[DIKEMAS KINI] PANDEMIK koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia termasuk Malaysia bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat malah boleh menjerumuskan institusi perbankan negara ke dalam krisis kewangan.
Lebih malang, kata Prof Dr Zulkarnain Mohamad Sori, ekonomi akan terhenti disebabkan bank-bank tidak lagi dapat memberikan pinjaman untuk orang berniaga.
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Profesor di Sekolah Pengajian Siswazah dan Profesional Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) itu mengupas mengenai kesan moratorium ke atas bank, menguruskan kewangan peribadi pada zaman wabak dan cadangan mencetak lebih banyak wang yang mencetuskan kontroversi.
Ikuti temu bual wartawan Hasniza Hussain dan Engku Shariful Azni serta jurufoto Mohd Izari Rosli bersama Zulkarnain di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
SINAR AHAD: Apakah cara terbaik untuk menguruskan kewangan peribadi pada musim pandemik dan norma baharu kini?
ZULKARNAIN: Soalan ini sangat relevan pada masa ini kerana pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi dan berlaku secara mendadak. Untuk merancang kewangan peribadi ini, saya mencadangkan setiap individu berfikir bagaimana kita boleh berbelanja secara berhemah.
Tuliskan situasi kewangan anda di atas kertas. Senaraikan di sebelah kanan pendapatan atau gaji kita dan di sebelah kiri, senaraikan jumlah perbelanjaan kita untuk satu bulan meliputi sewa rumah, kos pengangkutan, minyak, perbelanjaan anak, serta bil air dan elektrik.
Setelah senaraikan, nilaikan secara jujur apakah perbelanjaan itu mendesak, perlu atau hanya perbelanjaan disebut sebagai mewah atau luxury?
Apa yang penting, kita perlu lebih serius dan tegas dalam soal berbelanja terutama bagi mereka yang terkesan oleh pandemik Covid-19 ini sama ada kesan kewangan atau bukan kewangan.
Kalau lihat kenyataan polis baru-baru ini, sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sepanjang PKP dan sebahagiannya berpunca daripada tekanan kewangan. Kita tak mahu perkara ini terjadi kepada orang yang dekat dengan kita. Jadi dari awal kena bersedia tentang perkara ini. Perbelanjaan kita mestilah ‘ikut baju’ (ikut kemampuan). Jika kita pakai baju saiz M, kenalah pakai saiz tersebut jangan pula pakai saiz L. Belanja besar tapi pendapatan kita sikit.
Apa pandangan Prof tentang sikap orang kita yang suka berhutang, adakah ia disebabkan mereka kurang bijak membezakan antara keperluan dan kehendak atau komitmen pada zaman ini sememangnya lebih banyak berbanding dahulu menyebabkan mereka terpaksa berhutang?
Setiap orang ada gaya hidup tersendiri dan ia juga dipengaruhi oleh persekitaran kita. Perbelanjaan akan muncul disebabkan kita memilih gaya hidup yang kita mahu. Contohnya, kita memilih kenderaan mengikut selera dan ada situasi di mana kenderaan dibeli akibat terpengaruh dengan orang sekeliling.
Orang pakai kereta mewah, kita teringin tukar kepada kereta mewah. Begitu juga dengan trend minuman bubble tea, ramai orang muda terpengaruh dengan gaya hidup begini dan sanggup beratur panjang untuk menikmatinya.
Disebabkan desakan-desakan ini, kita memilih untuk menambah keupayaan melalui cara membuat pinjaman seperti pinjaman peribadi dan kesannya amat besar. Terdapat statistik menunjukkan ramai pekerja yang berusia antara 25 ke 45 tahun mempunyai pinjaman peribadi dengan institusi kewangan seperti koperasi kredit dan bank.
Rata-rata mereka akan buat roll-over atas pinjaman pertama untuk meneruskan gaya hidup. Apabila wang yang ada tidak cukup untuk berbelanja, mereka akan pergi ke institusi kewangan yang lain untuk buat roll-over lagi.
Mereka pinjam sana, tutup akaun sini dan bakinya ambil bawa balik. Perkara sebegini biasanya dilakukan dengan kerap sehingga ada sesetengah peminjam yang buat roll-over tiga atau empat kali sepanjang karier mereka. Jadi ini memberi kesan kepada mereka sendiri dari segi bayaran hutang dan psikologi.
Mereka ini perlu dibantu untuk keluar daripada masalah tersebut. Maka, kata kunci di sini ialah berhemah ketika berbelanja supaya tidak terkeluar daripada kemampuan kita.
Selain itu, kesilapan yang selalu kita buat adalah apabila memperoleh gaji, kita akan belanja dahulu baharu fikir tentang simpanan. Sepatutnya, kena buat polisi dari awal, bila dapat gaji, tentukan berapa nak simpan dan baki itu barulah buat belanja. Contohnya, kalau pendapatan kita RM3,000 sebulan dan buat polisi simpanan sebanyak 10 peratus daripada gaji, bermakna RM300 sebulan akan terus masuk simpanan kita.
Bagi suku kedua 2020, semua bank di Malaysia kekal mencatat keuntungan walaupun ia tempoh paling sukar di mana bank diarahkan memberi moratorium pinjaman, selain operasi bank terganggu akibat PKP. Bagaimanakah bank boleh buat untung?
Bank ini sebenarnya adalah satu perniagaan yang kita panggil perantara kewangan. Perantara kewangan bermaksud bank mempertemukan segmen ekonomi yang mempunyai lebihan wang dengan segmen ekonomi yang mengalami defisit kewangan. Sebelum bank memberi pinjaman, mereka perlu mempunyai wang. Jadi bank kena dapatkan duit terlebih dahulu.
Bagaimana mereka nak dapatkan duit untuk diberi kepada pihak yang satu lagi? Pertama, dana-dana ini datang daripada pemegang saham. Dalam kajian saya mengenai komponen modal bank, didapati dana pemegang saham hanya sekitar lima ke lapan peratus keseluruhan dana bank dan ini tidak cukup untuk memberi pinjaman.
Kedua, bank mendapatkan dana melalui deposit penyimpan. Deposit ini boleh jadi akaun simpanan, akaun semasa, deposit tetap dan sebagainya. Pada masa ini, penyimpan-penyimpan terdiri dari penyimpan institusi dan awam seperti Tabung Haji, KWSP, Kumpulan Amanah Wang Pencen (KWAP) dan lain-lain pelabur institusi.
Bagi industri perbankan Islam, ada produk lain iaitu akaun pelaburan yang menggunakan kaedah Islam yang menjanjikan pembahagian keuntungan di antara pelabur dengan bank. Jadi kita ada tiga komponen di sini iaitu pemegang saham, deposit khususnya daripada pelabur institusi dan bagi perbankan Islam ada akaun pelaburan.
Pendeposit masukkan duit dalam bank untuk mendapatkan pulangan dividen bagi bank Islam dan pulangan faedah bagi bank konvensional.
Bila bank ada wang sebegini banyak, ia akan salurkan kepada segmen masyarakat yang memerlukan wang. Segmen tersebut adalah kita sebagai orang awam dan perniagaan yang meminjam untuk membeli kereta, hartanah, rumah, pinjaman peribadi, usaha perniagaan dan sebagainya.
Pinjaman ini bukan sahaja daripada wang milik bank sebab bank hanya ada sekitar lima peratus sebaliknya bank meminjam daripada pemodal.
Apabila moratorium diperkenalkan, segmen yang defisit ini iaitu peminjam, tidak perlu membayar pinjaman selama enam bulan, wujud lompang kerana bayaran itu akan dialihkan ke hujung tempoh pinjaman. Kalau pinjaman tersebut untuk tempoh 30 tahun, maka ia akan disambung sehingga 30 tahun enam bulan. Perlu diingat, pemodal-pemodal tidak bekerja sebegitu kerana pemodal jika janji dua tahun, cukup dua tahun mereka akan keluarkan modal tersebut.
Tiada moratorium bagi hubungan bank dengan pemodal-pemodal, sebaliknya, peminjam-peminjam ada berlaku moratorium. Bank tidak boleh kutip wang daripada mereka.
Adakah benar bank sepatutnya tiada masalah melanjutkan moratorium pinjaman secara pukal sehingga Jun 2021?
Apabila bercakap tentang untung bank berbilion-bilion, takkan tak boleh buat moratorium? Yang ini saya perlu jelaskan dari konteks perakaunan dan pelaporan kewangan sebab bank-bank kena melaporkan secara berkala setiap tempoh tanpa gagal untuk memberitahu kepada pihak berkuasa iaitu Bank Negara Malaysia dan lain-lain.
Bank kena buat laporan kewangan dan mereka tertakluk kepada prinsip-prinsip perakaunan yang salah satunya ialah asas akruan.
Apabila moratorium berlaku, terdapat lompang bayaran pinjaman selama enam bulan dari bulan April hingga September, di mana peminjam tidak bayar hutang mereka. Namun, atas asas akruan, bank tetap kena rekodkan hasil daripada pinjaman, tapi hasil yang direkod ini adalah hasil yang belum dibayar.
Ingat, pemodal tidak ada moratorium, pulangan untuk pemodal harus dikira dan dibayar.
Jadi bagaimana bank menguruskan keadaan ini?
Lompang ini ditadbir dengan ihsan modal bank. Untung terkumpul mereka digunakan bagi mengurus kos terlibat dan kos-kos operasi mereka. Jadi bank juga terkesan walaupun orang melihat bank untung tapi realitinya bank tidak mendapat bayaran tunai daripada untung yang dilaporkan sebab cara perakaunannya memang begitu.
Jadi kita kena faham untung yang dilaporkan bukan tunai sahaja tapi untung itu bercampur-campur, ada hasil tunai dan ada hasil hutang tapi ia perlu dilaporkan secara agregat. Untung diletakkan secara agregat berbilion-bilion tetapi realitinya terdapat hasil yang tidak dibayar dan ditangguhkan ke masa hadapan.
Pada Ogos lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ada mengumumkan kepada media, industri perbankan akan rugi sebanyak RM6.4 bilion bagi enam bulan moratorium.
Jadi kalau moratorium sebegini diteruskan bank masih lagi boleh beroperasi tetapi mereka terpaksa menggunakan sumber-sumber dalaman.
Jadi ini yang kita kata pemampan modal. Sekiranya situasi pada masa ini tidak diurus dengan bijak akan menyebabkan kestabilan industri perbankan itu akan tercuit juga.
Kita kena faham dalam industri perbankan mereka akan padankan modal yang diperoleh daripada pendeposit dengan peminjam.
Terdapat tempoh-tempoh bagi dana yang diberi oleh pendeposit dan dana yang diberi kepada peminjam. Dalam tempoh itu kemungkinan ada pihak yang emergency dan minta duit balik, contohnya KWSP kalau nak bayar RM10,000 kepada pencarum, mereka kena ambil wang yang disimpan dalam akaun-akaun simpanan di bank.
Jadi bank kena bersedia untuk menyediakan modal lagi. Dengan pemampan modal yang mencukupi, bank mampu menangani ketidakcocokan masa ini. Malah gaji pekerja bank tetap berjalan walaupun moratorium dilaksanakan.
Jadi akhirnya jika kita bercakap tentang moratorium, walaupun bank masih mampu beroperasi dengan efektif, mereka sedikit sebanyak terkesan dengan rancangan bantuan.
Kita kena berhati-hati dalam menangani isu kewangan akibat pandemik Covid-19. Kalau tak berhati-hati ia mungkin boleh membawa kepada krisis institusi.
Kalau berlaku krisis kewangan dalam industri bank, ia akan memberi kesan kepada ekonomi keseluruhan kerana bank adalah industri yang sangat penting dalam menjana ekonomi negara.
Orang hendak berniaga, bank beri duit, perniagaan boleh jalan, ekonomi bergerak. Kalau bank bermasalah tak boleh beri pinjaman maknanya ekonomi terhenti.
Pelaksanaan moratorium bersasar untuk kepentingan semua pihak, apa komen Prof?
Covid-19 memberikan tekanan kepada perancangan kewangan kita. Keupayaan bank untuk memberi pembiayaan kepada peminjam baharu ada kena-mengena dengan perkembangan ekonomi.
Contohnya, jika seorang peniaga memerlukan kenderaan untuk berniaga dan diberi pinjaman bank bagi tujuan tersebut, peniaga ini dapat menjalankan perniagaannya dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi.
Oleh itu, proses pemulihan ekonomi akan berjalan dengan lebih cepat dan berkesan.
Sekiranya kita tidak merancang secara berhati-hati dengan menyediakan pinjaman yang produktif kepada segmen-segmen ekonomi yang sepatutnya dan kita lebih fokus kepada pemberian moratorium, dana bank akan tertumpu untuk tujuan ini. Maka, dana atau modal bank untuk tujuan pinjaman baharu yang produktif akan berkurang.
Apabila polisi pemberian moratorium bersasar diguna pakai, hanya mereka yang benar-benar sedang menghadapi masalah akan dipertimbangkan.
Mereka yang tidak terkesan oleh Covid-19 seharusnya terus membuat bayaran pinjaman dan ini dapat mengelakkan berlakunya isu-isu yang tidak berpihak kepada peminjam dan ekonomi negara.
Ada pihak memang memerlukan moratorium tetapi ada juga yang tidak memerlukan namun mereka tetap mengambil kemudahan yang diberikan. Wajarkah begitu?
Dalam membincangkan isu kewangan, kita sebagai individu harus bertanggungjawab dan berhemah dalam tindakan. Dalam soal ini, pihak bank akan membuat penilaian dan menyemak kelayakan individu itu untuk mendapat moratorium.
Pihak Bank Negara Malaysia mengeluarkan statistik bahawa 85 peratus peminjam sudah mula membayar dan ini menandakan mereka sudah mampu untuk membayar semula pinjaman mereka. Golongan yang terkesan ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan.
Sekurang-kurangnya ada dua pihak yang terkesan apabila mereka tidak layak moratorium tapi mereka mengambil kemudahan itu iaitu peminjam dan pihak bank. Perlu diingatkan bahawa peminjam yang menerima moratorium bukanlah bermaksud pinjamannya ‘diampunkan’ dan dibebaskan daripada membayar hutang.
Ia akan tetap berjalan seperti biasa. Bila moratorium tamat, kadar faedah akan bertambah juga akhirnya. Jadi, kemungkinan kos pinjaman kita akan meningkat.
Pihak kedua yang menerima kesan moratorium ini ialah pihak bank. Bank tidak menerima bayaran daripada peminjam. Bagaimanapun, pihak bank masih perlu membayar kepada pemodal dari segi dividen, agihan untung, faedah dan sebagainya.
Jadi, ia akan memberi kesan kepada bank. Selain itu, bank juga perlu memainkan peranan sebagai industri yang memberi modal kepada penggerak ekonomi, peminjam baharu perlukan wang daripada bank untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Jika kita memberi moratorium kepada orang yang tidak layak, ia akan memberi kesan kepada pemampan ekonomi yang akan semakin nipis. Akhirnya, pihak bank menjadi selektif dalam memberi pinjaman. Jadi, akan ada pihak yang hampa, ada juga sektor ekonomi yang tidak dapat digerakkan sebaiknya.
Selain itu, pemberian moratorium juga memberi kesan kepada sektor ekonomi awam secara tak langsung. Pemodal-pemodal daripada kategori pemodal institusi seperti Tabung Haji, KWSP dan sebagainya menjangkakan pulangan atau faedah tertentu daripada bank.
Namun, akibat penangguhan bayaran balik pinjaman bagi tempoh moratorium mengakibatkan keuntungan bank menurun dengan banyak.
Pihak bank tidak dapat memberikan pulangan sepertimana tahun-tahun lepas. Disebabkan itu, bank tidak boleh memberi pulangan pada jumlah yang biasa diberikan sebelum ini.
Apabila institusi tersebut mendapat dividen dalam jumlah yang sedikit, bagaimana mereka ingin memberikan dividen kepada pendeposit dan pemilik akaun di institusi mereka? Perkara ini tidak memberi kesan secara selektif, tapi semua orang akan terkena tempiasnya.
ANEKDOT
Malaysia akan jadi macam Zimbabwe
Saya berpendapat mencetak lebih banyak wang bukanlah satu langkah ke depan. Malah ia akan menyebabkan kita menjadi seperti negara Zimbabwe yang mencetak wang dan mengakibatkan negara tersebut mengalami hiperinflasi.
Harga barang naik dengan mendadak akibat nilai wang dicairkan dan menjadi sangat lemah. Pemerintah Zimbabwe membuat cetakan wang yang berleluasa untuk membantu petani, penganggur, industri kewangan yang gagal dan membiayai perang pada 1990-an.
Nilai mata wang dolar Zimbabwe jatuh secara signifikan sehinggakan bagi menghentikan edaran wang dolar Zimbabwe, bank pusat mengarahkan bank-bank mengutip wang dengan kadar 250 trilion dolar Zimbabwe dibayar dengan AS$1.
Bina sistem ketahanan kewangan kendiri
Isu Covid-19 ini bergantung kepada penemuan vaksin. Tapi kita tidak tahu bila kita akan mendapat vaksin tersebut. Maknanya, kita perlu membuat satu sistem ketahanan kewangan kendiri. Berdasarkan apa yang telah saya katakan, jika kita mahu membuat pinjaman, kita perlu sedar tujuan kita membuat pinjaman tersebut.
Dalam erti kata lain, hanya pinjaman yang produktif, yakni pinjaman yang mampu memberi faedah atau pulangan kepada kita. Contohnya, pinjaman untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kemudiannya boleh dibayar balik menggunakan keuntungan yang diperoleh. Kedua, jaga rekod kredit. Ia sangat penting untuk masa depan kita. Contohnya, sekiranya anak-anak ingin melanjutkan pelajaran di universiti dan memerlukan wang yang banyak. Kita perlu membuat pinjaman.
Kita perlu sedar bahawa peluang untuk mendapat biasiswa adalah kecil kerana wujud persaingan yang banyak. Jika kita perlu membuat pinjaman dan rekod kredit kita tidak baik, sukar untuk mendapat pinjaman tersebut.
Kepada mereka yang ingin berkahwin, perkara ini sangat penting. Jangan buat pinjaman atau gunakan kad kredit sewenang-wenangnya hanya kerana ingin mengikut trend semasa. Tuntutan agama itu adalah mudah, yang menyusahkan adalah tuntutan adat.
PROFIL
Profesor Dr Zulkarnain Muhamad Sori
TARIKH LAHIR: 9 MEI 1971
ASAL: Melaka
ISTERI: Siti Shaharatulfazzah Mohd Saad, 49
ANAK: Seorang berusia 18 tahun
HOBI: Mendaki gunung
PENDIDIKAN: PhD Audit & Tadbir Urus, Cardiff University, UK, Sarjana Perakaunan & Kewangan, UPM, Sarjana Muda Perakaunan, UPM
KERJAYA: Pensyarah
JAWATAN: Profesor
Klik di sini untuk terus membaca