Keputusan untuk membatalkan baki saingan TM Piala Malaysia musim ini dilihat sebagai langkah tepat yang dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M).
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, keputusan pantas yang dibuat MFL itu mampu mengelakkan masalah lebih besar timbul di kemudian hari dalam keadaan ketidaktentuan pandemik Covid-19 ketika ini.
"Langkah pembatalan itu penting untuk keselamatan kita semua. Kalau kata nak main di kawasan hijau pun, boleh dikatakan kesemua negeri dah ada kes dan ia tetap bahaya.
"Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang dalam keadaan Covid-19 ini masih menular. Malah, kalau ikutkan kebanyakan pemain juga kontrak mereka tamat pada November ini.
"Kalau disambung juga pada Disember, kami perlu sediakan kontrak baharu selain perlu berdepan risiko jika pemain tidak mahu lanjutkan kontrak itu. Jadi nanti kami akan kekurangan pemain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, MFL membuat keputusan untuk membatalkan saingan Piala Malaysia yang sudah memasuki peringkat suku akhir susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menolak rayuan mereka.
MFL mengemukakan rayuan rasmi kepada MKN untuk meneruskan baki saingan Piala Malaysia dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat di negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
MFL turut mencadangkan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang digunakan sebagai gelanggang berkecuali untuk aksi suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.
Mengulas lanjut, Nokman berkata, pembatalan Piala Malaysia musim ini juga memberikan ruang kepada pasukan melakukan persiapan awal bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
"Seperti Kuala Lumpur, kami sudah boleh merancang untuk mengambil pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan dan menyambung kontrak pemain yang ada potensi.
"Dalam masa sama, kami juga akan duduk berbincang dengan pemain berhubung kontrak musim depan. Kami mungkin akan memberikan beberapa pilihan kepada pemain untuk menyesuaikan dengan keadaan Covid-19 sekarang.
"Kami tak mahulah bila dah bagi kontrak, tiba-tiba liga ditangguhkan lagi dua atau tiga bulan. Pemain juga harus faham situasi yang berlaku ketika ini. Jadi kami akan melakukan perbincangan dengan pemain,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca