LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bersedia dengan beberapa perancangan baharu sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tidak dapat dimulakan pada tarikh yang ditetapkan atau perlu ditunda seperti yang berlaku pada tahun ini. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) bersedia dengan beberapa perancangan baharu sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tidak dapat dimulakan pada tarikh yang ditetapkan atau perlu ditunda seperti yang berlaku pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, badan pentadbir Liga-M itu telah belajar daripada pengalaman lalu dan sudah bersedia untuk mengharungi apa jua kemungkinan pada saingan musim depan.

"Kami telah ada pengalaman daripada situasi Covid-19 yang terjadi tahun ini dan sekiranya berlaku lagi penangguhan liga, kita sudah bersedia dengan beberapa perancangan lain.

"Pengalaman yang dilalui lebih memudahkan kami menyesuaikan dengan keadaan tahun depan. Namun, sudah tentu kami minta dan mengharapkan situasi Covid-19 pada bulan depan atau Januari nanti akan semakin baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, MFL mengumumkan kalendar saingan Liga-M musim depan akan membuka tirai dengan saingan Piala Sultan Ahmad Shah pada 26 Febuari disusuli aksi domestik - Liga Super dan Liga Premier bermula 27 dan 28 Februari.

Namun, timbul kebimbangan dalam kalangan penyokong setia bola sepak negara apabila keadaan Covid-19 di negara ini masih tidak menentu sehingga menimbulkan kemungkinan Liga-M tidak dapat diteruskan seperti dirancang.

Dalam pada itu, Ab Ghani memberitahu pihaknya turut akan memohon kebenaran membolehkan kedatangan penonton ke stadium sekiranya angka kes Covid-19 di negara ini kembali ke dua digit atau satu digit.

"Kehadiran penonton terpulang kepada keadaan ketika itu dan pada Januari nanti kita akan tahu. Kalau keadaan beransur pulih seperti dua digit atau satu digit, maka kita akan mohon dengan kerajaan.

"Saya yakin dan percaya jika penonton dibenarkan, mereka akan menyerbu stadium kerana kerinduan mereka kepada bola sepak. Lagipun kalau kita tengok jumlah penonton yang menonton di saluran YouTube dan sebagainya sangat tinggi.

"Itu menunjukkan saingan liga kita masih mempunyai nilainya yang tinggi selain masih dapat menarik perhatian penonton untuk memeriahkan kancah bola sepak negara,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca