SHAH ALAM - Seorang pakar ekonomi menjangkakan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Serantau (RCEP) yang ditandatangani kerajaan Malaysia bersama sembilan negara ASEAN lain bakal menemui kegagalan dan menjadi senasib dengan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).
Penganalisis ekonomi veteran, Profesor Dr Hoo Ke Ping berpandangan sedemikian setelah mendapati inti pati perjanjian RCEP begitu longgar dengan banyak sektor perkhidmatan utama tidak dilibatkan di dalamnya.
"Jika diteliti inti pati perjanjian RCEP, ia bukannya satu perjanjian perdagangan bebas antarabangsa berbanding TPPA apabila banyak sektor perkhidmatan penting tidak dilibatkan di dalamnya.
"Di tambah dengan rangka perjanjian terlalu longgar, saya menjangka unjuran RCEP yang mencakupi tempoh tiga tahun pelaksanaan tidak akan memberi impak kepada negara," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, Malaysia menandatangani RCEP serentak bersama 14 lagi negara lain secara maya setelah lapan tahun berunding dengan ia ditandatangani Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili kerajaan.
Majlis itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sempena akhir Sidang Kemuncak ASEAN semalam.
RCEP yang merangkumi 10 Ekonomi Asia Tenggara bersama China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia bakal menjadi pemangkin bagi pemulihan ekonomi pasca Covid-19 demi membantu membuka pasaran baharu serta memantapkan rantaian bekalan serantau.
India bagaimanapun, menarik diri daripada perjanjian itu tahun lalu, kerana bimbang akan kemasukan barangan China yang murah ke negara berkenaan, namun boleh menyertainya semula jika mahu kelak.
Selain itu, melihat dari sudut geopolitik antarabangsa, Ke Ping turut mendedahkan RCEP sebenarnya adalah satu langkah tindak balas negara China terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diusahakan Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran bekas Presidennya, Barack Obama.
Lebih menarik, Ke Ping turut meluahkan keyakinan AS bakal kembali dengan perjanjian TPPA baharu yang lebih kompresif dinamakan Perjanjian Trans Pasifik Komprehensif dan Progresif (CPTPP) setelah calon Demokrat, Joe Biden dipilih memenangi Pilihan Raya Presiden AS baru-baru ini.
"Dahulu, TPPA diusahakan Obama gagal direalisasikan setelah Presiden Donald Trump mengisytiharkan keluar daripada perjanjian itu.
"Dengan Biden dilihat disokong kuat Obama, perjanjian CPTPP dijangka ditawarkan sekali lagi dengan inti pati lebih komprehensif dan situasi ini bakal menjadikan RCEP tidak berfungsi dan senasib dengan AFTA," katanya.
Ke Ping berkata, selain faktor jangkaan kemunculan semula perjanjian CPTPP, RCEP turut dilihat sukar mencapai objektif susulan dasar ekonomi terbaru China yang akan mengurangkan nilai import barangan ke negara itu.
Menurutnya, hal ini disebabkan China kini berdepan masalah kekurangan rizab kewangan susulan inisiatif negara itu memberi pinjaman luar dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM800 bilion.
"Selain itu, negara-negara ASEAN, Taiwan dan Jepun sendiri berdepan dengan pelbagai konflik berkepentingan terhadap China seperti isu persaingan eksport perdagangan barangan elektrik dan hak intelek di mana 40 peratus nilai eksport China adalah merupakan barangan berkenaan.
"Ditambah dengan tindakan agresif China mengukuhkan aset ketenteraan di Laut China Selatan bagi menguasai kawasan itu, saya tidak fikir RCEP akan dijayakan semua pihak dengan sepenuh hati," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca