SHAH ALAM - Kajian semula mengenai hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas merupakan urusan parti itu dan ia tidak ada kena-mengena dengan parti lain.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada), Mohd Asyraf Mustakim bagaimanapun berkata, jika dilihat keikhlasan UMNO dari awal, ia sebenarnya tidak membawa apa-apa makna.
"Kalau betul mereka memperjuangkan hal berkaitan Melayu, Islam dan rakyat seperti mereka laungkan dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini, namun sejauh mana MN itu berlangsung.
"Sehingga hari ini, kita tengok tidak ada impak pun berbanding dengan Perikatan Nasional (PN) setelah Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Jadi solusi perlu ada pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Mohd Asyraf berkata, jika ditanya mengenai kejujuran, UMNO perlu cermin diri mereka sendiri di mana letaknya kejujuran parti itu untuk Melayu, Islam dan negara.
"Adakah semata-mata kerana mahukan kuasa? Adakah satu-satunya kesungguhan untuk berpolitik bagi UMNO hanya untuk mendapatkan kuasa?
"Kalau ikutkan UMNO juga berkuasa. UMNO juga memegang portfolio yang penting malah beberapa pemimpin UMNO yang bersih diletakkan pada portfolio yang strategik.
"Bukan sahaja dalam pentadbiran, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi tertentu,” katanya.
Asyraf turut mempersoalkan sama ada UMNO hanya mahu mempergunakan dan menunggang Pas atau orang tertentu untuk mendapatkan kuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li saran UMNO kaji semula hubungan dengan Bersatu, Pas
Klik di sini untuk terus membaca