MERAK Jalanan rasa bimbang membaca berita mengenai restoran yang mempunyai sijil halal tetapi disyaki menggunakan bahan mentah tidak halal untuk hidangan mi.
Walaupun Merak Jalanan tidak pernah menjejakkan kaki ke restoran berkenaan, terdapat rakan-rakan Merak Jalanan yang sering menikmati hidangan mi di restoran tersebut.
Merak Jalanan berharap siasatan yang dijalankan dapat membuktikan dakwaan itu tidak benar seiring penafian pihak restoran berkenaan.
Bab makanan adalah terlalu sensitif. Jika tidak diuruskan dengan baik ia akan mendatangkan kesan yang besar.
Sebab itu Merak Jalanan lebih suka makan di rumah kerana kita akan sedaya upaya memilih makanan yang bersih dan selamat.
Tapi jika semua orang makan di rumah, macam mana pula peniaga restoran mahu meneruskan perniagaan jika tiada pelanggan?
Pada pandangan Merak Jalanan, sebaiknya sebelum mengunjungi mana-mana restoran, kita perlu tahu siapa pemiliknya, ada sijil halal atau tidak dan tahap kebersihannya.
Tidak perlulah terlalu terperinci seperti latar belakang seolah-olah kita mahu melabur dalam syarikat berkenaan pula. Cukup sekadar kita tahu maklumat asas supaya kita waspada di mana kita menjamu selera.
Merak Jalanan tidak terlalu teliti dalam pemilihan tempat makan, tetapi sebelum menjamu selera di mana-mana restoran, perkara pertama yang akan diperhatikan ialah sijil halal, nama syarikat, tahap kebersihan restoran dan siapa pekerja syarikat berkenaan.
Jika semuanya menepati kriteria, barulah Merak Jalanan makan di restoran tersebut. Jika tidak, Merak Jalanan akan cari restoran yang sesuai dan memenuhi piawaian tekak.
Kepada peniaga pula, berlaku jujurlah kepada pelanggan kerana kalau bersikap sebaliknya, kebiasaannya bisnes tidak akan kekal lama.
Klik di sini untuk terus membaca