ADAKAH belanjawan yang dibentangkan minggu lalu dapat menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi? Adakah ia dapat memastikan bahawa Covid-19 ditangani dengan pantas, rakyat yang terkesan mendapat bantuan yang... Klik di sini untuk terus membaca

ADAKAH belanjawan yang dibentangkan minggu lalu dapat menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi?

Adakah ia dapat memastikan bahawa Covid-19 ditangani dengan pantas, rakyat yang terkesan mendapat bantuan yang berkesinambungan dan sebaik-baiknya, syarikat dapat terus menjalankan perniagaan dan kekalkan pekerja serta ekonomi dapat berputar kembali?

Sejujurnya, jika kita mengkaji laporan belanjawan ini dengan teliti, ia tidak mencapai matlamat. Kerajaan melepaskan peluang terbaik untuk berani membantu rakyat.

Mari kita lihat satu-persatu.

1. Peruntukan kesihatan naik tetapi carca merba

Pertama, walaupun peruntukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) naik, peningkatan tersebut hanya sebanyak empat peratus meskipun kita menghadapi krisis kesihatan terburuk yang pernah dialami di Malaysia.

Terdapat laporan bahawa ada beberapa peruntukan rawatan perubatan yang dikurangkan dengan teruk. Laporan pengurangan tersebut telah dibantah oleh Menteri Kewangan tetapi penjelasannya tidak berapa jelas dan lengkap. Sebaiknya, Menteri Kewangan perlu lebih telus dan menyenaraikan secara terperinci segala peruntukan untuk semua rawatan perubatan.

Namun, inisiatif tahun lepas seperti program vaksin pneumokokal yang diteruskan oleh kerajaan baharu ini amatlah dialu-alukan. Begitu juga dengan program bekalan susu untuk pelajar miskin, namun, lebih baik jika program ini melingkupi semua murid dan bukan sahaja anak-anak daripada keluarga miskin kerana anak-anak Malaysia secara keseluruhan sedang menghadapi masalah kekurangan zat makanan.

2. Peruntukan kepada keluarga yang terkesan tidak mencukupi

Kedua, dari aspek membantu mereka yang terkesan terutamanya golongan B40, pekerja sendiri dan juga M40, belanjawan ini sepatutnya lebih membantu. Bantuan yang diberikan terlalu kecil ataupun tidak relevan untuk memberi kesan.

Amat hairan tidak ada bantuan baharu yang diberikan walaupun ramai yang menghadapi kesulitan kewangan akibat masalah ekonomi yang terburuk pernah dialami. Tiada lagi Bantuan Prihatin Nasional yang khusus. Sebaliknya hanyalah penjenamaan semula Bantuan Sara Hidup (BSH) yang telah dilakukan sejak tahun 2012 (dimulakan dengan BR1M), kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Ini pelik sekali, seolah-oleh Putrajaya merasakan rakyat tidak tertekan dengan pandemik ini, maka bantuan diberi seperti biasa seperti tahun-tahun sebelumnya.

Yang lebih mengejutkan, rakyat yang sudah tersepit terpaksa menggunakan wang simpanan mereka di KWSP. Cadangan ini bukan hanya tidak masuk akal, tetapi juga tidak bertanggungjawab kerana simpanan KWSP adalah untuk usia tua.

Lebih kurang satu daripada lima pekerja yang mempunyai simpanan akaun 1 di KWSP ada simpanan tidak sampai RM6,000 dan separuh dari ahli KWSP hanya mempunyai simpanan purata lebih kurang RM12,000 sahaja.

Wang inilah simpanan yang mereka ada untuk persaraan nanti. Sebaliknya, pemerintah mengatakan gunakan simpanan anda sendiri untuk menangani kesulitan kewangan. Jika mereka keluarkan sekarang, bagaimana apabila bersara kelak?

Harus diingatkan, tidak semua mempunyai KWSP, kira-kira satu daripada dua pekerja di Malaysia tidak mempunyai akaun KWSP. Bagi mereka yang tidak mempunyai KWSP, apa yang boleh mereka lakukan? Belanjawan ini seharusnya lebih prihatin dan peduli rakyat.

Sebenarnya, kerajaan boleh memberi bantuan bulanan tunai untuk sekurang-kurangnya enam bulan berikutnya untuk semua keluarga B40 dan isi rumah M40. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan makanan untuk anak-anak mereka.

Namun, untuk memastikan mereka dilindungi skim perlindungan untuk masa hadapan, semua ahli keluarga (berumur di atas 18 tahun) penerima mesti mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). MyKad, pangkalan data BSH serta program e-wallet dapat digunakan untuk pemindahan wang tunai dengan mudah.

3. Apa jadi kepada mereka yang bekerja sendiri seperti Mak cik Kiah?

Ketiga, kita harus bertanya, apa sudah jadi kepada pekerja sendiri di sektor ‘informal’ seperti Makcik Kiah? Malangnya, Mak cik Kiah dan yang sewaktu dengannya tidak mendapat bantuan khusus, walaupun kajian menunjukkan golongan ini yang paling teruk terkesan dalam pandemik ini.

Kali terakhir mereka mendapat bantuan adalah bantuan sekali-bayar Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 beberapa bulan lepas. Belanjawan 2021 tidak melanjutkan GKP, Mak cik Kiah dilupakan. Kerajaan mampu memberi GKP sekali lagi kepada semua yang bekerja sendiri dan GKP boleh digandakan untuk tahun hadapan.

Ini akan membolehkan 2.4 juta daripada mereka bernafas kembali. Namun, untuk memenuhi syarat, mereka yang bekerja sendiri mesti mendaftarkan perniagaan mereka dengan KWSP, Perkeso, dan LHDN. Pada masa ini, kira-kira hanya tiga peratus daripada 2.3 juta pekerja sendiri di negara ini berdaftar dengan Perkeso.

4. Golongan M40 harus diberi perhatian

Keempat, golongan M40 seharusnya dibantu juga, namun belanjawan ini nampaknya mereka diabaikan. Walaupun ada potongan cukai sebanyak satu peratus, apa gunanya inisiatif ini jika mereka tiada pekerjaan atau hilang pendapatan? M40 juga terkesan. Moratorium pinjaman yang hanya untuk B40 harus juga merangkumi golongan M40. Yang penting, golongan B40 dan M40 haruslah sekurang-kurangnya diberikan moratorium ‘automatik’ untuk pinjaman perumahan di bawah pinjaman RM500,000. Ini dapat memastikan mereka tidak hilang tempat berteduh.

5. Banyak syarikat akan gulung tikar jika tidak dibantu

Kelima, Belanjawan 2021 seharusnya melindungi pekerjaan dan syarikat. Jika tidak, ramai akan hilang mata pencarian. Apa yang syarikat perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mahukan adalah subsidi upah untuk mengurangkan kos pekerja (supaya mereka tidak dibuang), dan juga lanjutan moratorium pinjaman. Tetapi, subsidi upah hanya diberikan syarikat yang terlibat dalam bidang pelancongan dan peruncitan, walaupun banyak perniagaan yang terjejas dalam semua sektor.

Berdasarkan laporan Kehilangan Pekerjaan Perkeso pada bulan Ogos 2020, sektor yang paling tinggi mengalami kehilangan pekerjaan adalah industri perkilangan (24 peratus), berbanding sektor penginapan, makanan dan minuman (15 peratus), dan perdagangan borong dan runcit (14 peratus).

Jika belanjawan ini tidak diolah kembali, ia akan membunuh banyak PKS, yang menggaji sekitar 60 peratus daripada jumlah pekerja di Malaysia. Ekonomi negara bergantung kepada rakyat untuk berbelanja dan jika ramai yang tiada pekerjaan, bagaimana ekonomi dapat berkembang dan bagaimana kerajaan akan mendapat hasil cukai jika banyak syarikat gulung tikar?

Subsidi upah harus dipanjangkan selama enam bulan akan datang dan secara automatik merangkumi syarikat berpendapatan bawah RM50 juta setahun. Syarikat yang berpendapatan antara RM50 juta hingga RM500 juta semestinya menunjukkan penurunan jualan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam enam bulan terakhir untuk layak.

Moratorium pinjaman untuk firma mesti diteruskan. Kementerian Kewangan mengatakan bahawa syarikat haruslah memohon moratorium pinjaman dan kelulusan adalah mengikut budi bicara bank. Mengapa kita tidak mahu menolong syarikat-syarikat kita dengan meneruskan moratorium ini secara automatik? Bukannya syarikat dapat duit buta, dan tidak perlu membayar balik, kerana mereka mesti membayar balik. Cuma tempohnya dipanjangkan sedikit.

6. Hilang fokus

Keenam dan akhir sekali, nampaknya belanjawan ini hilang fokus. Maaf saya katakan, tetapi mereka yang merangka belanjawan ini jelas tidak faham ekonomi. Kita menghadapi wabak dan krisis ekonomi yang teruk, ekonomi menguncup pada tahap jauh lebih buruk daripada yang kita hadapi dalam Krisis Kewangan Asia 1998 dan Krisis Kewangan Global 2008. Pengangguran juga tertinggi dalam tempoh 30 tahun. Namun, belanjawan ini masih merasakan semuanya ‘ok’.

Mengapa bantuan diberikan kepada benda yang tidak berfaedah kepada negara dan rakyat, contohnya, bantuan kepada Unit Propaganda - Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang akan menerima lebih RM81.5 juta tahun depan? Yang hairan bin ajaib adalah benda yang lebih penting untuk ekonomi dan rakyat menerima peruntukan yang jauh lebih rendah.

Jasa mendapat lebih banyak lagi daripada bantuan untuk sektor pelancongan walaupun pelancongan merupakan penyumbang utama pekerjaan dan ekonomi tempatan, hanya RM50 juta diberi untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan.

Kanak-kanak juga mendapat peruntukan lebih rendah daripada Jasa, program perkembangan kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hanya mendapat RM9 juta, atau lebih kurang hanya satu per 10 dari peruntukan Jasa.

Malah, peruntukan untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur di sekolah-sekolah yang dalam keadaan usang dipotong sebanyak RM58 juta. Walaupun kesihatan mental kini lebih kronik, bantuan kepada sektor ini hanyalah RM24 juta, ataupun tiga kali lebih rendah daripada Jasa. Yang lebih aneh, pejuang negara barisan hadapan hanya mendapat bayaran sekali sahaja sebanyak RM500, ataupun keseluruhan berjumlah RM50 juta, iaitu 1.6 kali lebih rendah.

Keutamaan bantuan kewangan kita seharusnya kepada mereka yang terkesan. Mengapa kita tidak melindungi mereka yang terdedah tetapi memberi ganjaran kepada mereka yang sudah ada pekerjaan tetap?

Bonus RM500 kepada penjawat awam adalah tidak tepat sekali. Mereka tidak memerlukan bonus ini. Mak cik Kiah dan orang miskin lebih memerlukannya. Lebih baik untuk memberikan RM500 kepada mereka daripada membiarkan mereka mengeluarkan simpanan daripada KWSP. Yang paling mengecewakan adalah tidak ada langsung potongan gaji walaupun satu peratus oleh menteri-menteri untuk berkongsi beban rakyat.

Jika kita tidak memberi bantuan secukupnya kepada rakyat, dan jika syarikat mula gulung tikar, ekonomi akan merosot tahun hadapan. Ini akan menjadi masalah besar.

Seluruh dunia menjangkakan ekonomi akan terus berada dalam keadaan suram tahun depan. Namun, kerajaan menjangkakan aktiviti ekonomi akan kembali seperti pada tahun 2019 di mana pungutan cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan korporat dijangka lebih tinggi daripada kutipan pada tahun 2019. Ini hampir mustahil.

Covid-19 tidak akan hilang pada 1 Januari 2021. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sukar mendapat vaksin yang selamat dan berkesan sehingga akhir tahun 2021. Kita harus jujur menghadapi realiti.

Kita mahukan belanjawan yang mesra rakyat kerana mahu tidak mahu, inilah kerajaan yang kita ada. Maka, adalah dirayu supaya belanjawan ini digubal semula jika kerajaan jujur dan ikhlas prihatin akan nasib rakyat.

* Dr Muhammed Abdul Khalid ialah pakar ekonomi dan Pengarah Urusan DM Analytics

Klik di sini untuk terus membaca