Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC ke-27 pada 20 November ini secara maya buat kali pertama susulan situasi pandemik Covid-19. Atas jemputan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesyuarat... Klik di sini untuk terus membaca

Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC ke-27 pada 20 November ini secara maya buat kali pertama susulan situasi pandemik Covid-19. Atas jemputan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara dari rantau ini termasuk Presiden China, Xi Jinping.

Tahun ini merupakan tahun penting yang membawakan signifikan bersejarah kepada APEC.

Matlamat Bogor yang diperkenalkan pada tahun 1994 akan mencapai tempoh matang pada akhir tahun ini. Dengan itu, kerjasama ekonomi Asia Pasifik kini berada di persimpangan.

Semua pihak di rantau ini kini mengutamakan usaha untuk mencegah pandemik dan memulihkan ekonomi. APEC 2020 yang bertema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’ bakal mempromosikan kerjasama pelbagai bidang secara aktif termasuk perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, pembangunan yang inklusif dan mampan serta kesalinghubungan.

APEC tahun ini akan menyaksikan rangkaan Visi Pasca-2020 yang mencartakan hala tuju strategik rantau ini untuk 20 tahun akan datang. Visi tersebut berfokus pada integrasi ekonomi dan pewujudan ekonomi Asia Pasifik yang terbuka untuk mendorong inovasi, pembangunan inklusif dan mampan demi mencapai kemakmuran bersama dalam komuniti Asia Pasifik.

Dunia kini tidak begitu aman. Landskap politik sedunia kini mengalami peredaran pantas, dunia kini memasuki era perubahan bergelora. Masyarakat antarabangsa kini menghadapi cabaran besar antara multilateralisme dan unilateralisme, antara keterbukaan dan penyekatan serta antara kerjasama dan konfrontasi.

Namun, arus utama negara-negara menuju ke arah keterbukaan dan kerjasama masih tidak berubah. China dan Malaysia mempunyai konsensus yang ekstensif dan kukuh dalam pelbagai isu global. Kita bekerjasama rapat dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), APEC, kerjasama serantau Asia Timur dan rangka multilateral yang lain.

Inovatif

Kita menentang unilateralisme dan dasar perlindungan perdagangan. Kita mendukung pemudahan perdagangan dan pelaburan serta integrasi ekonomi. Kita memainkan peranan penting untuk memastikan keamanan, pembangunan, kestabilan dan kemakmuran di seluruh dunia amnya dan rantau Asia Pasifik khususnya.

Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia telah melakukan pelbagai usaha inovatif untuk memastikan kejayaan mesyuarat-mesyuarat APEC tahun ini walaupun berdepan dengan ancaman Covid-19. Antara pelbagai percubaan luar biasa, mesyuarat maya dan ‘diplomasi awan’ atau cloud diplomacy telah menjadi ciri utama APEC 2020.

Sebagai rakan strategik komprehensif kepada Malaysia dan ahli penting kepada APEC, China sentiasa memberi kerjasama dan sokongan yang penuh kepada Malaysia. China akan bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain untuk mendukung objektif dan prinsip APEC dalam penghasilan rangka tindakan (blueprint) kerjasama Asia Pasifik untuk 20 tahun yang akan datang.

Kita akan meneruskan kerjasama ekonomi Asia Pasifik melalui tindakan pragmatik dan memberi sumbangan penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan APEC dan rantau Asia Pasifik. Selain bekerjasama rapat di bawah APEC dan rangka multilateral yang lain, kerjasama saling memanfaatkan antara China dan Malaysia telah menjadi tauladan sebagai interaksi persahabatan mesra antara negara. Malaysia dan China merupakan jiran yang erat, sahabat yang ikhlas dan rakan kerjasama yang kukuh.

Pada tahun lepas, kedua-dua negara telah mengadakan perayaan meriah untuk meraikan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik. Berdepan dengan ancaman wabak Covid-19 tahun ini, persahabatan antara kedua-dua negara menjadi semakin teguh. Persahabatan China-Malaysia yang bermula sejak pelayaran Laksamana Zheng He ke Melaka telah memancar semarak baharu pada dekad kedua abad ke-21.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun menghadapi perubahan dalam persekitaran antarabangsa amnya dan kedua-dua negara khususnya, kerjasama erat China-Malaysia tidak terganggu malah terus berkembang.

Kukuh

Kerjasama strategik dan saling kepercayaan antara China dan Malaysia telah bertambah kukuh, bidang kerjasama yang saling menguntungkan telah diperluaskan, persahabatan antara rakyat kedua-dua negara menjadi lebih teguh.

Walaupun berdepan dengan pandemik, Kaunselor Negara merangkap Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe dan Kaunselor Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi telah melawat Malaysia dalam dua lawatan berbeza pada Oktober lalu. Ini menunjukkan persahabatan istimewa dan hubungan erat antara pemimpin tertinggi China dan Malaysia.

Pandemik Covid-19 tidak menghalang perdagangan dan pelaburan antara China dengan Malaysia untuk terus meningkat. Pada tiga suku pertama tahun ini dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu, perdagangan dua hala meningkat 3.2 peratus kepada AS$92.57 bilion manakala pelaburan China dalam sektor pembuatan Malaysia meningkat 147.2 peratus kepada AS$4.03 bilion. Pembangunan projek flagship seperti ‘Taman Berkembar Dua Negara’ dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah menjadi mercu tanda dalam kerjasama saling memanfaatkan antara dua negara.

Dalam menangani penularan wabak Covid-19, China dan Malaysia berganding bahu mencegah pandemik dan mengharungi kesusahan bersama-sama. Ini mencerminkan waktu kesukaran mendedahkan erti sahabat sejati. Apabila China mengalami penularan koronavirus, kerajaan dan rakyat Malaysia telah menyalurkan sokongan dalam bentuk barangan dan kewangan kepada China.

Apabila pandemik Covid-19 menular di Malaysia, tibanya giliran China untuk membantu Malaysia. Kerajaan, pertubuhan dan individu China telah menyumbang pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE), ventilator dan bekalan perubatan yang lain kepada Malaysia. China juga menghantar pasukan pakar perubatan ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman mencegah Covid-19.

Pada masa yang luar biasa ini, China dan Malaysia bersama-sama mengharungi kesusahan. Hubungan antara rakyat kedua-dua negara juga menjadi lebih teguh. Peribahasa Melayu ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ merupakan ungkapan terbaik untuk menggambarkan persahabatan China-Malaysia dalam usaha bersama memerangi pandemik.

Saya yakin APEC 2020 anjuran Malaysia akan berjaya dalam merangka perjalanan baharu untuk kerjasama Asia Pasifik pada era pasca-pandemik dan membina momentum baharu untuk memacu pemulihan ekonomi global dan pencegahan pandemik sedunia.

Saya juga yakin mesyuarat ini akan membuka tirai baharu untuk kerjasama China-Malaysia pada era pasca-pandemik. China dan Malaysia pasti akan terus wujudkan peluang dalam keterbukaan, mencapai hasil menang-menang dalam kerjasama dan bersama-sama mencipta hari esok yang cemerlang!

* Bai Tian ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca