negara untuk warisan akan datang.

Adalah diharapkan peruntukan yang diberikan ini dapat digunakan pihak berkepentingan khususnya agensi pelaksana seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memelihara dan membangun alam sekitar yang lebih lestari.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca