SHAH ALAM - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memperkenalkan sistem penggiliran pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memegang jawatan penting merupakan tindakan terbaik dalam usaha memelihara integriti polis.
Penganalisis Pertahanan dan Perunding Keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, beliau percaya inisiatif tersebut adalah langkah terbaik memandangkan Abdul Hamid adalah individu terbaik yang mempunyai segala maklumat berkenaan dengan isu yang ditanganinya.
"Selain itu, PDRM sendiri mempunyai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang banyak mengendalikan kes-kes dalaman melibatkan integriti pasukan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau bagaimanapun berkata, langkah tersebut hanya berkesan untuk jangka masa pendek dan PDRM perlu menilai semula mekanisme sedia ada bagi menambah baik integriti anggota mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: PDRM guna sistem penggiliran elak kes rasuah: Ketua Polis Negara
Muhammad Fuad berkata, PDRM juga dilihat memerlukan masa untuk mengatasi masalah salah guna kuasa yang seolah-olah sudah menjadi budaya dalam PDRM.
"Mekanisme itu ada tetapi kita nak tahu sama ada efektif atau tidak. Kalau sudah jadi budaya, ia akan ambil masa untuk dibendung dan seterusnya diatasi.
"Penambahbaikan perlu dilakukan dan kena tengok kembali apa yang telah dilaksanakan selama ini. Adakah ia telah mencapai objektif untuk meningkatkan integriti mereka?
"Mereka perlu buat kajian dan kalau kes-kes dalam isu rasuah meningkat, itu maknanya sesebuah modul itu gagal dan tidak berkesan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca