HUJUNG tahun sering dikaitkan dengan musim banjir. Merak Jalanan perhatikan setiap waktu petang ketika ini pasti hari akan mendung dan hujan lebat berlaku hingga ke malam.
Merak Jalanan rasa bimbang kerana fenomena alam ini akan menyebabkan banyak tempat berlaku banjir, tidak terkecuali di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
Dalam perkara ini, Merak Jalanan melihat salah satu faktor penyumbang berlakunya banjir ini ialah masalah sampah yang dihanyutkan air menyebabkan longkang, parit tersumbat menyebabkan aliran air tidak dapat mengalir lancar hingga menyebabkan kawasan rendah ditenggelami air.
Merak Jalanan berasa kasihan bila melihat banyak kenderaan tersadai di atas jalan raya akibat ditenggelami air terutama ketika pulang daripada bekerja baru-baru ini.
Mungkin pengangkutan awam adalah pilihan terbaik bagi orang ramai yang bekerja di ibu kota pada ketika ini.
Janganlah merisikokan bajet kewangan yang tak berapa nak ada pada musim pandemik Covid-19 ini kerana kos untuk membaiki kereta yang kena banjir sangat tinggi. Silap hari bulan melayang ribuan ringgit.
Mungkin pilihan terbaik memohon kebenaran daripada ketua untuk bekerja dari rumah seperti mana yang telah dibenarkan kerajaan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Musim banjir ini juga, suka Merak Jalanan menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak mereka agar tidak bermain air banjir.
Bimbang perkara buruk berlaku. Lihatlah kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini di mana anak kecil mati lemas dihanyutkan air deras ketika leka bermain air di longkang dan sungai.
Merak Jalanan menyeru sangatlah kepada ibu bapa agar melarang anak-anak keluar rumah di saat anda bekerja, lebih-lebih lagi ketika ini semua sekolah ditutup akibat PKPB.
Klik di sini untuk terus membaca