BAKAL Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden daripada parti Demokrat mengakui, negara Uncle Sam itu akan menilai semula tahap hubungannya dengan Arab Saudi selepas beliau mengangkat sumpah menjadi Presiden pada 20 Januari tahun depan.
Bagaimanapun, para pemerhati berkata, negara beraja tersebut masih mempunyai pengaruh yang mencukupi untuk menggelakkan hubungannya dengan AS musnah disebabkan isu-isu perang di Yemen dan hak asasi manusia.
Sebelum ini, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dikatakan melakukan usaha bagi memerangi para penentang di negara tersebut dengan berpuluh-puluh aktivis hak asasi manusia, wartawan, ulama malah anggota keluarga diraja negara berkenaan ditahan sejak beberapa tahun lalu.
Isu penyelesaian pembunuhan seorang wartawan Arab Saudi, Jamal Kashoggi yang juga kolumnis akhbar The Washington Post dan anak saudara kepada ahli perniagaan terkenal negara itu, Adnan Kashoggi di pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada tahun 2018 turut menimbulkan perasaan tidak puas hati Biden.
Jamal yang merupakan pengkritik kerajaan Arab Saudi dikatakan dibunuh oleh ejen-ejen negara itu manakala lapan orang yang disabitkan dengan kejadian pembunuhan itu kemudian menerima hukuman penjara antara tujuh serta 20 tahun pada September lalu bagi menggantikan hukuman mati selepas anak lelakinya memaafkan pembunuh itu.
Turki kini masih lagi membicarakan kes tersebut tanpa kehadiran 20 orang suspek termasuk dua pembantu Putera Salman dan kes tersebut masih belum diselesaikan lagi.
Dalam kejadian itu, Jamal, 59, dibunuh dan mayatnya dikerat-kerat ketika beliau mahu mendapatkan dokumen-dokumen penting sebelum perkahwinannya dengan tunangnya yang merupakan warga Turki.
Namun, Putera Mohammed menafikan terlibat dalam pembunuhan itu.
Bagaimanapun, para pemerhati berkata, hubungan AS dengan Arab Saudi yang melibatkan kerjasama ekonomi, ketenteraan dan usaha bagi memerangi keganasan selain mengekalkan kestabilan harga minyak dijangka tidak akan terjejas.
Walaupun, AS mengurangkan penggantungannya dengan minyak Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu, negara itu masih lagi merupakan pelanggan utama Washington dalam bidang industri pertahanan Amerika dan ketenteraan.
Para pemerhati berkata, Biden perlu bekerjasama dengan pemerintah Arab Saudi dalam isu-isu yang panas di rantau Asia Barat dan yang melibatkan Iran dan isu
penentangan terhadap kumpulan Negara Islam yang baharu berkembang.
"Pentadbiran Biden tanpa diragu lagi akan mengambil pendekatan yang keras dalam isu-isu hak asasi manusia berbanding dengan pemegang jawatan Presiden AS ketika ini.
"Tetapi, adalah tidak dimunasabah AS akan meninggalkan terus kerjasama dengan Arab Saudi," kata bekas Ketua Misi Kedutaan AS di Riyadh, David Rundell kepada AFP.
Semasa era pemerintahan Presiden AS, Donald Trump yang bermula pada tahun 2017, hubungan antara negaranya dengan Arab Saudi dianggap erat.
Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm, suku daripada jualan senjata AS dalam tempoh lima tahun antara tahun 2014 dan 2019 adalah datangnya dari Arab Saudi iaitu meningkat daripada 7.4 peratus pada tahun 2010 hingga 2014.
Namun, pada Oktober lalu, sebelum Biden diumumkan oleh media sebagai pemenang pilihan raya Presiden AS berkata, beliau akan menamatkan sokongan AS terhadap perang Arab Saudi di Yemen.
Sebelum ini, Arab Saudi memulakan penglibatan tenteranya di Yemen pada bulan Mac 2015 berikutan kemaraan para pemberontak Houthi yang didakwa sebagai proksi Iran dalam perang di negara berkenaan.
Tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi itu mulai mengebom para pemberontak Houthi yang terlibat dalam peperangan dengan kerajaan Yemen sehingga menyebabkan Presiden negara itu yang pro-Riyadh, Abd Rabuu Mansor Hadi terpaksa tinggal di Arab Saudi.
Peperangan di Yemen itu melibatkan beberapa buah kumpulan termasuk kerajaan negara itu yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, kumpulan pemberontak Houthi yang pro-Iran dan kumpulan pemisah dikenali sebagai Majlis Peralihan Selatan sehingga mengakibatkan ramai penduduk yang terkorban.
Arab Saudi juga dikatakan bimbang dengan janji Biden untuk memulihkan semula perjanjian nuklear antara kuasa-kuasa dunia dengan Iran iaitu satu perjanjian
kontroversi yang berlangsung ketika beliau menjadi Naib Presiden AS ketika Barack Obama menjadi Presiden.
AS di bawah pentadbiran Trump sebaliknya menarik diri daripada perjanjian itu pada tahun 2018 yang tujuannnya adalah untuk mengehadkan program nuklear Iran dan
meningkatkan pemantauan program tersebut sebagai pertukaran untuk tidak dikenakan sekatan antarabangsa.
Bagi memastikan perjanjian nuklear itu berjaya kali ini, penganalisis berkata, Biden sepatutnya perlu mendapatkan konsensus daripada beberapa buah negara di Asia Barat termasuk Arab Saudi yang secara tradisinya menentang diplomasi dilakukan ke atas Iran.
"Biden memerlukan Arab Saudi untuk mewujudkan sebarang perjanjian baharu dengan Iran, mendapatkan sokongan dalam misi memerangi keganasan, isu Israel dengan
Palestin dan kestabilan dalam pasaran minyak," kata seorang penganalisis politik Asia Barat, Ali Shihabi seperti dilaporkan oleh AFP.
Biden juga berjanji akan menggantung penjualan senjata kepada Arab Saudi tetapi ia bertentangan dengan rekod masa lampaunya ketika beliau menjadi Naib Presiden AS.
Ketika menjadi Naib Presiden AS, beliau pernah menawarkan negara beraja itu bukan sahaja sokongan perisikan dan lojistik tetapi juga senjata-senjata yang bernilai
lebih AS$115 bilion (RM470.69 bilion), nilai yang lebih banyak berbanding dengan pentadbiran sebelumnya, menurut data daripada badan Pemantau Bantuan Keselamatan pada tahun 2016.
Penggantungan jualan senjata kepada Arab Saudi oleh AS itu bukan sahaja ditunggu pelaksanaannya sama ada ia benar-benar dilakukan malah Biden diharap melihat semula isu hak asasi manusia di negara tersebut termasuk penahanan seorang aktivis hak wanita, Loujain Alhathoul yang mendakwa beliau didera ketika berada dalam tahanan.
Loujain, 31, ditahan sejak Mei 2019 kerana memperjuangkan supaya kaum Hawa di Arab Saudi dibenarkan untuk memandu kenderaan.
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi membuat keputusan menarik semula larangan memandu terhadap kaum wanita beberapa minggu selepas penahanannya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca